Wednesday 25 January 2017

Kenapa perlu sertai OSC?






Tahniah kepada adik-adik yang telah menjayakan KLS bulan lalu. Sudah tentu banyak manfaat yang telah anda perolehi di sana. Di kem KLS kami telah memperkenalkan ikon-ikon terpilih yang telah memberi panduan kepada anda bagaimana ingin mengatur langkah kejayaan. Anda juga telah dibimbing oleh seorang mentor yang berkredebiliti untuk memastikan impian anda membuahkan realiti. Jadi untuk meneruskan momentum anda ke menara gading, kami sekali lagi ingin menawarkan peluang yang lebih hebat untuk anda mengatur langkah ke peringkat seterusnya iaitu:

Program One Step Closer (OSC)

Apa yang anda akan dapat dari OSC??

1.       Membantu anda membuat keputusan 

Hari ini betapa ramai orang mempelajari sesuatu bidang hanya semata-mata untuk memenuhi kehendak ibu ayah atau mengikut kawan. Minat dan potensi diri tidak diambil kira untuk menentukan halatuju selepas SPM. Akibatnya mereka tertekan kerana terpaksa belajar dan bekerja dalam kursus yang tidak mereka sukai. Kami tidak mahu perkara ini terjadi kepada anda. Sebab itulah di OSC, kami memperkenalkan ujian personaliti untuk memudahkan anda mengenalpasti kecenderungan, minat dan potensi diri. Dengan mengetahui potensi diri kita yang sebenar, lebih tepat keputusan yang diambil untuk kita berkecimpung dalam sesuatu bidang.

2.       Latihan temuduga

“Umm..Err,, Aaa”.. Inilah jawapan yang kerap diberi oleh orang yang baru masuk dalam dunia temuduga. Mereka kurang keyakinan untuk berhadapan dengan si penemuduga. Akibatnya, ramai yang gagal dalam proses temuduga kerana beberapa perkara kecil yang dipandang remeh. Kami tidak mahu ianya berlaku kepada anda. Sesi temuduga menjadi akses penting untuk anda dipilih masuk ke dalam bidang yang diceburi. Ramai pelajar yang mengalami masalah dalam sesi temuduga kerana adab yang salah, tidak bersungguh-sungguh, tidak menepati etika berpakaian dan sebagainya. Dalam program OSC kami akan mengajar teknik temuduga yang betul supaya anda berjaya meyakinkan si penemuduga. In Sha Allah, anda akan berjaya dan impian anda tercapai.


3.       Panduan terperinci menyambung pelajaran ke luar negara.

Sesiapa yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara juga boleh menyertai OSC. Banyak maklumat mengenai pengajian di luar negara akan didedahkan. Contohnya suasana pengajian di Timur Tengah pastinya jauh berbeza dengan pengajian di Eropah. Anda juga akan mengetahui bagaimana untuk memohon biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke luar negara. Organisasi seperti Yayasan Terengganu, MARA, JPA dan KPM antara penyalur biasiswa utama untuk pelajar yang ingin belajar di perantauan. 
Oleh itu, tak rugi pun datang OSC. Anda akan menimba ilmu yang berguna untuk mengatur hidup anda ke peringkat seterusnya.

“Selangkah ke OSC, seribu langkah kejayaan menghampiri”

Sesiapa yang ingin ke OSC di Kuala Terengganu tu, cepat-cepatlah hubungi nombor berikut:
Ustaz Ramadhan (0192548666)
Dr Khadijah (019258666)

Saturday 21 January 2017

Sunday 1 January 2017

Sejarah Islamisasi ilmu





Pada tahun 1981, Ismail Al-Faruqi telah mempopularkan idea islamisasi ilmu pengetahuan dalam kalangan cendikiawan pada era tersebut. Idea ini timbul hasil dari kebimbangan beliau terhadap pertembungan antara ilmu barat dan pandangan Islam. Dalam karya Ismail Al- Faruqi yang bertajuk Islamization of Knowledge: General Principles and Workplans, beliau menyimpulkan bahawa permasalahan umat Islam dalam pelbagai bidang adalah berpunca daripada kelemahan sistem pendidikan yang dipraktikkan oleh umat Islam.

Kelemahan sistem pendidikan yang dimaksudkan di sini ialah kegagalan integrasi antara ilmu disiplin moden dan ilmu agama. Dalam kata lain, islamisasi ilmu gagal diterapkan dalam pendidikan hari ini.   Sebenarnya islamisasi ilmu bukanlah satu fenomena baru dalam sejarah umat Islam. Ini kerana, pendekatan tersebut pernah digunakan secara meluas dan efektif oleh cendikiawan muslim pada abad pertengahan Islam ketiga, iaitu ketika mereka berhadapan dengan cabaran tamadun Yunani, Romawi dan China. Bukan itu sahaja, metodologi ini dilihat berjaya membuahkan hasil apabila Tamadun Islam berada di era kegemilangannya di saat-saat Negara barat dan Eropah masih tenggelam dalam Era Kegelapan.

Walaubagaimanapun, selepas Eropah memasuki Zaman Reinassance, penjajahan besar-besaran terhadap negara Umat Islam giat dijalankan. Impak daripada kolonialisme Eropah ini telah mewujudkan pelbagai senario dalam sistem pendidikan negara umat Islam. Menurut Prof Dr Abdul Halim Ramli, terdapat sekurang-kurangnya empat senario pendidikan yang berlaku:

Senario yang pertama ialah penerusan sistem pendidikan kolonial barat yang juga dikenali sebagai sistem pendidikan moden. Objektif sistem tersebut ialah untuk melatih tenaga kerja bagi berkhidmat dengan kerajaan. Sementara itu sistem pendidikan tradisional  Islam mengalami kemerosotan yang agak ketara kerana usaha lebih tertumpu kepada sistem pendidikan moden yang menggalakkan pengeluaran tenaga professional. Akhirnya sistem pendidikan tradisional terkubur begitu sahaja.

Senario yang kedua ialah dualisme atau pencabangan sistem pendidikan yang telah sedia wujud pada zaman penjajahan yang bukan sahaja diwarisi oleh umat Islam malah diperkukuhkan lagi atas alasan  untuk mencapai pembangunan dan kemajuan. Senario ini telah berlaku di universiti Al-Azhar yang juga merupakan lambang pendidikan tradisional Islam. Universiti itu telah mengalami perubahan radikal pada tahun 1961 iaitu ketika Mesir berada di bawah pemerintahan Jamal Abdul Naseer. Dominasi dualisme dalam pendidikan semakin membarah apabila tertubuhnya fakulti baru yang berorientasikan disiplin moden seperti fakulti perubatan, kejuruteraan, sains dan pendidikan. Para pelajar dari fakulti pengajian Islam tidak diwajibkan mengambil subjek dari fakulti disiplin moden, manakala pelajar dari fakulti disiplin moden hanya diwajibkan mengambil beberapa subjek dari fakulti pengajian Islam. Model yang telah diperkenalkan oleh Al-Azhar telah menjadi ikutan oleh negara-negara Islam yang lain.


Analogi Islamisasi Ilmu

Senario yang ketiga ialah sekularisasi ilmu pengetahuan dalam pendidikan moden. Dalam kata lain, ilmu pengetahuan bukan sahaja terpisah dari nilai-nilai agama tetapi juga telah melahirkan dikotomi atau pemilihan cabang ilmu yang menyebabkan ilmu terpisah antara satu sama lain. Keadaan ini berbeza dengan pandangan tradisional Islam yang melihat perkaitan cabang ilmu secara terperinci dari akar sampai ke dahan-dahannya. Sistem pendidikan ini memberi impak yang sangat buruk dalam dunia islam. Kesan buruk ini mula menular disebabkan ramai pelajar muslim belajar di negara barat. Di samping itu kewujudan lembaga-lembaga pendidikan moden yang berperanan mengembangkan sistem kebaratan, mengembangkan sekularisme dan mengkritik pandangan pendidikan berorientasikan Islam telah memburukkan lagi keadaan. Sistem pendidikan yang menjadi agen sekularisasi dan pembaratan dikritik hebat oleh Maududi yang menyifatkannya sebagai “rumah penyembelihan” untuk generasi muda.

Senario keempat pula merujuk kepada kebergantungan terhadap sistem tradisional Islam semata-mata dan menafikan cabang pengetahuan baru yang telah muncul di Barat. Produk yang keluar dari sistem pendidikan ini sememangnya kurang berkualiti kerana mereka gagal beradaptasi dengan pengetahuan moden dan ketandusan idea untuk menghadapi cabaran tamadun moden yang tidak bertuhan ini. Senario ini telah dijelaskan oleh Prof I.H. Qureshi dalam mengkritik pendidikan tradisonal Islam di Pakistan, katanya:

“They (the leaders of traditional education) have neglected modern knowledge to an extent that there is no scope left for a dialogue between those who have received modern education and the graduates of seminaries… The seminaries are doing useful work in the preservation of the classical theological learning and providing ill-paid, ill-educated and ill informed imams of the mosques. It is quite obvious that such education cannot help the growth of religious consciousness”.

Itulah gambaran empat senario pendidikan yang berlaku di negara-negara umat Islam. Di Malaysia, krisis pendidikan kita lebih banyak dipengaruhi oleh faktor dualisme dan sekularisasi ilmu. Walaupun wujud sekolah integrasi bagi menyelesaikan ilmu ini, namun pelaksanaannya masih lagi samar. Di sekolah integrasi hari ini, akademik dan agama juga terpisah.Oleh itu tidak hairanlah produk yang lahir itu berminda sekular. Contohnya doktor al-hafiz tetapi ilmu kedoktorannya non-quranik. Hasilnya, al-hafiznya doktor tidak mempengaruhi ilmu kedoktorannya di peringkat falsafah ilmu mahupun aplikasinya.

Persoalannya, inikah generasi yang ingin kita lahirkan. Di manakah tahap kesedaran kita untuk menghidupkan islamisasi ilmu dalam pendidikan. Ingatlah, tamadun yang hebat lahir kerana kejayaan mereka meng’islam’kan ilmu yang dipelajari bukannya mencedok semata-mata ilmu itu tanpa sebarang tapisan. Walaupun islamisasi ilmu itu tidak mudah, namun alangkah baiknya jika kita berusaha untuk menjayakannya supaya umat Islam hari ini tidak mudah tepengaruh dengan agenda barat yang ingin memurtadkan nilai-nilai islam dalam ilmu yang dipelajari. Wallahua’lam.

Sumber:


  • Abdul Halim Ramli: Mensucikan ilmu
  • http://hefnizeinstainjember.blogspot.my/2014/12/konsep-integrasi-keilmuan-dalam-islam.html

Krisis Syria: Di mana sensitiviti kita?







[Pertamanya, saya bukanlah orang yang layak untuk mengupas isu Syria, tetapi atas dasar tanggungjawab saya sebagai muslim, saya cuba juga untuk menulis isu Syria supaya masyarakat sentiasa cakna tentang isu ini].

 Krisis di Syria bermula dengan pengaruh kebangkitan negara-negara Arab Spring yang berlaku di Tunisia, Libya, Yaman dan Mesir. Di Syria, mereka dipimpin oleh rejim Basyar al-Assad yang sangat berpegang pada Syiah Nusairiyah. Yakni suatu pegangan yang menyimpan perasaan dengki kepada kepada Muslim Sunni serta menghina Saiditina Aisyah dan Ummahatul Mukminin yang lain. Kedengkian inilah yang menyebabkan mereka melakukan pelbagai kejahatan dan sanggup membunuh rakyat  yang menentang fahamannya. 

Di Syria, Basyar Al-Assad telah lama menggunakan undang-undang darurat. Sesiapa sahaja yang menentangnya akan ditangkap dan dibunuh tanpa bicara. Kekejaman yang dilakukan sekian lama telah membangkitkan sentimen untuk menjatuhkan kerajaan Basyar. Revolusi pun bermula dan masih tidak berakhir sehingga ke hari ini. Sedar atau pun tidak, konflik di Syria sudah berlarutan sehingga 6 tahun lamanya. Ratusan ribu nyawa menjadi korban, jutaan lagi menjadi pelarian, seluruh kediaman dan infrastruktur awam musnah.Umat Islam menjadi mangsa kerakusan regim yang zalim di Syria.

Lebih teruk lagi, konflik di Syria bukan sahaja melibatkan perang antara Sunni dan Syiah, tetapi juga antara Amerika Syarikat dan Rusia. Umum mengetahui bahawa kedua-dua blok ini sanggup berbuat apa sahaja  untuk meluaskan hegemony (dominasi) dan supremacy (penguasaan) masing-masing dalam apa sahaja konflik yang berlaku. Namun, di sebalik usaha mereka mengekalkan kekuasaan, rakyat Syria yang tidak bersalah menjadi korban. Situasi di Syria tidak ubah seperti gajah bertarung sesama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah.

Isu ini sudah mendapat banyak respon yang pelbagai di peringkat antarabangsa. Terbaru, Deklarasi Moscow (20 Disember 2016) telah pun termeterai bagi meredakan krisis kemanusiaan yang berlaku di Syria, khususnya di Aleppo. Dalam deklarasi Moscow yang ditandatangani oleh Menteri Luar Turki, Iran dan Rusia, mereka bersepakat dalam lapan perkara utama. Antaranya:

a)      Menghormati kedaulatan Republik Arab Syria sebagai sebuah negara demokratik sekular yang berbilang kaum, agama dan mazhab
b)      Ketenteraan (perang)  bukanlah penyelesaian kepada konflik Syria
c)       Kepentingan mempercepatkan usaha gencatan senjata dan misi kemanusiaan
d)      Kesediaan menjadi fasilitator dan penjamin bagi perjanjian antara pihak kerajaan dan kumpulan penentang. Mereka menjemput negara lain yang berpengaruh turut berusaha bersama.
e)      Mengalukan usaha bersama di Timur Aleppo bagi membolehkan pemindahan sukarela orang awam dan kumpulan penentang bersenjata. Mereka juga mengalukan pemindahan sebahagian orang awam dari Fuaa, Kafraia, Zabadani dan Madaya.
f)       Berkeyakinan bahawa perjanjian ini akan memainkan peranan penting untuk mewujudkan momentum yang diperlukan untuk menyambung semula proses penyelesaian politik di Syria selaras dengan resolusi majlis keselamatan PBB 2254
g)      Mengambil perhatian terhadap tawaran presiden Kazakhstan untuk menjadi tuan rumah bagi mesyuarat yang berkenaan.
h)      Menegaskan kesungguhan untuk memerangi bersama kumpulan kumpulan ISIS/ Daesh, Al-Nusra dan untuk memisahkan mereka daripada kumpulan pembangkang bersenjata.

Deklarasi telah pun dibuat. Namun, sejauh mana impaknya terhadap krisis di Syria masih lagi kabur. Ini hanyalah cadangan solusi yang boleh dibuat di peringkat antarabangsa. Tetapi, bagaimana pula dengan kita? Adakah sekadar melihat masalah ini dan mencerca kejahatan Basyar. Kalau kita bersikap demikian, masalah tidak akan selesai. Oleh itu apa yang boleh kita lakukan?

1.       Berjihad dengan harta
Allah berfirman:
Wahai orang-orang beriman, adakah kamu ingin jika aku tunjukkan perdagangan yang menyelamatkan kamu dari azab yang pedih. Berimanlah kepada Allah dan Rasulnya. Dan berjihadlah pada jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu…. [As-Saff:61, 10-11].

 Justeru, kita ada harta bukan? Maka infaqkanlah sebahagian harta kita untuk membantu rakyat      Syria. Percayalah pembaca sekalian, derma kita adalah syurga buat mereka. Kesanggupan kita untuk mengorbankan harta kita adalah lambang kecintaan kepada saudara kita di sana. Jangan sesekali remehkan bantuan atau derma untuk mereka. Ingatlah saudara kita yang berada dalam kesusahan. 

2.       Berdoalah untuk mereka
Sabda Rasulullah SAW:
“ Doa adalah senjata orang mukmin”

Saudara kita di Syria sangat-sangat memerlukan doa dari kita. Berdoalah untuk mereka di akhir malam. Jangan lupa hadiahkan qunut nazilah untuk mereka. Jika kita tidak berdoa untuk mereka, siapa lagi? Baiknya Nabi yang mengistiharkan doa sebagai senjata. Kalaulah nabi menyuruh kita mengangkat senjata seperti pistol atau pedang untuk berperang, mampukah kita? Jadi, berdoalah untuk mereka, mohon agar Allah mudahkan hidup mereka, Allah bagi mereka kekuatan untuk berdepan ujian yang dahsyat ini.

3.       Sebarkanlah berita atau info yang benar tentang Syria

Sebarkan!! Sebarkan apa sahaja maklumat daripada pihak yang berautoriti untuk membantu Syria.    Contohnya, info daripada Syria Care, Aman Palestin atau apa sahaja organisasi yang  terlibat. Info sebegini penting untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa cakna dengan isu ummat Islam. Jangan biarkan isu ini sepi bagaikan angin lalu. Di laman sosial, usahlah kita sibuk menceritakan tentang ‘kita’ sahaja. Apa kita makan, apa kita beli, kereta apa kita pakai. Sebolehnya kikislah sikap narkasistik dalam diri kita dengan memfokuskan pada isu ummah. Barulah minda kita akan sentiasa berfikir dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang ada.
      
 Ingatlah Saudaraku, Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud:

    “Barangsiapa yang tidak mengambil tahu hal orang Islam yang lain, maka mereka bukan dari        kalangan KAMI” 

Akhir kata, semoga kita termasuk dalam ‘geng’ Nabi Muhammad SAW disebabkan caknaan kita terhadap isu Ummat Islam. Moga Allah redha.

Jom ikut saranan Brother Bilal
Sumber:

  • Diskusi rancangan Tabayyun mengenai Syria yang bertajuk: Aleppo has fallen: Siapa pejuang, siapa pemberontak
  • Syed Ahmad Fadli, Pegawai Pusat Penyelidik PAS