Saturday 5 March 2016

Untuk Pemuda




Alhamdulillah, aku baru pulang menghadiri satu daurah di Alor Setar. Mengikuti satu pengisian yang sangat menarik mengenai PEMUDA.

Daurah dimulakan dengan objektif kerja amal dakwah yang dilakukan. Adakah peserta memahami fikrah dakwah atau sekadar ikut-ikutan. Sejujurnya aku sendiri mengambil masa untuk memahami penglibatan aku dalam dakwah ini. Dan dalam tempoh itu barulah aku sedar bahawa kefahaman dakwah hanya akan mampu dibina dengan melalui jalan tersebut. Dengan melalui jalan tersebut, barulah kita merasa. Dan rasa inilah yang akan membina kefahaman.

Dengan rasa ini, anda akan fahami erti kesusahan, anda akan belajar erti pengorbanan, anda akan menikmati indahnya ukhwah dan anda akan belajar untuk menghargai. Semua nilai ini sangat mahal dalam kehidupan kita. Dan percayalah anda tidak akan menemuinya melainkan dengan mengikuti jalan yang sukar dan panjang ini.

Topik ‘Untuk Pemuda’ itu diteruskan lagi dengan mengingatkan para pemuda untuk sentiasa menjadikan taqwa sebagai bekalan asas bagi menggerakkan dakwah. Ketaqwaan ibarat makanan yang sihat kepada roh yang memperjuangkan agama Allah. Tanpa asas ini, daieyah akan mudah kecundang atau tergelincir dari jalan ini.

Selain itu daieyah disarankan menjadikan Pemuda Al-kahfi sebagai ikon pemuda beriman yang wajar dicontohi. Ini kerana kesungguhan mereka mempertahankan aqidah kerana takutkan azab Allah telah menjadi batu asas dalam perjuangan dakwah mereka. Inilah perkara yang semakin dipandang enteng oleh anak muda masa kini. 

Ciri-ciri semangat, kesungguhan, tenaga yang kuat adalah aksesori yang ada pada anak muda sebagai aset penting untuk mereka merealisasikan agenda dakwah yang direncanakan. Kata ilmuwan, jiwa pemuda ibarat tanah yang subur, jika ditanam benih yang baik, pasti akan menumbuhkan hasil yang mengagumkan Itulah analogi anak muda, jiwanya yang masih segar itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dalam arena dakwah. Semoga kita diberi kekuatan oleh Allah untuk merealisasikan ‘pemuda’ itu bagi manfaat ummah pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment