Anak-anak merupakan amanah Allah
yang harus dijaga dengan baik. Oleh sebab itulah ibu bapa harus menyediakan
diri untuk sentiasa memperbaharui ilmu bagi mendidik anak dengan mempelajari
ilmu keibubapaan. Namun realitinya di Malaysia, ramai ibu bapa yang mempunyai
anak, namun bukan semua yang mampu mendidik mereka dengan baik. Mengapa ini
berlaku?Jika diteliti kembali silibus pengajaran kita dari sekolah rendah
hingga sekolah menengah hatta ke matrikulasi dan universiti, tidak ada
kemahiran mendidik anak dalam sistem pendidikan yang formal. Cadangan Prof
Sidek Baba untuk mengimplimentasikan pendidikan keibubapaan itu secara formal
hanya dipandang sepi oleh pihak yang berwajib. Setakat ini pendidikan keibubapaan
hanya diperolehi daripada aktiviti seminar kekeluargaan, pembacaan buku dan
ajaran lepas daripada orang tua-tua.
Sebenarnya saya sangat
mengharapkan pihak kerajaan mampu menjadikan pendidikan keibubapaan dalam sistem
pendidikan formal di matrikulasi. Ini kerana pada usia tersebut individu sudah
mencapai tempoh matang dan mula tercari-cari pasangan hidup. Alangkah baiknya
jika pada masa ini kita mendidik mereka menjadi individu terbaik untuk pasangan
mereka seterusnya menerapkan ilmu
tentang dunia keibubapaan sebagai persediaan mereka menuju alam rumah tangga
yang serba mencabar. Berdasarkan pengalaman saya semasa belajar di matrikulasi,
terdapat satu subjek yang dinamakan dinamika kemahiran. Subjek ini menekankan
soal protokol berada di tempat rasmi, protokol makan di hotel dan sebagainya.
Sejujurnya Saya mencadangkan agar subjek ini ditukar kepada pendidikan
keibubapaan yang dilihat memberi impak yang lebih signifikan dalam pembangunan
masyarakat berbanding mempelajari protokol yang kadang-kadang aplikasinya hanya
di majlis-majlis tertentu sahaja. Bukan saya mengatakan itu semua tidak
penting, tapi kita harus ingat pembinaan insan itu merupakan perkara yang besar
yang harus difokuskan jika kita benar-benar ingin menegakkan ketamadunan
manusia.
Mengapa pendidikan keibubapaan penting?
Pendidikan keibubapaan sangat
penting kerana ibu-bapalah merupakan individu penting yang mempengaruhi
pendidikan anak-anak.
Rasulullah SAW bersabda,
anak-anak ibarat kain putih , ibu-bapalah yang akan mencorakkannya samada
menjadi nasrani yahudi atau majusi.
Hadis ini membuktikan bahawasanya
besar sekali peranan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak. Tetapi tidak ramai
yang menyedarinya. Buktinya kita dapat lihat apabila ibu bapa hari ini sibuk mengejar
kerjaya dan tidak memberi perhatian kepada pendidikan anak-anak. Perlu
diingatkan di sini, menjaga anak-anak bukan sahaja terhad dalam memenuhi
keperluan fizikal semata-mata seperti makanan dan pakaian, tetapi juga unsur intelektual,
emosi dan spiritual juga harus ditekankan. Dan bagi merealisasikan perkara ini
ilmu keibubapaan wajib difahami oleh orang yang telah bergelar ibu-bapa. Sekiranya
ilmu itu gagal difahami, maka kita akan menempah tiket kegagalan dalam
pembinaan generasi cemerlang. Impak pendidikan ibu bapa bukan kecil kerana ia akan
mencorakkan siapa anak mereka setelah
dewasa.
Lelaki berpisau dan anak gadisnya
Pernahkah anda mendengar cerita tentang kisah seorang Ayah
berpisau dan anak perempuannya. Bagi mendidik anaknya, pisau belati sentiasa diselip
ke pinggang si ayah kerana ia ingin memberikan suatu nada ancaman kepada si
anak sekiranya dia nakal dan tidak mengikut arahan ayahnya. Sungguh ngeri
bukan?? Dan tahukah anda siapa budak perempuan itu. Itulah Irsyad Manji,
seorang gadis dari Uganda berbangsa India yang juga merupakan seorang aktivis
gerakan kewanitaan (feminist) yang liberal dan mengaku lesbian. Kekerasan
seorang lelaki yang bergelar ayah ketika mendidik anak perempuan akhirnya telah
mengikis kepercayaan anak terbabit bahawa lelaki boleh menjadi pelindungnya.
Lebih teruk lagi, lelaki menjadi ancaman yang sangat berbahaya dalam hidupnya
walaupun lelaki itu ayahnya. Oleh itu tidak hairanlah dia lebih cenderung untuk
memilih pasangan wanita dalam kehidupannya. Lihatlah, betapa masa kecilnya yang
traumatik dek asuhan bapa yang salah telah membentuk ‘siapa dia’ pada hari ini.
Irsyad Manji: Mangsa kesilapan asuhan bapa |
Membina anak ibarat membina bangunan
Pendidikan yang baik terutamanya
di peringkat awal kanak-kanak bukan merupakan perkara remeh. Ini kerana membina
anak ibarat membina bangunan. Tempoh usia 0-5 tahun merupakan tempoh kritikal
yang harus diberi perhatian. Dalam pembinaan bangunan, tempoh masa lima tahun
itu biasanya digunakan untuk memadat dan mempersiapkan struktur tanah, supaya
ia menjadi kuat dan mampu menjadi asas yang kukuh untuk memberi laluan kepada pembinaan
seterusnya. Justeru, tindakan sesetengah ibu bapa yang meremeh-temehkan anak-anak
pada usia ini samalah seperti meremehkan fungsi kerja pembinaan hebat sehebat Franky ataupun Caterpillar dalam membina bangunan pencakar langit.
Oleh itu kita semua orang harus mengubah paradigma ini. Usia
kecil anak-anak bukanlah sesuatu yang boleh dipersia-siakan. Setelah saya
belajar psikologi pendidikan barulah saya faham mengapa di Finland, guru yang
mengajar pendidikan awal kanak-kanak perlu berkelulusan pHd. Ini menunjukkan
kualiti dan keilmuan yang ada pada guru tersebut penting dalam mencorakkan
permikiran kanak-kanak. Oleh itu kepada siapa yang bercita-cita untuk menjadi ibu-bapa
yang baik, dalamilah ilmu keibubapaan dengan baik supaya kita akan menyumbang
dalam membina generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang seterusnya menterjemahkan
‘wa aslihli fii zurriyati’[Al-Ahqaf;15] dalam kehidupan kita.Senyum sambil mata merenung memikirkan masa depan.
#Sila teroka makna ‘wa
aslihli fii zurriyati’ dalam quran ye.
.
.