Assalam. Untuk entri kali ini, aku nak berkongsi sikit tentang pesanan
seorang ibu buat anaknya yang telah berkahwin. Wasiat indah ini telah
diterbitkan dalam majalah Ayu (1996). Best pulak baca, rasa rugi kalau tak
kongsi dengan kawan-kawan.
Inilah laluan cinta
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh
Kembali menemui anak ibu yang
diingati. Doa dan harapan ibu, semoga Ina berada dalam rahmat dan pimpinan
Allah sentiasa. Buat ibu dan ayah di sisni, Alhamdulillah. Warkah Ina telah ibu
terima beberapa hari yang lalu. Tapi, baru hari ini ibu berpeluang untuk
membalasnya.
Anakku,
Memang indah menjadi isteri yang
dicintai suami. Inilah menjadi impian para isteri. Tetapi indah bukan janji
tenang, bahagia apatah lagi keselamatan yang kekal anakku. Kerana itulah ibu
berani berkata bahawa jika cinta suami gagal kau perolehi, bukan bermakna
tertutupnya pintu bahagia di dunia ini. Apatah lagi kebahagiaan yang kita buru
adalah kebahagiaan yang kekal di Akhirat nanti. Memanglah hebat, jika suami
isteri saling cinta mencintai. Tetapi
apabila berlaku tidak seperti apa yang kita mahu, pastilah ada sesuatu
yang ingin diberikan oleh tuhan kepadamu.
Anakku,
Bila engkau memandang segalanya
dari tuhan; yang menciptakan segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan
sebab sakitnya hatimu, yang membuatkan keinginanmu terhalang, serta
menyusah-nyusahkan hidupmu…. Pasti akan damailah hatimu. Kerana, masakan Allah
mentaqdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu
betapa deritanya hidupmu, pecahnya hatimu..tapi mungkin itulah yang dia mahu.
Kerana dia tahu, hati yang sebeginilah selalunya lebih lunak dan mudah untuk
mudah dan akrab dengan-Nya.
Anakku,
Memang benar, perkahwinan ini
memang bukan atas pilihanmu sendiri, tapi bila ia telah berlaku, hakikatnya
itulah pilihan yang Allah mahu untukmu. Ibu ayah mana yang tidak mahu melihat
anaknya bahagia. Tapi terlalu banyak berlaku di luar jangkaan kita sendiri…
Cuma yang mahu ibu ingatkan anakku, perkahwinan atau suami bukanlah matlamat
akhir hidup kita. Ia hanyalah alat untuk kita merebut ampunan dan redha Illahi
Anakku,
Sesuatu yang kita tidak mahu
cintai kadang-kadang begitu dicintai oleh hati. Sebaliknya kadang-kadang kita
terlalu ingin dan cintakan sesuatu, tapi hati menolak. Hal ini adalah taqdir
yang kita sendiripun tidak boleh mengawal dan menentukannya, walau siapapun
kita. Begitu juga dengan dia. Tapi itu bukan perkara yang perlu kau kesalkan
anakku, sedangkan sikap kita kita yang tidak mencintai Allah pun sering kita
diberikan maaf, mengapa pula sikap suami begitu payah untuk kita terima? Inilah
kita anakku. Terlalu mudah sakit bila hak kita terabai, sedang bila hak Allah
terabai, hati tidak tersentuh apa-apa.
Anakku,
Allah sayang padamu. Dia mahu
engkau juga sayang dan cinta padaNya. Kerana itulah diberinya kesusahan pada
perasaanmu. Dia mahu engkau berpaling dari cinta sementara yang amat engkau
buru itu….kepada cinta yang Maha Agung lagi indah. Tidakkah engkau rasa hatimu
sekarang lebih lunak untuk mengingati Allah, jika dibandingkan dulu? Bukankah
ini satu nikmat anakku? Maka janganlah disia-siakan peluang ini dengan sungutan
dan rasa tidak redha-Mu
Anakku,
Jika dalam pada engkau tahu
suamimu tidak mencintaimu tetapi engkau masih memberikan nikmat terbaik
kepadanya , mendoakannya, maka itulah bukti bahawa engkau memang
bersungguh-sungguh memburu cinta Illahi. Jika tidak, deritamu itu hanyalah
derita yang lahir daripada nafsu yang tercabar. Ia tidak ada erti apa-apa
anakku, dan tidak layak untuk mendapat simpati…
Anakku,
Suamimu itu walau dipegang
sekuat-kuatnya atau dipeluk serat-eratnya, namun dia tidak kekal, hidupnya ada
batas, dan akhirnya dia akan pergi daripadamu. Suatu masa nanti engkau akan
tetap kehilangannya. Kerana itu, selagi terbuka peluang untuk angkau merebut
pahala sabar, redha dan syukur ini, rebutlah anakku. Dan jika sakitnya terlalu
menusuk, datanglah pada Allah untuk mengadu dan merayu. Katakan bukan engkau
tidak redha, tapi engkau adalah hambanya yang terlalu lemah. Mohonlah pimpinan dan
kekuatan daripadanya. Jika belum Dia mahu mengangkat derita itu , maka mintalah
derita itu menjadi sebab untuk engkau terus berada dalam perhatian dan kasih
sayangnya.
Ingatlah juga anakku, bahawa
mungkin ini juga satu hukuman untukmu. Hukuman pada dosa-dosa yang tidak
besungguh-sungguh kita memohon ampunan daripadaNya. Dengan datangnya ujian ini,
moga kita akan sedar dan insaf sendiri. Sedar yang kita hanyalah hamba yang
layak dihukum apa sahaja olehNya. Supaya kita datang kepadanya, merayu-rayu
meminta ampun pada kesalahan kita selama ini dan meminta ketenangan abadi yang
hanya Allah sahaja boleh memberikannya.
Doakanlah untuk suamimu, Dan
doakan juga untuk dirimu sendiri anakku. Engkau sedang melintasi satu jambatan
yang pendek tapi sulit untuk pergi ke satu mahligai yang kekal abadi dan
bahagia yang hakiki. Berbaktilah sesungguh hati padanya, yang telah Allah
tentukan sebagai suamimu. Dan hasilnya jangan kau tuntut darinya anakku, tapi
nantilah ia di akhirat yang kekal abadi.Sekian dulu. Doa dan ingatan ibu ayah,
sentiasa untukmu. Wassalam.
Ikhlas dari,
ibumu..