Thursday 8 January 2015

Doa buat abah




My lovely father...
Aku akan terus berdoa buat abahku yang agak kritikal kerana menderita kanser hati..Walaupun berada jauh dari sisinya, hatiku terasa dekat dengannya.

 Oh abahku moga Allah meringankan segala sakitmu

Semoga abah diberi kekuatan untuk solat walau apa jua keadaan sekalipun

Ketahuilah abahku, aku bangga menjadi anakmu

Aku bersyukur Allah mentakdirkan aku menjadi anakmu

Betapa besar pengorbananmu sanggup menjaga anak-anakmu dengan baik walau ummi tiada disisi

Abah sanggup untuk tidak berkahwin lagi semata-mata ingin fokus menjaga kebajikan kami

Abahla abah, abahla Ummi

YA Allah, Kau ampunilah segala dosa abahku, Kau jadikanlah sakit yang dideritainya menjadi kifarah dosa buatnya agar dia akan menghadapMu dalam keadaan suci dari dosa. Ketahuilah Ya Allah, aku menjadi saksi bahawa dia berjaya mendidik anak-anaknya. Dia mengajarkan kami rukun Iman, dia mengajarkan kami Rukun Islam, dia mengajar kami solat, dia menyuruh kami menjaga aurat, menjaga pergaulan, dia memberikan kami pendidikan, sanggup membiayai segala sumber kewangan hingga tiada seorang pun antara kami terpaksa memikirkan cara membayar hutang PTPTN. Dia sudah membuat yang terbaik untuk mendidik kami. Ampunilah dosanya Ya Allah kira terdapat kesalahan-kesalahan kecilnya dalam mendidik kami. Dia juga insan biasa yang tidak terlepas dari dosa dan noda

Walaupun perbualan  kita hanya kudengar aa…aa.. aa… yang keluar dari mulutmu, tapi aku faham maksudmu itu, kau masih bertanyakan khabar aku…adakah aku dalam keadaan baik, peperiksaan aku bagaimana, boleh jawab ke?.. Tapi hanya linangan air mata yang mampu kuluahkan.

Masihku ingat momen-momen istimewa kita tatkala aku mengurut belakangmu sebelum tidur, Kau memegang tanganku dan berkata… boleh tak janji dengan abah satu perkara.. Ermm.. apa dia? Aku bertanya… “Akak belajar sampai pHd ya… belajar sampai ke peringkat tertinggi, nanti kalau jumpa ummi di kubur boleh abah kata anak kita ade jugak phd sorang….Demi Allah amanah itu terasa sangat berat untuk ku penuhi… Aku hanya berkata Ok..In sha Allah..kerana arwah ummi sendiri pun pernah berpesan kepada abah sokong anak untuk belajar, walaupun sampai ke peringkat tertinggi….

Abah..maafkan aku jika aku tidak berjaya menjadi anak terbaik untukmu….

Attaining baraqah





 Alhamdulillah, 8 Januari 2015, adalah peperiksaan pertama dan terakhir untuk aku sepanjang mengikuti program sarjana di UUM. Aku bersyukur kerana Allah telah memudahkan segala urusan pembelajaranku untuk semester ini. In sha Allah semester hadapan , bermulalah lembaran baru untuk aku menjalankan penyelidikan. Bagiku penyelidikan dalam sains sosial lebih mencabar daripada sains tulen. Sebenarnya semuanya ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Apapun, aku bersyukur kerana Allah ingin memberikan ilmu baru kepadaku walaupun pada hakikatnya menyambung sarjana bukanlah kehendak hatiku tetapi lebih cenderung untuk memenuhi hasrat ayahanda tercinta yang menginginkan anaknya menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi. Bermula dari sini, aku sebenarnya mengharapkan keberkatan atas setiap perkara yang berlaku dalam hidupku. Keberkatan yang ku maksudkan disini adalah kebaikan yang aku perolehi natijah daripada mematuhi saranan orang tuaku. Aku sangat percaya sekiranya abahku menyuruhku untuk menyambung pelajaran walaupun di luar keinginanku, aku gagahi jua atas nama ‘wa bil wa lidaini ihsaana’. Selagi tidak melanggar syariat, aku akan terus mematuhi saranan mereka agar mereka meredaiku.. Bukankah redha Allah terletak pada keredhaan ibu bapa?. Keredaan inilah yang membuahkan keberkatan yang akhirnya menyebabkan segala urusan kita di dunia dan di akhirat terasa mudah. Dan sejujurnya aku sendiri sedang menikmati keberkatan ini.


  • Ilmu psikologi yang aku pelajari, rupa-rupanya sangat memenuhi citra jiwaku
  • Peperiksaan yang aku lalui, Alhamdulillah segalanya ok
  • Pertemuan dengan rakan sebilikku dari Iraq, banyak mengajar diriku untuk menghargai sebuah persahabatan
  • Hubungan baikku dengan pensyarah memudahkan aliran ilmu yang aku pelajari
  • Sahabat akhawat dan eksplorasi tarbiyah di UUM, semuanya menambahkan kefahamanku dalam disiplin dakwah


Subhanallah, tak terkira kebaikan yang aku perolehi hasil ‘keberkatan’ ini, maha suci Allah yang mentakdirkan sebaik-baik perkara untuk hambanya.

#Senyum melebar

Monday 5 January 2015

Syukur padaNya




Alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah atas nikmat kurniaanNya hingga saat ini aku masih diberi peluang untuk menikmati hidup ini dengan segala perhiasan dunia yang cukup indah dan mendamaikan. Di saat orang lain meratapi pemergian orang tersayang, di saat orang lain menderita kelaparan, di saat orang lain rumahnya dihanyutkan…  aku bersyukur kerana pada hari ini segala ujian derita itu tidak berlaku ke atasku. Terkadang, hatiku juga terasa sayu dengan segala penderitaan mereka terutamanya dengan musibah banjir yang melanda pantai timur di kala ini.

Dalam diam hatiku tertanya-tanya….

Agaknya di mana mereka tinggal sekarang?

Adakah mereka masih mempunyai rumah?

Bagaimana persiapan sekolah anak-anak mereka?

Kenderaan untuk dibawa bekerja, adakah masih elok?

Mesin basuh, peti sejuk , dapur memasak, adakah masih boleh berfungsi?

Makanan untuk mengalas perut, adakah masih berbaki?

Allahuakbar, alangkah besar ujian mereka, hanya Allah yang maha mengetahui.Tetapi itulah realiti kehidupan. Kehidupan itu intinya ujian. Mana ada bumi tidak ditimpa hujan, mana ada lautan yang tidak bergelora. Soalnya bukan besar atau kecil ujian itu, tetapi bagaimana respons kita terhadap ujian tersebut. Jika ujian itu berjaya  mendekatkan diri kepada Allah maka kita berpotensi untuk meraih kedudukan yang tinggi disisi Allah. Tetapi andainya ujian itu disertai keluhan, kemarahan dan ketidaksabaran, rugi besarlah kita kerana tidak menjadikannya sebagai platform untuk menjadi  hamba yang terbaik disisinya.

Walaubagaimanapun…jangan sesekali kita terpedaya kerana nikmat itu juga ujian. Kemewahan, kecantikan, kecukupan makanan, kesihatan …. Ujian ini akan menjadi penentu untuk melihat samada kita hamba yang bersyukur atau kufur. Tetapi memang jelas sekali ramai antara kita menjadi hamba yang bersyukur. Termasuklah diriku yang kerdil ini.. Padanlah jika Allah mengatakan “sedikit sekali hambaku yang bersyukur”
Kita ni mengeluh lebih banyak daripada bersyukur.Walaupun semua orang mengetahui sekiranya mereka bersyukur, Allah akan tambahkan nikmat, tetapi berapa ramai orang yang benar-benar berpegang kepadanya…Betapa kasihnya Rasulullah sanggup mengajarkan satu doa untuk mendidik kita untuk terus 
bersyukur iaitu:


Maksudnya: Ya Allah, jadikanlah aku sentiasa mengingatiMu, mensyukuri nikmatMu dan perbaikilah ibadahku 

Akhir kalam. Moga kita diberi kekuatan untuk beramal dengan doa ini…