Tuesday 3 March 2015

Kecemerlangan tanpa roh



Hari ini fenomena memilih kerja merupakan normalisasi yang menghinggapi graduan-graduan lepasan universiti hari ini. Sudah banyak kajian yang dilakukan tentang punca masalah pengangguran ini. Antaranya termasuklah graduan yang ingin mendapat pendapatan yang sesuai dengan kelayakan, bekerja di sektor kerajaan dan tidak kurang pula yang ingin bekerja dalam ‘zon selesa’ seperti pejabat berhawa dingin dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, tidak ramai yang mengaitkan masalah pengangguran dengan ‘mindset’ yang terpasak dalam jiwa masyarakat kita sejak zaman-berzaman. Sewaktu era persekolahan, ibu bapa sibuk menasihati pelajar untuk rajin belajar supaya mereka memperolehi keputusan akademik yang bagus, mendapat kerja dalam bidang professional dan meraih pendapatan tinggi. Lebih malang lagi, mereka hanya dianggap berjaya jika mampu memenuhi hasrat tersebut. Jika tidak, mereka dianggap gagal.Namun begitu kita tidak menyedari bahawa permikiran ini telah menjadi racun yang bisa membunuh intelektualiti dan akhlak masyarakat kita. Kesannya, masyarakat tidak mampu mengekspresi kreativiti untuk mencari solusi setiap gelombang masalah yang membadai ummah. Lebih parah lagi, mereka gagal membentuk acuan permikiran sendiri dan hanya bergantung kepada sumbangan orang lain untuk survival kehidupan. Jika terdapat orang yang berjaya sekalipun, mereka hanya mampu menjadi pekerja yang ketandusan idea-idea untuk memenuhi kemaslahatan ummah. 

‘Penternakan’ graduan

Inilah yang dikatakan kecemerlangan tanpa roh  atau “Excellence without Soul”, sebuah buku karangan seorang Proffesor di Universiti Harvard, Harry Lewis. Dalam karyanya beliau mengkritik hebat budaya pendidikan barat yang gagal memanifestasikan keilmuan untuk perkembangan modal insan. Dalam bukunya, beliau menukilkan “ Western Universities will be regarded as sources of economic security for their graduates but not of intellectual or personal inspiration” (Universiti –universiti barat hanya dianggap sebagai sumber keselesaan ekonomi kepada para graduan dan bukannya sumber inspirasi atau intelektualiti). Ini menggambarkan betapa kroniknya sistem pendidikan hari ini yang hakikatnya hanya ‘menternak’ graduan yang tidak mampu membina kecemerlangan intelektual apatah lagi menyumbang kepada pembangunan negara. Sebaliknya, mereka hanya menjadi produk untuk melariskan ekonomi dan bekerja tanpa berjaya memanfaatkan keilmuan yang dimiliki. Jika mereka memasuki pasaran kerja sekalipun, mereka hanya menjaga kepentingan diri dengan mengejar harta dan pangkat. Ditambah pula dengan ketandusan rohani, akhirnya budaya rasuah semakin membarah, pangkat diraih pun tidak berkat hingga semua orang naik meluat.

Betulkan kantamu

Hakikatnya, harta banyak melimpah ruah, status sosial yang tinggi, kecemerlangan akademik atau mungkin populariti adalah indikator yang salah dalam mendefinisikan kejayaan. Betapa baiknya Allah selaku pencipta kita yang tidak pula membeza-bezakan kita dengan kejayaan tersebut tetapi menganjurkan kita untuk terus bertaqwa kepadanya. Kerana di situlah terletaknya kejayaan sebenar. Malah kejayaan sebenar harus didefinisikan semula sebagai bukan berjaya pada pandangan manusia tapi berjaya dikaca mata Allah. Dalam surah Al-mukminun, Allah menggariskan enam ciri-ciri untuk meraih kejayaan abadi. Antaranya khusyuk dalam solat, mengawal diri dari perkara lagha, menunaikan zakat, memelihara kemaluan, menjaga amanah dan memelihara solat. Enam perkara inilah yang sepatutnya difokuskan untuk menggapai kejayaaan sebenar. Lebih molek lagi, perkara inilah yang harus dipasakkan dalam jiwa manusia sejak mereka kecil lagi. Ini kerana jiwa muda ibarat tanah yang subur, tuailah apa sahaja pasti akan segar tanamannya. Dalam konteks ini, cuba bayangkan jika guru berkata kepada anak muridnya “Wahai pelajarku kejarlah apa sahaja yang kamu suka, tetapi tetaplah solat dan mengambil panduan dari quran, kerana itu sebaik-baik jalan”. Di sini kita pasti akan lihat betapa bebasnya peluang untuk mereka memilih ‘kerjaya mereka’ tetapi pada masa yang sama tidak menidakkan kehambaan mereka kepada tuhan. Sejujurnya jika inilah yang bisa kita sematkan dalam jiwa mereka, suatu hari nanti kita akan melihat dunia kita dipenuhi ramai mukmin professional yang pakar dalam bidang masing-masing. Subhanallah, itulah generasi bertaqwa yang kita idam-idamkan. Apabila semua orang bertaqwa, tidak akan ada lagi pekerja curi tulang, tiada pekerja yang pecah amanah kerana rasa muraqabah yang tinggi hasil pemeliharaan solat mereka.


Seramnyer tengok gambar ni

Buat mahasiswa

Oleh itu buat para mahasiswa khususnya, usah sempitkan permikiranmu dengan menganggap kejayaan itu hanya apabila anda meraih anugerah dekan atau fasih berbahasa Inggeris atau mengharumkan nama universiti, tetapi lihatlah kejayaan itu dalam sudut ketaqwaan yang tinggi di sisi Allah sekurang-kurang dengan berfikir bagaimana ilmu yang diperolehi mampu mendekatkan diri kepada Allah dan memacu kita untuk membantu memartabatkan agama Allah di bumi Malaysia. Yang penting bertaqwa, rezeki itu milik Allah. Ulama pernah mengatakan “ Allah meminta kita akhirat dan menjamin dunia untuk kita, tapi alangkah indahnya jika Allah menjamin kita akhirat dan meminta kita dunia”. Oleh itu ingatlah bahawa kehidupan dunia kita sudah dijamin. Kita wajar berusaha untuk mencari rezeki tetapi tidaklah sehingga menafikan status kita sebagai hamba Allah yang wajib  mengejar taqwa untuk menggapai kejayaan hakiki. Justeru, lihatlah kecemerlangan atas asas ketaqwaan kerana kecemerlangan itulah berintipatikan rohani bukan lagi kecemerlangan tanpa roh yang nampak gah tapi hakikatnya kosong..kosong dan kosong.




No comments:

Post a Comment