Kehidupan adalah proses pengajaran. Samada ianya formal atau
tidak formal. Selagi kita make sense
dengan apa yang kita pelajari, itulah yang akan mencetuskan perubahan dalam
diri kita. Hari ini kelas masterku berjalan lagi, aku benar-benar mengikutinya.
Pensyarahku banyak bercerita mengenai keluarganya tentang pendidikan anak-anak.
Banyak dan panjang benar ceritanya. Satu kesimpulan yang boleh aku lakukan ‘
benarlah kehidupan ini satu ujian’. Walaupun pensyarahku merupakan seorang yang
boleh dikatakan pakar dalam tahap perkembangan hidup manusia, beliau sendiri pun
diuji dengan karenah anak-anak biarpun sudah memberikan yang terbaik untuk
mendidik mereka. Ini ibu yang ada pendidikan, tetapi bagaimana jika seseorang
ibu itu tidak mendalami dengan baik cara mendidik anak, pasti haru-biru
jadinya.
Kehidupan ini bukan semudah yang dijangka terutamanya
melibatkan hubungan dengan anak-anak. Generasi dulu dan sekarang jauh berbeza.
Cabaran terbesar hari ini adalah membina generasi Gen Y yang juga dikenali
sebagai kanak-kanak klik. Kita tidak akan boleh mendidik mereka sama seperti
zaman kita dahulu. Masihku ingat sewaktu darjah enam dahulu, siapa yang
mempunyai telefon bimbit pada waktu itu memang hebat. Biasanya orang yang lahir
daripada keluarga berada sahaja yang memiliki telefon bimbit pada usia itu.
Tetapi tidak di zaman kini, sehinggakan budak berusia setahun jagung pun sudah
mempunyai gajet yang super duper
lebih canggih daripada telefon zaman dahulu. Lihatlah bagaimana cepatnya
perubahan berlaku.
Realiti pendidikan hari ini, kita tidak boleh memisahkan
gajet daripada pendidikan anak-anak. Kerana itulah gaya kehidupan sekarang.
Seperti kata yang pernah dituturkan oleh Saidina Ummar Al-Khattab :
“Didiklah anak-anakmu
sesuai zamannya, karena mereka akan hidup pada zaman yang berbeza dengan
zamanmu”
Soalnya bagaimana kita ingin menjadikan gajet-gajet canggih ini
tidak memusnahkan hidup anak-anak kita.Ada kes yang berlaku di mana seorang ibu
tidak memberikan Ipad kepada anaknya. Apabila berlakunya pertemuan dengan
saudara-mara dan kawan-kawan, si anak rasa tercabar melihat mereka asyik dengan
gajet canggih. Si anak mula memberontak meminta ibu membelikannya gajet sama
yang digunakan oleh anak-anaknya.
Terdapat beberapa perkara yang harus kita amati di sini dari
perspektif:
Kaca mata ibu
Ibu tidak memberikan gajet kepada anak atas alasan supaya anaknya
tidak terlalu asyik dan leka dengan gajet menyebabkan ia melupakan pelajaran
dan ibadat
Kaca mata anak
Anak menganggap perbuatan ibunya adalah merupakan satu
kongkongan yang merimaskan dan seolah-olah menafikan haknya sebagai anak
Persekitaran
Suasana di sekeliling anak tersebut adalah tentang gajet.
Ketiadaan gajet mungkin menyebabkan dia rasa terpinggir untuk bergaul dengan
orang sekeliling
Fakta
Fakta mengatakan pemberian gajet kepada anak-anak hanya akan
menyuburkan sifat-sifat individualistik, merencatkan perkembangan minda mereka
dan sebagainya
Aduhai…banyak betul benda yang perlu diambil kira bukan??
Pendapat saya, seorang ibu itu boleh memberikan gajet kepada
anak-anak tetapi kawalan yang ketat perlulah dilaksanakan. Bagaimana caranya?
1.Menetapkan masa-masa tertentu untuk mereka menggunakan
gajet. Contohnya hanya pada waktu petang sahaja bermula pukul lima hingga
enam. Sekiranya mereka memberontak ingin menggunakan lagi melebihi masa yang
diberi , cuba sediakan alternatif permainan fizikal yang sebenarnya lebih baik
untuk mereka. Jika mereka terus menangis, biarkan. Pepatah ada mengatakan biar
anak menangis sebelum kita menangis
2. Menerapkan
disiplin-disiplin yang ketat untuk penggunaan gajet.Contoh: Ibu bapa hanya membenarkan
anak-anak menggunakan aplikasi yang tertentu sahaja di dalam gajet tersebut.
Dalam hal ini ibu bapa perlu menyaring dan memilih aplikasi yang baik untuk
diakses oleh anak-anak. Lebih baik lagi jika anak-anak menggunakan gajet yang
berlainan daripada gajet kita.Kerana mungkin perisian itu hanya sesuai untuk
orang dewasa dan bukan kanak-kanak.
3. Didik mereka untuk
menggunakan gajet dengan bermanfaat. Elakkan memperkenalkan aplikasi games
yang tidak memberi makna. Ajar mereka untuk menggunakan aplikasi yang boleh
membantu mereka mengenali sebutan dan huruf-huruf asas. Lebih baik lagi jika
mampu memperdengarkan mereka bacaan quran asas yang mudah untuk dihafal.
4. Sekat mereka
daripada akses internet. Kanak –kanak dilahirkan dengan jiwa yang suka
meneroka. Mereka akan meneroka apa sahaja yang mereka dapati. Menyekat akses
internet tidak semestinya menghalang mereka daripada meneroka, tetapi sekadar
mengawal untuk tidak terlalu bebas melayari dunia tanpa sempadan. Ingin saya
ingatkan di sini bahawa minda kanak-kanak ibarat span yang akan menyerap
sepenuhnya maklumat yang diperolehi tanpa tapisan. Kemungkinan untuk
kanak-kanak mengakses laman web yang dipenuhi unsur keganasan dan pornografi adalah
sangat tinggi memandangkan mereka tidak mengetahui apa yang ditekan. Tapi awas!!
Minda mereka sedang menyimpan maklumat tersebut.
5. Menerapkan adab
yang baik untuk penggunaan gajet. Amatlah tidak wajar membiarkan anak terus
bermain gajet di kala sedang bercakap dengan ibu bapa atau semasa tetamu datang
bertandang bertanya khabar.Ini kerana melayan tetamu itu wajib. Membiarkan kanak-kanak
asyik dengan gajet menampakkan ketidaksopanan dalam melayani tetamu.
Inilah antara penyelesaian yang mampu saya gariskan. Saya juga tidaklah berpengalaman melakukan perkara di atas, cuma berharap agar dapat membantu ibu-ibu memberikan yang terbaik untuk anak-anaknya. Sungguh kehidupan itu tidak mudah, lebih-lebih lagi untuk memanusiakan manusia.Namun perkara terbaik yang boleh dibuat adalah bagaimana kita mengadaptasi persekitaran ini sebagai medium yang membantu pentarbiyahan anak-anak kita
Akhir kata, biarlah kita mengawal teknologi, bukan teknologi mengawal kita. Selamat mencuba.