Wednesday 16 March 2016

Tip memilih karier untuk si anak




“Anak-anak ibarat kain putih, ibu-bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya”.Ini menggambarkan betapa ibu bapa menjadi kuasa dominan yang kuat dalam menentukan siapa anak mereka apabila dewasa kelak. Menjengah alam dewasa,  pemilihan karier pastinya menjadi satu perhatian yang besar buat ibu bapa. Ibu bapa mana yang tidak risau jika anak-anak masih belum mampu menyara diri apatah lagi jika usia sudah menjangkau 20-an. Di sini ada beberapa tips untuk ibu bapa membantu anak mereka memilih karier terbaik dalam kehidupan anak-anak.

Tip 1: Jadi role model kepada anak

 Tip ini khusus kepada ibu bapa yang ingin mewariskan legasi kerjaya yang sama kepada anak mereka. Contohnya jika bapanya seorang peniaga. Pasti dia mahu anaknya menjadi peniaga untuk menguruskan empayar perniagaan mereka. Ataupun, jika bapanya seorang doktor, dia pasti menginginkan anaknya menjadi doktor untuk memastikan khidmat di kliniknya terus dibuka jika dia bersara. Dalam keadaan ini, ibu bapa harus bijak menonjolkan sisi positif kerjaya tersebut kepada anak mereka. Jika jadi peniaga, jadilah peniaga berjaya. Jika menjadi doktor, jadilah doktor yang berjaya. Sekiranya si anak hanya melihat kegagalan dalam karier ibu bapa mereka, mana mungkin mereka akan memilih kerjaya yang sama. Contohnya, jika perniagaan sering mengalami kerugian, bagaimana si anak akan berminat dengan perniagaan. Ataupun jika si bapa tadi menguruskan klinik sehingga mengabaikan masa dengan anak-anak, berkemungkinan anak tidak akan memilih kerjaya tersebut kerana terasa tempias negatif menjadi anak seorang doktor. Oleh itu ibu-bapa mestilah menjadi  model yang baik kepada anak-anak dalam pengurusan kerjaya mereka agar mereka terinspirasi untuk berkecimpung dalam skop kerjaya yang sama.

Tip 2: Bina kefahaman tentang karier yang dipilih

Dalam pemilihan kerjaya, kefahaman untuk menceburkan diri dalam karier yang dipilih adalah sangat penting. Dan kefahaman hanya akan dibina dengan mengetahui sebab mengapa karier atau kerjaya itu dipilih. Kata ahli motivasi  “knowing your why is an important first step in figuring out how to achieve the goals that excite you and create a life you enjoy living”. Contohnya jika anak ingin menjadi doktor, Tanya mereka kenapa ingin memilih kerjaya tersebut. Adakah kerana status, wang yang banyak, ingin berkhidmat kepada pesakit atau sebagainya. Semua perkara ini harus jelas. Tetapi, jika pemilihan kerjaya dibuat atas dasar agama, itulah yang terbaik. Contohnya memilih untuk menjadi pakar sakit puan untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah. Selain itu, ibu bapa juga harus mendedahkan tentang kehidupan seorang doktor samada membawa anak mengunjungi hospital untuk melihat doktor bekerja. Atau mungkin membawa si anak berjumpa dengan sahabat doktor agar lebih banyak input yang mereka ketahui tentang kerjaya itu.


Tip 3: Memahami dan meraikan kecenderungan si anak

Ada sesetengah anak tidak berjaya mengenal pasti cita-citanya. Mungkin kerana masih sedikit ilmu atau pengalaman yang dilalui dalam hidupnya. Maklumlah, orang muda. Tetapi sebagai ibu bapa, kita selalunya memerhatikan tabiat anak kita. Sekiranya anak kita berbakat dalam penulisan, galakkan mereka untuk menghantar karya kepada majalah atau suratkhabar. Jika anak kita berbakat dalam masakan.Mungkin dia jenis anak yang suka duduk di dapur, suka mencipta resepi baru, suka menghias makanan. Jangan ragu-ragu lagi. Hantar mereka ke kursus kulinari. Percayalah, mereka berpotensi unuk menjadi chef yang terkemuka suatu hari nanti. Setiapa anak itu pasti mempunyai kelebihan dan kekurangan diri. Raikan perbezaan tersebut dengan terus menggalakkan meraka terus mencuba dalam bidang yang  tersebut.

Jadilah ibu bapa yang menyokong minat dan bakat si anak

 Tip 4: Peka dengan peluang yang ditawarkan

Selepas ibu bapa memahami keinginan si anak dalam karier mereka, carilah peluang yang bersesuaian dengan bakat si anak. Pilih institusi terbaik untuk mereka. Bincang dengan orang yang lebih berpengalaman tentang kerjaya tersebut. Pastikan diri kita sentiasa mampu menyediakan kewangan yang cukup untuk menampung keperluan belajar mereka. In sha Allah, pelaburan untuk pendidikan anak-anak bukanlah suatu yang merugikan kerana kita sedang berjuang untuk melahirkan modal insan yang memberi manfaat kepada agama dan negara.

Tip 5: Jangan sesekali memaksa anak memilih kerjaya yang kita suka

Walaupun anak adalah darah daging kita, namun Allah tetap jadikan kita manusia berbeza. Sikap ibu bapa yang terlalu dominan dalam pemilihan karier anak tanpa berbincang dengan mereka akan membunuh jiwa si anak. Mahukah kita melihat anak kita menderita dalam kerjaya yang kita pilih kepadanya.Penulis pernah terjumpa di mana seorang ibu agak kecewa apabila anaknya hanya ingin menjadi surirumah walapun telah bergraduat sebagai doktor perubatan. Sebagai ibu-bapa jangan sesekali merasakan pelaburan kita menanggung mereka belajar adalah satu kerugian, tapi teruskan berdoa agar ilmu yang dipelajari tetap boleh diamalkan dan diajarkan kepada orang lain. Ingatlah, ilmu bukanlah suatu barangan yang digunakan untuk mengejar pencapaian, tetapi ilmu itu sendiri merupakan tujuan akhir suatu pencapaian. Amat malang sekali apabila kita ingin memilih kerjaya yang hebat buat anak kita semata-mata kita ingin dipandang tinggi oleh masyarakat. Kehebatan yang sebenar tidak terletak kepada status karier anak kita, tetapi lebih kepada bagaimana anak kita berjaya membina ketaqwaan melalui kerjaya yang dipilihnya.

Tip 6: Banyakkan berdoa agar kerjaya yang diceburi oleh anak menjamin kebahagian mereka di dunia dan akhirat. 

Apa nilainya seorang akauntan jika duit syarikat habis digelapkan. Apa nilainya seorang penulis jika ideanya membunuh minda masyarakat. Apa nilainya seorang pemimpin jika rasuah menjadi budaya. Apa nilainya seorang  pakar IT jika semua maklumat habis digodam. Ingatlah wahai ibu bapa sekalian, ulama dan pencuri itu lahir dari rumah. Oleh itu kerahkanlah segala tenaga kita semaksimum mungkin bagi membentuk generasi soleh yang membangun ummah, bukan yang meruntuhkan tamadun

Akhir kalam, semoga post ini dapat membantu ibu bapa yang inginkan yang terbaik untuk anak mereka.Peace.

No comments:

Post a Comment