Sunday 29 May 2016

Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad


SHAH ALAM - Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya akan berhenti memberikan kuliah ataupun tazkirah ketika beliau benar-benar tak sihat hingga tidak mampu memegang buku rujukan.
Anak sulungnya, Nik Omar berkata Allahyarham pernah membuka cerita ketika zaman mudanya, beliau telah diminta menyampaikan kuliah pada hari pertama tiba di tanah air selepas menamatkan pengajian.

“Dia pernah sebut, apabila dia balik belajar dari luar negara, hari pertama sampai itu ayahnya (datuk) suruh bagi tazkirah, kuliah. Dia memang seorang anak yang taat sepenuhnya kepada ayahnya.

“Tak pernah bunyi sekali pun. Ayah dia kata A, A lah. Kalau kata B, B lah. Hari pertama, hari kedua seterusnya sampai dia sakit. Bila dia tak mengajar? Apabila buku itu dia sudah tidak boleh nak pegang dah,” katanya ketika menjadi panel pada Wacana: 'Dunia Pendidikan Tok Guru' di Kumpulan Media Karangkraf, di sini, semalam.‎

Menurutnya, meskipun jadual Allahyarham padat sebagai Menteri Besar Kelantan, namun beliau tidak pernah lepas dalam memberikan kuliah.

“Walau sesibuk mana masa dia jadi menteri besar pun, dia tetap tak tinggal kuliah. Kalau kita dah sibuk tak tahu mana dah kuliah, masjid...tapi kuliah dia tetap (berjalan).

“Tok Guru walau sudah berpuluh tahun beri kuliah, setiap kali nak beri kuliah, dia akan baca buku, rujuk dulu. Wajib baca buku dulu,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian

Sunday 22 May 2016

Jom bina intelektualiti






Hari ini aku terbaca satu artikel yang menarik ditulis oleh SM Zakir. Beliau ialah Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Isu ketandusan intelektualiti menjadi topik pilihan beliau pada hari ini. Dalam artikelnya, saudara Zakir meluahkan kebimbangannya terhadap anak muda yang semakin jauh dari budaya intelektual. 

Intelektualiti seringkali dikaitkan dengan daya permikiran yang bersifat meneroka idea dan membangunkan permikiran. Malangnya hari ini idea dan keilmuan itu sudah tidak diraikan oleh permikiran anak muda. Mereka lebih cenderung memilih bahan bacaan berbentuk picisan yang hanya mementingkan hiburan dan keseronokan sekaligus melumpuhkan daya fikir yang intelek. 

Tambahan pula, amat menyedihkan apabila hampir 60 peratus buku picisan yang ketandusan nilai intelektual telah dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) baru-baru ini. Walaupun pesta tersebut mencatatkan kehadiran dua hingga tiga juta pengunjung, namun jumlah yang banyak itu tidak dapat dilihat sebagai indeks intelektual masyarakat dek jualan buku-buku picisan yang berleluasa.

Kata beliau lagi, kebanyakkan buku yang diterbitkan sekarang mempunyai kualiti yang sangat rendah. Ini kerana kita sedang berada di suatu zaman yang semua orang boleh menulis. Hatta coretan caci maki pun boleh diterbitkan. Kita tidak lagi menemukan men of letters (intelektual tokoh persuratan). Sebaliknya hanya mendapati kekosongan dan daya fikir yang sangat parah. 

Nampaknya, generasi muda hari ini tidak lagi meraikan idea dan ilmu, sebaliknya mencari bahan bacaan untuk berhibur dan mencapai keseronokan. Budaya ini hanya akan menolak keinginan berfikir seraya membawa mereka ke lembah kegelapan dan kejahilan. 

Jika buku suatu masa dahulu menuntun kepada zaman pencerahan yang menyebar di seluruh pelusuk bumi, menjadi penghadam idea ulama dan pujangga, tetapi hari ini buku liar dan picisan yang dipuja remaja akan menjerumuskan kita ke era kegelapan dan kelumpuhan permikiran. 

Kesimpulannya, buku yang dibaca majoriti anak muda di Malaysia yang digahkan dengan kuantiti hakikatnya adalah indeks keruntuhan intelektualiti. Jika kita impikan revolusi intelektual, lihatlah terlebih dahulu isi kandungan yang dibaca majoriti anak muda. Akhirnya, kita akan segera sedar bahawa kita sedang hidup di zaman keruntuhan intelektual kerana buku tidak lagi dibaca untuk berfikir, tetapi sekadar hiburan semata-mata.

Wallahua’lam. 

# Artikel yang sangat baik. Kalau ada terbitan baru, kena baca lagi..

Saturday 21 May 2016

Sinergi antara sabar dan tasbih


Alhamdulillah… Hari ini aku dapat satu ilmu

Tahukah  sahabat sekalian bahawa sabar dan tasbih itu banyak disinergikan dalam al quran. Sejujurnya saya sendiri pun tidak mengetahui kenapa Allah aturkan begini. Tapi untuk menikmatinya apa kata kita melatih diri bersabar dengan cara bertasbih.. Mungkin kita akan menemukan keajaiban dalam hidup kita.

Antara ayat-ayat Quran yang mensinergikan antara sabar dan tasbih:

[Surah At-Tur:8-9]

“Dan bersabarlah dalam menunggu ketetapan tuhanmu, maka sesungguhnya kamu berada dalam penglihatan kami dan bertasbihlah dengan memuji tuhanmu ketika kamu bangun berdiri. Dan bertasbihlah kepadaNya pada beberapa saat di malam hari dan di waktu terbenam bintang-bintang (di waktu fajar)”.

[Surah Al-Qaaf:39-40]

“Maka bersabarlah kamu terhadap apa yang mereka katakan dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu sebelumterbit matahari dan sebelum terbenamnya. Dan bertasbihlah kamu kepadanya di malam hari dan setiap selesai solat”.

[Surah Al-Insan: 24-26]

“Maka bersabarlah dalam melaksanakan ketetapan tuhanmu dan janganlah engkau ikuti orang yang berdosa dan orang kafir antara mereka. Dan sebutlah nama tuhanmu pada waktu pagi dan petang. Maka sebahagian daripada malam, maka bersujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.

Subhanallah… inilah ayat-ayatnya.Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui akan hikmahnya. Moga Allah terus melimpahi hati kita untuk bertasbih memujiNya.

Thursday 19 May 2016

Keberkatan...Jom dengar

Post untuk diri sendiri







Setiap amalan mempunyai masa-masa semangat dan setiap semangat memiliki masa-masa surut. Barang siapa yang saat semangatnya surut, tetap dalam sunnahku, maka dia telah mendapat petunjuk dan barangsiapa yang saat semangatnya melemah, dia berada selain sunnah, maka ia telah binasa [Hadis riwayat Ibnu Hibban]

Secara peribadi, hadis ini menjawab persoalan mengapa mood menulis aku datang dan pergi. Aku juga manusia biasa. Kadang-kadang, kalau tak semangat, nak pegang pen pun malas. Tapi saat ini, kesedaran muncul kembali. Mungkin sebab rasa tercabar.Tercabar dengan penulis-penulis picisan yang giat menulis tetapi isi yang disampaikan hanyalah merosakkan fikiran.

Oleh itu, dengan kelebihan menulis yang Allah kurniakan ini, aku perlu bersungguh-sungguh dalam menulis:

ü  Perlu lebih fokus dalam memilih topik
ü  Perlu lebih giat mencari bahan
ü  Perlu rajin memegang pen dan mengarang ayat
ü  Dan macam-macam lagilah

Dan semua ini pastinya memerlukan kesungguhan. Bab firman Allah: Lepas selesai suatu kerja, tetaplah bekerja kerja dalam urusan yang lain pula [As-syarh:7].Arghh.. susahnya!!! Tapi in sha Allah, aku boleh lakukannya… Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan

Monday 16 May 2016

Satu hari dalam Neraka




Pilihlah untuk berbuat baik, walaupun hatimu disakiti. Kerana hakikat sakit di dunia ini hanyalah sementara. Sakit di dunia itu berpenghujung dengan mati. Tetapi sakit di akhirat, realitinya berbeza. Sakitnya lebih kronik dan kekal. Deritanya bersifat abadi. Tiada kebahagiaan walau sesaat. Hidupnya dikelilingi azab yang setia menerkam. Tetapi azab itu tidak berakhir dengan kematian, hanya azab di atas azab. Ngerinya sakit di neraka sehingga tak terbayang dek akal.

“ Mereka direbus oleh neraka seperti halnya masakan direbus di dalam bejana. Mereka berteriak meminta tolong. Meskipun mereka berteriak kesakitan, mereka tetap disiksa. Disiram timah panas dari atas kepalanya hingga menghancurkan seluruh tubuhnya. Mereka diberi makan dari api yang mambuatkan otak mereka mendidih dan mengeluarkan cairan dari seluruh tubuhnya. Kulitnya mengelupas, dagingnya berjatuhan, maka Allah menggantikannya dengan kulit yang baru. Roh tanpa daging dan kulit, menahan pedihnya siksa neraka. Berjuang melawan kerasnya siksaan di neraka, mereka mengharapkan mati meskipun mereka tidak akan mati.”

[Petikan buku: Satu hari dalam Neraka]

Tuesday 10 May 2016

Hey Muslimah..Maruah tu... Jagalah!!!





Bismillah

Akhir-akhir ini, aku banyak membaca isu tentang maruah wanita. Dan aku dapati ramai wanita yang memandang remeh akan isu ini. Kebanyakkan mereka menyempitkan nilai maruah hanyalah pada kemaluan mereka semata-mata. Malah tidak menyedari bahawa pergaulan, penjagaan aurat dan akhlak itu adalah perisai yang sangat ampuh bagi melindungi kehormatan mereka.

Hari ini akses kepada kemaluan wanita itu tersangatlah luas. Samada melalui pelacuran, pornografi, perzinaan, rogol dan perubatan (jika tiada unsur darurat di dalamnya). Dunia modenisasi abad ini menyaksikan bahawa nilai maruah itu diletakkan pada serendah-rendah martabat. 

Sedar atau tidak, kebejatan sosial yang berlaku pada hari ini sering dikaitkan dengan kegagalan wanita dalam memelihara maruah dirinya. 

Tidak percaya??

Hari ini cuba lihat bagaimana pergaulan wanita di alam maya dan alam realiti. Semuanya tersangatlah bebas. Contohnya di laman sosial, wanita berlumba-lumba memaparkan kecantikan mereka. Tanpa ada rasa malu jika fotonya itu direnung tajam-tajam oleh lelaki ajnabi. Perempuan… semakin dipuji kecantikannya, semakin  galak mereka meng’upload’ gambar. Dengan pelbagai gaya dan posisi yang mengghairahkan. Semuanya membuatkan lelaki tidak keruan. Maka gambar itu dimuat turun lelaki tersebut dan diimaginasikan dengan khayalan-khayalan yang buruk. Nauzubillah.

Tetapi wanita masih lagi tidak merasa malu. Jauh sekali ingin belajar tentang konsep maruah diri. Walaupun sudah banyak kali diuar-uarkan si ustaz, bahawa wanita yang suka meng’upload’ gambarnya sendiri bukan merupakan calon isteri solehah. Jika mereka mendapat komen nakal dari lelaki, dikatanya lelaki itu gatal dan miang. Sedangkan diri-sendiri tergedik-gedik.

Ingatlah wahai wanita, sekali anda meng’upload’ gambar, selama-lamanya ia akan kekal di alam maya. Walaupun gambar itu sudah dipadamkan dari profile anda. Oleh itu, berhati-hatilah. Janganlah kerana satu gambar di dunia, kita menanggung azab yang pedih di akhirat. Jika di akhirat baru nak sedar, menangis air mata darah tiada gunanya lagi. Apalah nasib…. Di dunia kita terhina, di akhirat lagikan merana…

Justeru itu wahai wanita…Berpada-padalah dalam meng’upload’ gambar. Seeloknya, elakkan berkongsi gambar sendiri. Sebab nilai kita terlalu mahal untuk dijadikan tatapan bukan muhrim. Simpan sahaja gambar itu pada yang selayaknya. Jadikanlah kecantikan diri kita adalah sesuatu yang eksklusif kerana kita ialah perhiasan. Sudah tentu ianya perlu disimpan. Bukan dibiarkan bersepah-sepah di alam maya. Hakikatnya, itulah selayaknya kita. Persis sabda nabi, dunia ini ialah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah. 

Sekadar peringatan buat siapa yang mahu mengambilnya