Saturday 31 December 2016

Cita-citaku....






Saya bukanlah anti wanita bekerja. Tetapi menjadi surirumah itu jauh lebih dekat di hati saya. Saya lebih suka memenuhi keperluan suami dan anak-anak berbanding mengejar wang dan kerjaya. Itu adalah fitrah semua wanita. Setinggi manapun status wanita dalam kerjaya, kepuasannya tetap tidak akan menyamai peranan mereka sebagai ibu dan isteri.

Namun, saya mengakui bahawa amat sukar sebenarnya untuk wanita tidak bekerja. Keadaan ekonomi semasa memang menuntut wanita untuk keluar bekerja. Jadi, untuk ‘meraikan’ situasi ekonomi kali ini, saya akan bekerja. Tapi sebagai apa?.... Sebagai penulis. Saya memilih untuk berkecimpung dalam penulisan kerana ia merupakan minat saya. Penulisan juga boleh dilakukan di rumah. Dengan memilih kerjaya seperti ini, lebih senang untuk saya menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Itulah niat saya.

Oleh itu, saya sendiri perlu kuat. Perlu berlatih dari sekarang untuk konsisten menulis. Saya juga ingin menulis perkara yang bermanfaat untuk ummah. Saya tidak mahu menulis perkara yang sia-sia. Saya mahukan penulisan yang boleh menjadi pencen qubur saya selepas mati. Saya harap saya boleh melakukannya. Bidznillah.

Hari ini saya terbaca tentang Jodi Picoult. Beliau juga adalah seorang surirumah yang menulis. Saya sangat terinspirasi dengan beliau. Picoult mula menerbitkan karyanya ketika berumur 24 tahun. Kebanyakkan buku yang dihasilkan adalah ketika sibuk membesarkan anak. Ini adalah indikator yang baik buat saya kerana anak-anak bukanlah satu halangan untuk saya menulis. Tetapi saya percaya seorang surirumah yang menulis perlu mempunyai disiplin menulis yang tersendiri untuk berkarya.

Jauh di sudut hati, saya berharap agar saya diberi kekuatan oleh Allah untuk istiqamah dalam menulis. Menulis adalah kewajipan saya.  Saya perlu berbuat sesuatu sebagai kebaktian saya pada keluarga dan ummah. Moga cita-cita saya ini diredhai Allah.Ameen.

Friday 30 December 2016

Genesis Metamorfosis





Buku yang sangat santai penyampaiannya tetapi sarat dengan fakta ilmiah yang menarik. Penulisnya berjaya menggabungkan genre dengan baik. Beliau memasukkan mesej melalui penceritaan Karim dan Hasan.

Hasan dan Karim merupakan sahabat baik yang berkelana bersama-sama. Sepanjang perjalanan, setiap apa yang dilihat dan dilalui dijadikan ibrah. Hasan berjaya mempengaruhi sahabatnya untuk melihat sesuatu dengan mata hati. Yakni, melihat apa yang tersirat, bukan apa yang tersurat.

Projek Manhattan, satu projek yang dibina atas dasar cinta dan patriotisme tetapi berakhir dengan dendam, kemusnahan dan peperangan. Ini adalah isu yang sangat menarik untuk difahami dan dihadam

Kesimpulannya, buku ini antara buku terbaik di mata saya. Mutu bahasanya sangat bagus. Tulisannya kemas dan sistematik tetapi penuh degan fakta ilmiah yang padat. Tahniah kepada penulis. Semoga diberi kekuatan untuk terus berkarya.

Berhati-hati berkongsi gambar





Lelaki dan perempuan diciptakan berbeza. Lelaki suka memandang. Perempuan suka dipandang. 

Ujian untuk lelaki adalah sukar untuk menahan pandangan mereka daripada melihat perempuan yang cantik. Ujian untuk perempuan pula ialah sukar untuk menyembunyikan kecantikannya. Ya.. sangat sukar. Kenapa? 

Sebab ia sangat berkaitan dengan hawa nafsu.

Mungkin ada yang kata…

“Arhh..ikut suka aku lah nak letak gambar apa.. ni fb aku, hak aku”

Wahai saudariku, badan kita bukan hak kita, badan kita ialah hak Allah. Kalau badan kita ni milik kita mestilah ikut suka kita je nak cabut nyawa bila, betul tak?

Lagipun, bahaya sebenarnya letak gambar kat laman sosial ni. Nak tahu kenapa…. Sebab penyalahgunaan gambar berlaku dengan sangat teruk.

Contohnya, sekarang ni, ada pengasas laman web yang menggunakan gambar untuk mendapatkan duit. Apabila para pelawat mengklik pada gambar tersebut, mereka akan mendapat duit. Masalahnya, gambar yang mereka letak adalah gambar-gambar perempuan. Dalam kata lain, mereka memanipulasikan gambar kita. Kadang-kadang, ada gambar yang diedit daripada berpakaian kepada tak berpakaian.  Tutup aurat ke...tak tutup aurat ke..semua dia belasah. Sebab itulah kita kena beringat.

Tetapi jangan kita sangka:

“Takpe.. aku ni takdelah cantik sangat pun, takkan ade nyer orang edit gambar aku”

Tolong jangan berfikiran macam tu. Sebenarnya, apabila sekali je kita upload gambar, risiko gambar kita untuk dicuri, diedit, disalahguna akan menjadi sangat tinggi. Paling kurang pun gambar kita mungkin telah menjadi pemuas nafsu lelaki tanpa kita sedari. Lebih-lebih lagi bagi gadis yang suka posing seksi. Nauzubillahi min zalik.

Kalau saudari tak percaya, cuba baca komen lelaki-lelaki ni bila tengok gambar wanita yang telah  disalahguna di laman web tertentu. Komen ini telah didedahkan oleh seorang blogger muslim di barat. Antaranya ialah:

1.       Its will be pleasure to have her on bed
2.       Oh!! Her back is beautiful
3.       Hey, these chicks are really great!!! Can we have them???? If yes please mail me
4.       Wow, what solid figure she have…
5.       Wow, so big b****s…

Seriously, meremang bulu roma aku bila baca ni. Tapi inilah realiti. Bayangkan kalau inilah komen lelaki bila melihat kita, agaknya berapa banyak dosa yang kita dapat dek kerana keghairahan kita untuk berkongsi gambar di laman sosial. Oleh itu saudariku, jangan berfikiran pendek. 

Cuba check balik niat kita bila upload gambar. Adakah perkara tersebut penting. Jangan hanya memikirkan keseronokan semata-mata kerana risikonya adalah maruah diri anda. Bukan diri kita sahaja, malah maruah keluarga kita. Sudah banyak kes wanita yang diedit gambarnya menjadi tidak senonoh. Bila dijumpai oleh suaminya, hubungan rumahtangga menjadi berantakan. Apabila perkara ini terjadi, kepada siapa kita nak salahkan. Adakah kepada si penyunting gambar?

Tidak…

Kita sendirilah yang harus menyalahkan diri kita. Kitalah yang menjadi pemula kepada semua ini. Ingatlah saudariku, kalian adalah perhiasan. Perhiasan seharusnya disimpan di tempat yang tertutup. Bukan dibiarkan bersepah-sepah di merata tempat. Akhir kata, moga bermanfaat.

Tuesday 20 December 2016

NaSiHat: Pseudo Terbit



 Alhamdulillah

Syukur ke hadrat Illahi kerana telah mengilhamkan aku untuk mengemaskini blog Chegu Kimmia. Sudah lama blog ini ku tinggalkan buat sementara kerana aku terpaksa melaburkan perhatianku pada penulisan buku. 

Alhamdulillah, manuskripku sudah siap dan sekarang ini berada di tangan penerbit. Aku menantikan maklum balas dari penerbit dengan penuh debaran. Almaklumlah, ini buku pertamaku. 

Kadang-kadang, aku rasa seperti bermimpi apabila buku ini telah berjaya dihantar. Aku bersyukur kepada Allah atas ilham dan idea yang dikurniakan bagi memudahkan aku menulis. Aku sangat-sangat berharap ianya menjadi antara saham terbaikku untuk menuntun diri ini ke Syurga.

Dalam diam-diam, aku bermohon agar penulisanku memberi manfaat untuk Ummah. Fokusku lebih kepada anak muda. Aku percaya mereka adalah pemangkin kepada penghijrahan masyarakat madani. Aku berharap agar penulisan buku pertamaku ini menjadi kobaran semangat untuk aku terus menulis. Aku tidak mahu bersantai dalam zon selesa jika bukuku berjaya diterbitkan. Aku masih mempunyai tanggungjawab yang besar untuk ummah.

Oh tuhan,
Siapa sangka
Aku berada di tahap ini
Sungguh ini adalah ketetapanMu
Oh tuhan
Bantulah aku untuk bersyukur
Atas buku yang akan diterbitkan
Kerana ia adalah kurniaanMu khas untukku
Maka nikmat tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

#Skema Itu Aku

Tuesday 25 October 2016

Aku kini Chegu



Lama sudah rasanya tidak menulis. 

Tapi, sebenarnya… tulis je. Tapi tak diterbitkan..

Hrm.. kali ni aku nak kongsi pengalaman menjadi guru bahasa melayu kat sekolah

Seronoknya mengajar…

Bagaikan satu nikmat..
Kerana di situ ada kepuasan…
Puas bila melihat pelajar faham apa yang kita ajarkan
Puas bila melihat mereka bersungguh-sungguh membuat yang terbaik untuk subjek kita
Puas bila boleh menyampaikan apa yang kita tahu

Di sekolah, aku berhadapan dengan pelbagai keletah pelajar. Dan Alhamdulillah sejak aku direzekikan Allah untuk belajar psikologi dalam pendidikan, aku berusaha sedaya-uapaya untuk mengaplikasikan apa yang aku belajar. Aku sangat seronok. Kerana aku lebih mahir untuk mengendalikan pelajar. Jika mereka melakukan kesalahan, aku tidak terus menghukum mereka, sebaiknya cuba memahami mereka.

Berhadapan dengan keletah pelajar sememangnya amat mencabar. Terutamanya pelajar zaman sekarang yang ketandusan nilai peradaban. Tiada perasaan hormat pada guru, banyak menjawab apabila dinasihati guru dan sebagainya. Namun, hakikatnya, inilah dunia sekarang. Sebagai guru, sabar adalah bekalan terbaik.
Sabar sebenarnya sangat susah. Tapi in sha allah kita boleh menghadapinya jika  kita meminati apa yang kita buat. Contohnya aku suka mengajar. Apa-apa cabaran yang mendatang,  aku tegar mengharunginya. Sebab apa? Sebab aku dah jatuh cinta dengan kerjaya guru. Mungkin aku mewarisi jiwa mengajar ini daripada ummiku. Kerana dia juga seorang guru.

Dialah guru terbaik dalam hidup aku. Moga segala ilmunya yang aku turunkan kepada anak didikku akan menjadi saham terbaik buatnya di akhirat.Ameen

Wednesday 21 September 2016

Inilah laluan cinta




Assalam. Untuk entri kali ini, aku nak berkongsi sikit tentang pesanan seorang ibu buat anaknya yang telah berkahwin. Wasiat indah ini telah diterbitkan dalam majalah Ayu (1996). Best pulak baca, rasa rugi kalau tak kongsi dengan kawan-kawan.

Inilah laluan cinta

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh

Kembali menemui anak ibu yang diingati. Doa dan harapan ibu, semoga Ina berada dalam rahmat dan pimpinan Allah sentiasa. Buat ibu dan ayah di sisni, Alhamdulillah. Warkah Ina telah ibu terima beberapa hari yang lalu. Tapi, baru hari ini ibu berpeluang untuk membalasnya.

Anakku,

Memang indah menjadi isteri yang dicintai suami. Inilah menjadi impian para isteri. Tetapi indah bukan janji tenang, bahagia apatah lagi keselamatan yang kekal anakku. Kerana itulah ibu berani berkata bahawa jika cinta suami gagal kau perolehi, bukan bermakna tertutupnya pintu bahagia di dunia ini. Apatah lagi kebahagiaan yang kita buru adalah kebahagiaan yang kekal di Akhirat nanti. Memanglah hebat, jika suami isteri saling cinta mencintai. Tetapi  apabila berlaku tidak seperti apa yang kita mahu, pastilah ada sesuatu yang ingin diberikan oleh tuhan kepadamu.

Anakku,

Bila engkau memandang segalanya dari tuhan; yang menciptakan segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sebab sakitnya hatimu, yang membuatkan keinginanmu terhalang, serta menyusah-nyusahkan hidupmu…. Pasti akan damailah hatimu. Kerana, masakan Allah mentaqdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu betapa deritanya hidupmu, pecahnya hatimu..tapi mungkin itulah yang dia mahu. Kerana dia tahu, hati yang sebeginilah selalunya lebih lunak dan mudah untuk mudah dan akrab dengan-Nya.

Anakku,

Memang benar, perkahwinan ini memang bukan atas pilihanmu sendiri, tapi bila ia telah berlaku, hakikatnya itulah pilihan yang Allah mahu untukmu. Ibu ayah mana yang tidak mahu melihat anaknya bahagia. Tapi terlalu banyak berlaku di luar jangkaan kita sendiri… Cuma yang mahu ibu ingatkan anakku, perkahwinan atau suami bukanlah matlamat akhir hidup kita. Ia hanyalah alat untuk kita merebut ampunan dan redha Illahi

Anakku,

Sesuatu yang kita tidak mahu cintai kadang-kadang begitu dicintai oleh hati. Sebaliknya kadang-kadang kita terlalu ingin dan cintakan sesuatu, tapi hati menolak. Hal ini adalah taqdir yang kita sendiripun tidak boleh mengawal dan menentukannya, walau siapapun kita. Begitu juga dengan dia. Tapi itu bukan perkara yang perlu kau kesalkan anakku, sedangkan sikap kita kita yang tidak mencintai Allah pun sering kita diberikan maaf, mengapa pula sikap suami begitu payah untuk kita terima? Inilah kita anakku. Terlalu mudah sakit bila hak kita terabai, sedang bila hak Allah terabai, hati tidak tersentuh apa-apa.

Anakku,

Allah sayang padamu. Dia mahu engkau juga sayang dan cinta padaNya. Kerana itulah diberinya kesusahan pada perasaanmu. Dia mahu engkau berpaling dari cinta sementara yang amat engkau buru itu….kepada cinta yang Maha Agung lagi indah. Tidakkah engkau rasa hatimu sekarang lebih lunak untuk mengingati Allah, jika dibandingkan dulu? Bukankah ini satu nikmat anakku? Maka janganlah disia-siakan peluang ini dengan sungutan dan rasa tidak redha-Mu

Anakku, 

Jika dalam pada engkau tahu suamimu tidak mencintaimu tetapi engkau masih memberikan nikmat terbaik kepadanya , mendoakannya, maka itulah bukti bahawa engkau memang bersungguh-sungguh memburu cinta Illahi. Jika tidak, deritamu itu hanyalah derita yang lahir daripada nafsu yang tercabar. Ia tidak ada erti apa-apa anakku, dan tidak layak untuk mendapat simpati…

Anakku,

Suamimu itu walau dipegang sekuat-kuatnya atau dipeluk serat-eratnya, namun dia tidak kekal, hidupnya ada batas, dan akhirnya dia akan pergi daripadamu. Suatu masa nanti engkau akan tetap kehilangannya. Kerana itu, selagi terbuka peluang untuk angkau merebut pahala sabar, redha dan syukur ini, rebutlah anakku. Dan jika sakitnya terlalu menusuk, datanglah pada Allah untuk mengadu dan merayu. Katakan bukan engkau tidak redha, tapi engkau adalah hambanya yang terlalu lemah. Mohonlah pimpinan dan kekuatan daripadanya. Jika belum Dia mahu mengangkat derita itu , maka mintalah derita itu menjadi sebab untuk engkau terus berada dalam perhatian dan kasih sayangnya.

Ingatlah juga anakku, bahawa mungkin ini juga satu hukuman untukmu. Hukuman pada dosa-dosa yang tidak besungguh-sungguh kita memohon ampunan daripadaNya. Dengan datangnya ujian ini, moga kita akan sedar dan insaf sendiri. Sedar yang kita hanyalah hamba yang layak dihukum apa sahaja olehNya. Supaya kita datang kepadanya, merayu-rayu meminta ampun pada kesalahan kita selama ini dan meminta ketenangan abadi yang hanya Allah sahaja boleh memberikannya.

Doakanlah untuk suamimu, Dan doakan juga untuk dirimu sendiri anakku. Engkau sedang melintasi satu jambatan yang pendek tapi sulit untuk pergi ke satu mahligai yang kekal abadi dan bahagia yang hakiki. Berbaktilah sesungguh hati padanya, yang telah Allah tentukan sebagai suamimu. Dan hasilnya jangan kau tuntut darinya anakku, tapi nantilah ia di akhirat yang kekal abadi.Sekian dulu. Doa dan ingatan ibu ayah, sentiasa untukmu. Wassalam.

Ikhlas dari,
 ibumu..