Wednesday 19 August 2020

Ketahui 5 tip mudah memilih buku yang tepat dan seronok dibaca

 

Terlalu banyak pilihan buku kadang-kadang membuatkan kita rambang mata untuk memilih. Lambakan buku di kedai buku atau di pesta buku memaksa kita untuk membuat keputusan yang tepat dalam pemilihan buku. Pemilihan buku yang tepat penting kerana buku bukan sahaja akan mempengaruhi permikiran, malah membantu kita mendapatkan idea bagi karya yang ingin dihasilkan.Jadi, di sini saya akan kongsikan beberapa tip memilih buku:

1.       Objektif memilih buku

Sebelum memilih buku, kenalpasti apakah objektif kita. Apakah genre yang kita mahukan…Adakah buku tersebut adalah untuk mengkaji permikiran penulis?  Atau memang anda perlukan buku itu sebagai rujukan format untuk anda menulis buku? Atau ingin menambah ilmu? Semuanya anda yang tentukan. Penentuan objektif sangat penting agar anda dapat memilih buku yang tepat selari dengan kehendak anda.

2.       Rujuk ulasan buku

Sebelum membeli sesebuah buku, rujuk atau tiliklah dahulu ulasan buku tersebut. Zaman sekarang maklumat boleh diperolehi di hujung jari. Ramai pembaca yang suka berkongsi karya kegemaran mereka di media sosial. Sekiranya ada yang berkenan, usah ragu-ragu.Teruskan membeli atau meminjam buku tersebut.


3.       Perhatikan bacaan orang hebat

 

Kata ulama, “bacalah yang terbaik dari apa yang kamu ada”. Ini menggambarkan bukan semua buku sesuai untuk dibaca. Sasterawan Negara, A Samad Said gemar menjadikan buku yang memenangi anugerah sebagai bahan bacaan beliau. Usahawan beras Malaysia, Hajah Faiza lebih gemar memilih Al-Quran sebagai bacaan di masa lapang. Natijahnya lahirlah usahawan berminda agama. Justeru tirulah’ bacaan’ orang yang hebat untuk menjadi orang yang hebat.

 

4.       Buku malar segar

 

Cubalah membuat tinjauan dalam pasaran tempatan, pasti ada buku yang dibeli dulu, kini dan selamanya. Itulah buku malar segar. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Antara buku malar segar yang popular ialah karya Pak Hamka. Karya yang dihasilkan oleh penulis yang hebat lazimnya mempunyai aura yang tersendiri. Ini merupakan buku pilihan terbaik kerana buku sebegini adalah amat berbaloi untuk dikaji.

 

5.       Adaptasi filem

 

Sesuatu filem yang ditayangkan di layar perak kadang-kadang diinspirasikan oleh penulisan novel. Membaca novel yang diadaptasi menjadi filem akan memberikan satu persepsi baru kepada pembaca. Apatah lagi jika pembaca itu merupakan peminat drama, filem atau rancangan televisyen. Dengan memilih karya tersebut, lebih mudah untuk pembaca memahami sesuatu babak yang ditayangkan. Tetapi juga, jangan terkejut andainya buku yang anda baca jauh lebih seronok berbanding adaptasi filem.

 

Kesimpulannya, memilih buku bukanlah sesuatu yang susah andainya kita memahami objektif di sebalik pemilihan buku itu. Yang penting, kita berjaya memilih buku yang tepat selari dengan keperluan semasa. Tetapi sekiranya tersalah pilih buku itu, janganlah dibuang pula, sebaiknya beri sahaja kepada saya. Ok, gurau. Jangan marah ya!!!😁