Equinox dunia vs Equinox akhirat |
Sekarang Malaysia diserang cuaca
panas melampau kerana fenomena ekuinoks. Ekuinoks adalah satu keadaan di mana
matahari akan melintasi garisan khatulistiwa untuk mengubah kedudukannya dari
hemisfera selatan ke hemisfera utara bumi. Lokasi Malaysia yang terletak
berdekatan dengan garis khatulistiwa ini akan menyebabkan bahang Ekuinoks itu
lebih ketara. Keadaan panas ini juga dikenali sebagai El Nino.
Impak cuaca panas ini tidak
kurang hebatnya. Di Segamat, seorang pelatih polis dilaporkan meninggal dunia dipercayai
akibat strok haba. Strok haba terjadi akibat paras suhu badan yang meningkat
melebihi paras 40.5 darjah celsius iaitu melebihi suhu normal badan manusia, 37
darjah Celsius. Sejajar dengan ini kementerian kesihatan Malaysia telah
memperkenalkan beberapa langkah bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat
daripada cuaca panas melampau. Antaranya ialah mengehadkan aktiviti luar,
banyakkan meminum air masak, mandi lebih kerap dan sentiasa memakai topi atau
payung ketika di luar bangunan. Kementerian pendidikan juga tidak ketinggalan
memberikan respons terhadap isu ini. Jika suhu melebihi 37 darjah Celsius,
canselor diberi autoriti untuk menutup universiti. Di sekolah pula, guru
diminta mengurangkan aktiviti luar bilik darjah. Nampaknya, semua orang terkesan
dengan El nino ini.
Bila difikirkan kembali, ini
hanyalah sekadar ekuinoks. Fenomena matahari berada di garisan khatulistiwa
bumi. Itupun sudah mencetuskan pelbagai masalah dalam kehidupan manusia.
Bagaimana pula dengan ekuinoks di padang mahsyar. Kedudukan matahari hanya
sejengkal jaraknya dari kepala manusia dengan kepanasannya 70 kali ganda lebih
tinggi dari matahari di dunia. Pasti dahaganya tidak terkata. Padanlah Allah
menyediakan telaga Kauthar untuk golongan yang beriman. Di dunia ini, air boleh
dicari di mana sahaja. Tapi, di padang mahsyar kelak, silap-silap haribulan,
kita akan minum air peluh kita sahaja. Nauzubillahi min zalik. Itu baru di
padang mahsyar, belum lagi di neraka. Di mana semua ‘perkakas’ didalamnya semua
panas-panas. Nak minum air? Boleh… sudah tentu. Ada campuran darah dan nanah
yang busuk, panas lagi menjijikan. Penghuni neraka akan meminumya seperti unta
yang minum, sangat gelojoh walaupun dia hampir-hampir tidak mampu menelannya.
Tapi jika ditelan sekalipun, usus dan tali perut akan terburai dan terputus dek
kepanasan yang melampau. Hssss… Pedihnya!!!
Akhir kata, Cukuplah…cukuplah
fenomena ekuinoks ini mengajar kita erti hidup di padang mahsyar. Cukuplah
fenomena ekuinoks ini sebagai peringatan untuk kita merasa gerun dengan neraka
Allah. Ambillah iktibar darinya. Sesungguhnya, dalam penciptaan langit dan
bumi, dan pergantian siang dan malam, terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi
yang berakal. Iaitu orang- orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk
atau berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya
berkata “Ya tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia. Maha
suci Engkau, lindungilah kami dari azab api neraka”. [Al-Imran:190-191].
No comments:
Post a Comment