Friday 20 November 2015

Tip mengelak bersalin dengan Doktor Lelaki




Entri kali ini sengaja saya tuliskan kerana terkesan dengan perkongsian beberapa sahabat yang terpaksa menghadapi proses bersalin dengan doktor lelaki. Sebagai wanita, sudah tentu perkara ini sangat memalukan dan akan meninggalkan trauma yang mendalam apatah lagi jika wanita itu seorang muslimah yang benar-benar menjaga kehormatan dirinya.

Mengharapkan pihak hospital semata-mata untuk mencari solusi kepada isu ini adalah hampir mustahil. Persoalannya, dalam situasi yang semakin kritikan tentang isu ini, apakah usaha yang harus kita lakukan untuk mengelak insiden ini berlaku sekurang-kurangnya ke atas diri kita. Dalam entri ini saya tidak akan sekali-kali menyentuh polisi hospital atau menyalahkan doktor lelaki. Tetapi lebih kepada memberi kesedaran kepada kaum hawa untuk mereka lebih memahami isu kehormatan diri mereka. 

Tip-tip untuk mengelak bersalin dengan doktor lelaki adalah seperti berikut:

1.       Wanita harus memahami konsep malu, aurat dan maruah diri

Sungguh menyedihkan apabila wanita hari ini menganggap malu itu hanya apabila mereka terpaksa mengangkang kaki di hadapan doktor lelaki untuk memudahkan kemaluan mereka diperiksa. Maafkan saya jika bahasa saya agak kasar. Tapi inilah realiti yang berlaku. Kebanyakkan wanita hari ini menganggap pemakaian yang mendedahkan aurat bukan sesuatu yang memalukan. Kadang-kadang mereka berseluar ketat sehingga menampakkan bentuk kaki dan ‘v shape’ yang seharusnya ditutup dengan baik. Mengapa mereka tidak malu untuk menayang-nayangkannya? Ya.. mungkin sebab ia kelihatan cantik.Tetapi bagaimana dengan kemaluan? kenapa kemaluan pula malu didedahkan secara ‘real’?  (yang ini jawablah sendiri).

Perlu diingatkan bahawa aurat tu bukanlah kemaluan semata-mata tetapi seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.Hari ini ramai wanita gagal menjaga aurat mereka. Percayalah, jika dalam keadaan mampu pun anda tidak berusaha menjaga aurat anda, adakah anda fikir Allah akan memelihara aurat anda tatkala anda tidak berdaya untuk membuat apa-apa ketika anda ingin bersalin. Dalam erti kata lain, jika kita berusaha menjaga aurat kita sebaiknya di luar bilik bersalin, in sha Allah, dalam keadaan yang kita tidak mampu, Allah yang akan tolong jagakan maruah kita di bilik bersalin. Dan saya rasa tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa, terdedahnya ‘aurat berat’ wanita pada hari ini adalah satu bencana disebabkan kegagalan para wanita untuk memelihara ‘aurat ringannya’. Semoga pemeliharaan Allah ini akan menjauhkan kita dari bersalin dengan doktor lelaki

2.       Wanita harus memahami bahwa jihadnya memelihara kehormatan adalah tiket untuk ke syurga.

Hadis nabi ada mengatakan bahawa :
“Seorang wanita yang mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kemaluan serta taat kepada suaminya, dia boleh masuk ke syurga dari mana-mana pintu yang dia mahu”

Realitinya pada hari ini, ramai wanita yang menghadapi kesukaran untuk memelihara maruah dan kesucian diri mereka terutamanya ketika hendak bersalin. Namun, jika anda memahami bahawa inilah antara jihad anda untuk ke syurga, anda mesti lakukan juga walau sebesar manapun halangan yang ada. Ya susah memang susah terutamanya apabila terpaksa bersalin di hospital kerajaan. Jika tidak berjihad, terasa maruah itu terbang seperti burung keluar dari sarangnya. Hilang sekelip mata selepas bertahun-tahun dijaga. Dalam hal ini, kita harus mengimbau kembali bagaimana serikandi Islam memperjuangkan maruah dirinya. Tidak tegarkah kita untuk menjadi seperti Mariam yang rahimnya dimuliakan Allah hingga menjadi tapak lahirnya Nabi Isa a.s. Semoga kesungguhan kita untuk memelihara kesucian diri akan menjadikan kelahiran bayi kita selamat dan diberkati. 

3.       Jagalah kesihatan anda dan kandungan dengan sebaiknya

Menjaga kesihatan diri semasa tempoh kehamilan sangatlah penting. Ini kerana jika terdapat komplikasi yang berlaku, maka lebih kerap anda akan terpaksa berjumpa dengan doktor. Dalam hal ini, risiko untuk menerima rawatan dengan doktor lelaki juga adalah tinggi kerana kebanyakkan mereka adalah pakar sakit puan.Walaupun anda telah dapatkan rawatan di hospital swasta untuk khidmat doktor wanita, tetapi jika ada mengalami komplikasi, mereka akan merujuk doktor lelaki di hospital kerajaan. Oleh itu dalam usaha kita menjaga kesihatan diri dan kandungan, niatkanlah supaya kesihatan diri yang kita kecapi itu merupakan sebahagian usaha kita untuk memelihara diri kita daripada dirawat oleh doktor lelaki. 

4.       Pastikan suami anda seorang yang menjaga pandangan dan tidak menonton pornografi

Dalam kehidupan suami isteri, antara hakikat yang kita harus terima ialah setiap dosa yang dilakukan suami atau isteri tidak dapat tidak pasti akan memberi kesan kepada pasangannya. Usaha untuk seorang wanita itu dalam menjaga maruah dirinya tidak akan berhasil jika suaminya adalah seorang kaki vedio lucah. Ini kerana jika suaminya melihat aurat perempuan lain tidak mustahil suatu hari nanti aurat isterinya pula akan dilihat oleh lelaki lain. Dalam konteks ini, sinergi kerjasama memelihara maruah diri haruslah wujud antara suami isteri agar maruah kedua-duanya akan terjaga. Jika maruah terjaga, in sha Allah, terselamatlah wanita itu dari dirawat doktor lelaki.

5.       Carilah hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan doktor wanita

Apabila isu hospital swasta dibangkitkan, masalah utama yang dihadapi oleh orang ramai ialah masalah kewangan. Ramai wanita yang inginkan khidmat bersalin di hospital swasta terpaksa berputih mata kerana wang tidak cukup. Bagi saya pihak suami perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk menyediakan bajet yang secukupnya agar isterinya boleh melahirkan anak dengan tenang di samping doktor wanita.Untuk wanita pula, ada baiknya untuk melaburkan duit demi menyelamatkan maruah diri kita daripada membelanjakannya untuk membeli aksesori-aksesori bagi ditayangkan kepada umum. Ketahuilah, maruah itu lebih mahal dari segala perhiasan yang ada di bumi ini.

6.       Berdoalah bersungguh-sungguh

Selepas kita menjaga aurat dengan baik, mengumpul duit ke hospital swasta dan menjaga kesihatan diri kita, berdoalah agar Allah memberkati usaha kita untuk menjaga maruah kita. Doa merupakan senjata orang mukmin. Dr Harlina Siraj (pakar sakit puan)sendiri pernah menceritakan bagaimana kesungguhan ibu itu berdoa supaya maruahnya terpelihara semasa bersalin dimakbulkan Allah.

In sha allah dengan kesungguhan kita berdoa, Allah akan menggerakkan ‘tentera-tenteranya’ untuk memelihara maruah diri kita. Manalah tahu kesungguhan kita berdoa menyebabkan doktor lelaki yang sepatutnya merawat kita tiba-tiba sakit perut, hendak ke tandas ataupun tiba-tiba dia dipanggil pengarah hospital. Entahlah. Berbagai keajaiban boleh berlaku. 

Kesimpulannya, menjaga maruah itu adalah tanggungjawab kita. Dan pohonlah bantuan Allah untuk memelihara mahkota ini. Kerana hakikatnya hanya Allah sahaja yang mampu menjaganya, bukan kita, bukan suami kita jauh sekali doktor-doktor di hospital. Akhir kata, letakkanlah kepercayaan kepada Allah kerana Allah adalah penjaga terbaik dan Dia Maha Penyayang di antara para penyayang [12:64].

Wednesday 11 November 2015

Hakikat Aku

Terkadang, tatkala aku mengemas buku nota lama, baru aku menyedari yang aku ni suka mencatat sebenarnya. Melihatkan kembali nota yang ditulis sejak zaman sekolah sehingga melangkah ke universiti, semua catatanku itu  memberikan impak yang tersendiri dalam mengimbau nostalgia lampau, tak kurang juga yang menyuntik motivasi ke dalam diri ini.

Antara catatan yang bermakna itu adalah

3 manusia yang mengubah dunia:


Guru, penulis dan pemimpin.

Ya, kini catatanku yang lampau itu memberikan harapan yang baru untuk aku kekal menulis.Walaupun dulu-dulu aku tidak mengambilnya secara serius, tapi hari ini ia adalah ‘emas’ buatku. Kerana penulis itu adalah antara manusia yang mampu mengubah dunia. Dan mereka berani untuk mengubah dunia dengan idea dan permikiran. Cetusan idea inilah yang akhirnya membuahkan tindakan sekaligus memberi dimensi baru dalam kehidupan manusia. Semoga aku dapat memberi ‘sesuatu’ kepada dunia melalui tulisanku

Writer’s block




Writer’s block. Satu sindrom ketandusan idea untuk menulis.Sejujurnya inilah yang aku alami sekarang. Tetapi dalam perjuangan untuk terus menulis, tiada apa yang harus dibuat melainkan tulis, tulis dan tulis. Walaupun tiada idea. Bak kata Ustaz Pahrol, ‘tiada idea’ juga adalah idea. Gunakan sahaja ‘tiada idea’ itu sebagai idea.

Terkadang idea itu menerpa dengan tiba-tiba. Jika tidak dibuat sebarang catatan, idea itu akan menghilang bak angin lalu. Belum puas dinikmati, sudah berlalu. Tetapi, idea yang dicatat,dihadam dan dianalisa ibarat angin yang lalu di kincir angin. Angin ini bukanlah angin yang kosong. Bahkan mampu menyalurkan tenaga yang hebat kepada manusia. [Eheh!!! Tiba2 dapat idea..hehe]. 

Sambung balik

Kincir angin itu ibarat penulis yang aktif menulis. Putarannya menggambarkan otak yang sentiasa ligat berfikir, menganalisa maklumat dari pelbagai penjuru. Lalu menukarkan maklumat tersebut menjadi sumber yang lebih segar kepada pembacanya. 

Jadi…adakah itu aku? Adakah itu aku? [mood muhasabah].

Ya,jauh di sudut hati, aku harap akulah penulis itu.penulis yang aktif berjuang dengan mata penanya.Semoga mata pena ini kekal tajam untuk menggores setiap aksara yang diharap mampu memberikan idea segar kepada para pembaca. Mudah-mudahan In sha Allah

#Post ini tidak lebih sekadar menyuntik semangat untuk diri sendiri.