Saturday 31 December 2016

Cita-citaku....






Saya bukanlah anti wanita bekerja. Tetapi menjadi surirumah itu jauh lebih dekat di hati saya. Saya lebih suka memenuhi keperluan suami dan anak-anak berbanding mengejar wang dan kerjaya. Itu adalah fitrah semua wanita. Setinggi manapun status wanita dalam kerjaya, kepuasannya tetap tidak akan menyamai peranan mereka sebagai ibu dan isteri.

Namun, saya mengakui bahawa amat sukar sebenarnya untuk wanita tidak bekerja. Keadaan ekonomi semasa memang menuntut wanita untuk keluar bekerja. Jadi, untuk ‘meraikan’ situasi ekonomi kali ini, saya akan bekerja. Tapi sebagai apa?.... Sebagai penulis. Saya memilih untuk berkecimpung dalam penulisan kerana ia merupakan minat saya. Penulisan juga boleh dilakukan di rumah. Dengan memilih kerjaya seperti ini, lebih senang untuk saya menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Itulah niat saya.

Oleh itu, saya sendiri perlu kuat. Perlu berlatih dari sekarang untuk konsisten menulis. Saya juga ingin menulis perkara yang bermanfaat untuk ummah. Saya tidak mahu menulis perkara yang sia-sia. Saya mahukan penulisan yang boleh menjadi pencen qubur saya selepas mati. Saya harap saya boleh melakukannya. Bidznillah.

Hari ini saya terbaca tentang Jodi Picoult. Beliau juga adalah seorang surirumah yang menulis. Saya sangat terinspirasi dengan beliau. Picoult mula menerbitkan karyanya ketika berumur 24 tahun. Kebanyakkan buku yang dihasilkan adalah ketika sibuk membesarkan anak. Ini adalah indikator yang baik buat saya kerana anak-anak bukanlah satu halangan untuk saya menulis. Tetapi saya percaya seorang surirumah yang menulis perlu mempunyai disiplin menulis yang tersendiri untuk berkarya.

Jauh di sudut hati, saya berharap agar saya diberi kekuatan oleh Allah untuk istiqamah dalam menulis. Menulis adalah kewajipan saya.  Saya perlu berbuat sesuatu sebagai kebaktian saya pada keluarga dan ummah. Moga cita-cita saya ini diredhai Allah.Ameen.

No comments:

Post a Comment