Sunday 22 May 2016

Jom bina intelektualiti






Hari ini aku terbaca satu artikel yang menarik ditulis oleh SM Zakir. Beliau ialah Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Isu ketandusan intelektualiti menjadi topik pilihan beliau pada hari ini. Dalam artikelnya, saudara Zakir meluahkan kebimbangannya terhadap anak muda yang semakin jauh dari budaya intelektual. 

Intelektualiti seringkali dikaitkan dengan daya permikiran yang bersifat meneroka idea dan membangunkan permikiran. Malangnya hari ini idea dan keilmuan itu sudah tidak diraikan oleh permikiran anak muda. Mereka lebih cenderung memilih bahan bacaan berbentuk picisan yang hanya mementingkan hiburan dan keseronokan sekaligus melumpuhkan daya fikir yang intelek. 

Tambahan pula, amat menyedihkan apabila hampir 60 peratus buku picisan yang ketandusan nilai intelektual telah dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) baru-baru ini. Walaupun pesta tersebut mencatatkan kehadiran dua hingga tiga juta pengunjung, namun jumlah yang banyak itu tidak dapat dilihat sebagai indeks intelektual masyarakat dek jualan buku-buku picisan yang berleluasa.

Kata beliau lagi, kebanyakkan buku yang diterbitkan sekarang mempunyai kualiti yang sangat rendah. Ini kerana kita sedang berada di suatu zaman yang semua orang boleh menulis. Hatta coretan caci maki pun boleh diterbitkan. Kita tidak lagi menemukan men of letters (intelektual tokoh persuratan). Sebaliknya hanya mendapati kekosongan dan daya fikir yang sangat parah. 

Nampaknya, generasi muda hari ini tidak lagi meraikan idea dan ilmu, sebaliknya mencari bahan bacaan untuk berhibur dan mencapai keseronokan. Budaya ini hanya akan menolak keinginan berfikir seraya membawa mereka ke lembah kegelapan dan kejahilan. 

Jika buku suatu masa dahulu menuntun kepada zaman pencerahan yang menyebar di seluruh pelusuk bumi, menjadi penghadam idea ulama dan pujangga, tetapi hari ini buku liar dan picisan yang dipuja remaja akan menjerumuskan kita ke era kegelapan dan kelumpuhan permikiran. 

Kesimpulannya, buku yang dibaca majoriti anak muda di Malaysia yang digahkan dengan kuantiti hakikatnya adalah indeks keruntuhan intelektualiti. Jika kita impikan revolusi intelektual, lihatlah terlebih dahulu isi kandungan yang dibaca majoriti anak muda. Akhirnya, kita akan segera sedar bahawa kita sedang hidup di zaman keruntuhan intelektual kerana buku tidak lagi dibaca untuk berfikir, tetapi sekadar hiburan semata-mata.

Wallahua’lam. 

# Artikel yang sangat baik. Kalau ada terbitan baru, kena baca lagi..

No comments:

Post a Comment