Tuesday 19 May 2015

Bermegah-megah di laman sosial


Hari ini semua orang berlumba-lumba menunjukkan kebahagiaan mereka. Kebahagiaan kerana berkahwin, kebahagiaan kerana adanya kereta mewah, kebahagiaan pergi melancong, kebahagiaan mendapat anak dan sebagainya. Teknologi yang canggih pada zaman ini memungkinkan laman sosial menjadi medium yang paling popular untuk menghebah-hebahkan kebahagian yang dikecapi. Tidak cukup dengan gambar yang dimuatnaik, bilangan ‘like’ yang diperolehi akan diambil kita dalam menentukan aras kebahagiaan. Akhirnya kerana terlalu sibuk mengemaskini laman sosial dengan ‘kebahagiaan’, ramai yang mula melupakan tanggungjawab mereka. Pekerja mula melalaikan tugasan majikannya, ibu gagal menyempurnakan keperluan rumah tangga malah pergaulan utama di alam realiti diabaikan. Akhirnya tugasan tidak disiapkan, rumahtangga berantakan dan hubungan dengan orang keliling terjejas. Kemudian, jadilah kebahagiaan yang dimuatnaik di laman sosial hanyalah satu kepalsuan yang hakikatnya semakin terhakis di dunia realiti.

Adakah kehidupan kita juga begini?

Oleh itu, untuk apa kita ingin bermegah-megah dengan kebahagiaan yang sementara. Tidak dinafikan ramai orang yang menguar-uarkan kebahagian mereka kerana ingin berkongsi. Sebenarnya bukan tidak boleh berkongsi, tetapi biarlah pada kadar adanya sahaja.

Kata ustaz Pahrol Mohd Juoi: Beria-ria menunjukkan kebahagian ertinya belum benar-benar bahagia

Betapa naifnya masyarakat hari ini yang hanya mengukur kebahagiaan berdasarkan status sosial yang tinggi (ingin dipandang hebat oleh masyarakat).Contohnya bahagia kerana kecantikan, kerana wang yang banyak, kerana pasangan yang kacak, kerana pencapaian yang hebat dan sebagainya.

Contohnya sepasang suami isteri yang baru berkahwin. Cukuplah sekadar berkongsi gambar semasa walimah untuk menghebahkan mereka berkahwin. Tidak perlulah berkongsi tentang pergi berbulan madu atau bercuti di luar negara kemudian menghebahkan sudah mengandung, dan hebahkan lagi bila dapat anak dan seterusnya…..

“Ala.. chegu kimmia cemburu la tu”.

Oh!! Bukan begitu

Teringat saya akan pesanan kawan saya berbangsa Arab. Katanya jika kita melihat kebahagiaan orang lain, katakanlah "Ya Allah, kau tambahkan nikmatMu kepada mereka dan kurniakan kepadaku sebagaimana yang engkau kurniakan kepada mereka". Ini adabnya bila melihat kebahagiaan mereka
Sekali lagi ingin saya tegaskan di sini, bukan tidak boleh berkongsi kebahagian, tetapi janganlah kita biarkan keghairahan kita untuk berkongsi kebahagiaan menyebabkan kita terlalu gembira sehingga kita lupa bahawa semua ini adalah ujian kepada kita.



Firman Allah:
Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu semuanya telah tertulis di Loh Mahfuz sebelum kami mewujudkannya. Sungguh yang demikian itu mudah bagi Allah.
Agar kamu tidah bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu dan tidak terlalu gembira dengan apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri.

[Al-Hadid:22-23] 

Tetapi relitinya hari ini, kita terlalu berbangga-bangga dengan nikmat kurniaan Allah sehingga kita terlupa bahawa semua kenikmatan ini adalah berbentuk sementara sahaja.

Kerana percayalah

Walau sedalam mana cinta anda kepada pasangan anda, pasti akan datang suatu saat anda akan rasa sangat menyampah dengan dia dan ingin bercerai dengannya

Walau secantik mana pun diri anda yang anda megah-megahkan di instagram, pasti tiba suatu saat nanti, seperti kata Pak Hamka, gigimu akan gugur, pipimu mula mengendur, rambutmu putih bersembur.

Oleh itu, jika anda ingin berkongsi sesuatu khasnya di media sosial, fikir-fikirkanlah sebelum bertindak

Di saat-saat kita ingin berkongsi makanan yang lazat untuk dinikmati, kenang-kenangkanlah orang miskin yang menangis kelaparan

Di saat-saat  kita bermegah-megah dengan kediaman yang tersergam indah, kenang-kenangkanlah etnik rohingya yang tiada tanah pun untuk berdiam

Di saat-saat kita bermegah dengan pelancongan di tempat-tempat indah, kenang-kenangkanlah saudara kita yang menderita dalam konflik peperangan

Tika  kita tertawa dalam nikmat, jangan dilupakan insan yang susah ini [rohingya]

Hakikatnya kebahagiaan yang dikecapi bukanlah tiket untuk kita bermegah-megah tetapi ia adalah perkara yang harus disyukuri dengan rasa rendah diri disisi Allah. Bukan dengan membangga-banggakannya sehingga terlupa bahawa itu adalah pinjaman sementara yang kelak akan dipulangkan kepada PenciptaNya.

Oleh itu suka untuk saya mengajak kalian untuk menghadam makna surah At-Takathur ini agar ia menjadi pedoman buat kita.

Firman Allah:

Bermegah-megah telah melalaikan  kamu
Sehingga kamu masuk ke dalam qubur
Jangan begitu! Nanti kamu akan mengetahui kesannya
Sekali lagi, Jangan begitu! Nanti kamu akan mengetahui
Jangan begitu! Kalaulah kamu tahu dengan yakin
Kamu akan benar-benar melihat neraka Jahim
Kamu akan melihatnya dengan mata kepala kamu sendiri
Kemudian kamu akan ditanya tentang nikmat yang kamu megah-megahkan di dunia

[At-Takathur:102, 1-8]

Akhir kata, cukuplah surah ini sebagai peringatan.Untuk kita tidak terus lalai dalam bermegah-megah.Sehingga kita masuk ke lubang qubur. Wal’iya zubillah.

Sunday 17 May 2015

Malu nan Indah


Malu, bukan kecil impaknya. Ianya merupakan perlambangan iman individu. Sabda nabi, keimanan itu tujuh puluh lebih. Paling utama ialah ucapan La ilaha illallah dan serendah-rendahnya ialah menyingkirkan perkara yang menyakiti di jalan. Sifat malu adalah cabang dari keimanan ini.

Sabda nabi lagi “malu itu semuanya baik akibatnya”. Namun dunia hari ini sudah terbalik. Orang jahat tak malu-malu buat maksiat, orang baik  pula ‘malu-malu miow’ nak sebarkan kebaikan. Nilaian malu seperti ini sudah tersasar jauh dari landasan Islam. Bahkan mengundang kerugian yang besar pada umat Islam.

Sabda nabi lagi “ Jika tidak malu, buatlah apa yang kamu suka”. Menurut kitab Riyadhus Solihin, hadis ini seolah-olah satu amaran daripada Rasullulah S.A.W  supaya kita tidak bertindak sewenang-wenangnya terhadap sesuatu perkara, apatah lagi tujuannya untuk memenuhi hawa nafsu. Maksud lain hadis ini: Kalau kamu tidak malu kepada Allah dalam melakukan kemungkaran dan kemaksiatan itu, terserahlah. Kamu boleh melakukan sesuka hatimu. Tetapi awas!!, setiap perkara itu pasti ada balasannya di dunia dan di akhirat.

Soalnya, di mana status malu kita pada hari ini?

Semua orang hampir kehilangan sifat ini. Hari ini wanita tidak malu lagi untuk memuatnaik foto mengghairahkan di laman sosial. Orang lelaki pula tidak malu menyebarkan filem porno kepada rakan-rakannya. Terbaru aksi seks di balkoni apartment dan vedio wanita mengamuk sambil menanggalkan baju yang menjadi viral di internet. Parah!!. Sedar atau tidak, ini merupakan indikator bahawa sifat malu yang semakin terhakis dalam ledakan teknologi yang hakikatnya membinasakan masyarakat jika tidak diatasi. 

Malu mula terhakis kerana hilangnya rasa muraqabah (rasa Allah memerhatikan kita) walau di mana sahaja kita berada. Jika kita tidah pernah merasakan Allah bersama dengan kita, kita akan berani melakukan maksiat walaupun bersendirian. Namun lumrahnya tiada manusia yang tidak terlepas melakukan kesilapan lebih-lebih lagi ketika bersendirian. Sebab itulah Allah yang maha penyayang menyarankan kita untuk sentiasa bertaubat. Sebaik-baik orang yang melakukan dosa ialah orang yang bertaubat. Allah juga memberi jaminan untuk memelihara aib kita dengan syarat kita tidak menceritakan dosa kita pada orang lain.

Sabda nabi:

Setiap ummatku akan mendapatkan ampunan dari Allah Azza wa Jalla kecuali al Mujaahiriin iaitu seorang laki-laki yang mengerjakan sebuah perbuatan buruk pada malam hari kemudian ia menjumpai waktu subuh dan Allah telah menutupi aibnya. Lalu laki-laki tersebut mengatakan, “Wahai Fulan, aku telah mengerjakan sebuah perbuatan buruk/jelek ini dan itu”. “Maka itulah orang yang malamnya Allah telah menutup aibnya lalu ia membuka aibnya sendiri di waktu subuh (keesokan harinya ) [Abu Hurairah]

Namun bagaimana dengan orang yang secara terang-terangan tidak malu melakukan dosa. Sudah tentulah ianya melambangkan kebiadapan yang besar  terhadap  Allah. Nauzubillahi min zalik. Lebih teruk lagi jika dosanya menjadi ikutan orang ramai. Dialah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Oleh kerana itulah sifat malu itu penting. Ketahuilah, ia mampu menjadi perisai yang paling ampuh untuk melindungi kita daripada melakukan maksiat. Kepada ibu bapa, Sifat malu itu harus dipupuk sedari kecil lagi dalam jiwa anak-anak. Kepada anak perempuan khususnya, ingatkan mereka tentang penjagaan aurat yang sempurna dan kesopanan dalam pertuturan. Anak lelaki pula sewajarnya dididik untuk menjaga keperibadian saudara wanitanya agar kedua-duanya saling bersinergi untuk memelihara malu yang akhirnya melambangkan maruah orang-orang Islam. Wallahua’lam.


Wednesday 13 May 2015

Mainkan perananmu wahai ibu




Rentetan daripada isu yang pernah saya bincangkan sebelum ini dalam post hilangnya keberkatan maruah muslimah, ingin saya tegaskan bahwa banyak punca kemaksiatan kita yang berlaku pada hari ini adalah budaya wanita meninggalkan rumah mereka.

Sekiranya kita melihat pelbagai isu terutamanya melibatkan masalah sosial di kalangan masyarakat hari ini seperti perzinaan, buang anak, penceraian semuanya berpunca daripada ketidaksempurnaan peranan dalam institusi kekeluargaan. Dan jika kita dilihat dalam institusi kekeluargaan siapakah yang diberi tanggungjawab untuk mendidik generasi? Ya, siapa lagi kalau bukan kaum ibu.

Kata seorang penyair:

Ibu adalah sekolah bagi anak-anak.

Namun hari ini berapa ramai ibu yang berfungsi sebagai sekolah kepada anak-anak. Rata-rata ibu hari ini tidak mampu untuk menjaga anak mereka kerana terpaksa berganding bahu dengan si bapa untuk menstabilkan ekonomi keluarga. Akhirnya mereka meninggalkan rumahtangga mereka kerana terpaksa menumpukan pada karier mereka. Sebenarnya ini bukan merupakan fenomena yang sihat. Mengapa saya berkata begitu?

Seorang  cendekiawan barat yang terkenal Arnold Tonybee menukilkan:

“Dalam sejarah manusia, zaman yang dijangkiti oleh keburukan dan kemunduran adalah zaman di mana kaum wanita telah meninggalkan rumahtangga mereka” [dipetik oleh majalah ‘Asia’ Lahore, 25/4/1956]

Jika kita meneliti panduan wahyu dalam Al-Quran, Allah berfirman kepada kaum wanita:

“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu” [Al-Ahzab, 33:33]

Dalam ayat ini, Allah ingin berpesan kepada kaum wanita khususnya untuk sentiasa berada di rumah. Sebenarnya perlambangan wanita berada di rumah ibarat kita diletakkan di dalam peti besi yang berkunci. Semua orang sedia maklum bahawa wanita merupakan perhiasan. Ini selalu diperkatakan dalam hadis nabi yang popular bemaksud:

Dunia ini adalah perhiasan. Sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah.

Oleh itu hakikat wanita solehah itu ialah lebih banyak meluangkan masa di rumah berbanding di luar. Ini kerana jika wanita banyak berada di luar rumah, dia berpotensi untuk menjadi fitnah kepada lelaki.
Sebab itulah dalam ayat yang sama dalam surah Al-Ahzab, Allah berfirman:

Dan janganlah kamu berhias seperti wanita jahiliah zaman dahulu [Al-Ahzab, 33:33]

Jika kita melihat kronologi ayat ini, pada asalnya Allah menyuruh wanita untuk berada di rumah. Walaubagaimanapun, lumrahnya wanita pasti akan keluar rumah jika ingin melakukan aktiviti-aktiviti penting seperti menghantar anak ke sekolah, belajar di universiti ataupun keluar bekerja. Tetapi jika ingin keluar, Allah terus berpesan kepada kita untuk tidak berhias seperti wanita-wanita jahiliyyah. Apa maksudnya?  Kita mengetahui berhias seperti wanita jahiliah adalah perkara yang sangat menjengkelkan kerana ia boleh merendahkan martabat maruah wanita. Berhias seperti orang jahiliah adalah seperti mendedahkan aurat, memakai wangi-wangian, memakai gelang-gelang yang boleh menghasilkan bunyi yang menarik perhatian dan sebagainya. 

Realitinya kehidupan kita pada hari ini, wanita tidak mampu mengikuti dua saranan Allah ini dengan baik. Hari ini wanita keluar rumah bukan sahaja atas alasan tuntutan kerja, tetapi juga bertujuan untuk berhibur, bersosial dengan kawan-kawan atau membeli-belah. Lebih membimbangkan lagi , kemunculan laman-laman sosial yang membolehkan muslimah memuatnaik gambar walau di mana sahaja mereka sebenarnya menafikan falsafah sebenar berada di rumah iaitu untuk tidak mendedahkan diri kepada umum. Bahkan jika mereka melangkah ke luar rumah, pelbagai fesyen mula digayakan. Malah ada  yang mendakwa telah memperagakan fesyen yang islamik tetapi hakikatnya lari daripada syariat Islam yang sebenar.


Sejarah wanita bekerja

Di abad ini, fenomena wanita bekerja sudah menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat. Pekerjaan di luar rumah sebenarnya menyebabkan banyak wanita terpaksa mengorbankan rumah tangga. Namun tahukah anda bagaimana wanita mula menceburkan diri dalam dunia pekerjaan?

Sejarah ini bermula di Eropah di mana wanita bekerja sebagai buruh pada  tahun 1860-an. Tetapi pekerjaan pada masa ini tidak lagi memberi kesan dalam rumahtangga kerana para lelaki pada zaman tersebut sebolehnya menginginkan isteri mereka menguruskan rumahtangga. Lelaki kelas atasan memang tidak akan membenarkan isterinya bekerja. Lelaki kelas bawahan pula hanya membenarkan isteri mereka bekerja sekiranya terdesak sahaja. Selain itu lelaki yang membenarkan isteri yang bekerja  pada zaman tersebut dianggap lemah atau dalam bahasa terengganunya ‘dok rok cetong’.

Walaubagaimanapun, semasa minoriti wanita yang bekerja sebagai buruh ini terasa diri mereka tertindas kerana terpaksa melakukan kerja lelaki yang kasar, maka suara untuk membela kaum wanita ini mula kedengaran. Bukan itu sahaja,  isu pelacuran yang nyata memberikan stigma negatif kepada wanita juga menyebabkan wanita bangkit untuk mempertahankan hak mereka. Namun begitu cara mereka menuntut hak mereka adalah dengan memperjuangkan hak untuk berpolitik. Ini kerana mereka merasakan dengan adanya kuasa politik, mereka berupaya menguatkuasakan  undang-undang yang membela para wanita. 

Perjuangan menuntuk hak berpolitik pada zaman ini ternyata sangat sukar kerana para lelaki masih terikat dengan permikiran tradisional yang hanya melihat perempuan sepatutnya menguruskan rumah tangga. Bagi mereka, memberikan kuasa pada wanita seolah-olah mencabar kewibawaan lelaki. Bantahan ini bukan sahaja melibatkan para suami tetapi juga ahli politik, golongan cendikiawan, ahli falsafah dan sebagainya. 

Sehingga pada zaman tersebut seorang sejarawan bernama Tennyson telah menukilkan sajak berikut demi memperjelaskan pendiriannya terhadap isu ini.
Laki-laki ke ladang dan wanita ke tempat perapian
Laki-laki menyandang pedang dan menyulam itu untuk wanita
Laki-laki dengan akal wanita dengan hati
Laki-laki mengarah dan wanita sedia patuh
Segala yang lain porak peranda

Walaubagaimanapun perjuangan menuntut hak berpolitik ini merupakan kesalahan besar wanita pada masa lalu kerana ia telah memberi galakan kepada wanita untuk bekerja. Apabila wanita bekerja, ia seolah-olah  mewujudkan dominasi kuasa wanita ke atas lelaki sekaligus melancarkan perjuangan menuntut hak berpolitik. Selepas perang Salib pada tahun 1914, wanita yang bekerja pada mulanya untuk menggantikan lelaki yang berperang enggan meninggalkan kerjaya mereka walaupun selepas lelaki pulang dari perang dan ingin bekerja. Semenjak itu semakin ramai wanita mula berkecimpung dalam bidang pekerjaan.

Namun, selepas beberapa tahun, Christabel Pankhurst, seorang pejuang hak wanita akhirnya meluahkan kekecewaannya kerana beliau mendapati perjuangannya menuntut hak berpolitik untuk membela nasib wanita akhirnya tidak memberikan kesan yang signifikan. Ini kerana walaupun golongan wanita sudah dibenarkan berpolitik, masih tidak ada dasar yang berjaya ditubuhkan untuk memulihkan semula masalah yang dihadapi oleh kaum wanita. Lebih malang lagi perjuangannya telah menyebabkan semakin ramai wanita keluar bekerja dan ini sebenarnya menyulitkan lagi usaha ke arah memartabatkan maruah kaum wanita. Oleh kerana itulah, akhirnya Christabel Pankhurst akur bahawa perjuangannya itu adalah satu kesalahan dan beliau menyeru orang ramai untuk mengambil panduan berdasarkan hukum tuhan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh para wanita. Beliau akhirnya menjadi seorang pendakwah Kristian.

Christabel Pankhurst
Dalam konteks ini kita sebagai umat Islam harus bermuhasabah untuk menilai kembali gaya hidup kita pada hari ini. Jika tokoh kristian yang memperjuangkan hak wanita mengakui bahawa fenomena wanita bekerja itu lebih banyak mudarat berbanding manfaat, kita sebagai muslim seharusnya sedar bahawa peranan wanita berasakan panduan wahyu harus dihidupkan kembali iaitu dengan meramaikan wanita yang membangunkan rumah tangga. Hakikatnya wanita bekerja di luar rumah akan menyebabkan lebih banyak berlakunya penyakit sosial dalam masyarakat untuk jangka masa panjang. Ini kerana peranan wanita yang utama adalah menguruskan rumah tangga sebagaimana yang disebutkan di dalam potongan hadis:

Wanita itu pemimpin dalam urusan rumahtangga dan dia akan dipertanggungjawabkan atas pimpinannya (Hadia Riwayat Bukhari Muslim).

Antara keburukan wanita bekerja untuk jangka masa panjang ialah:

1.       Keharmonian rumah tangga tergugat
Kadar penceraian akan menjadi semakin tinggi kerana wanita yang keluar rumah dan berhias cantik akan digunakan oleh syaitan untuk merosakkan lelaki. Selain itu tuntutan pekerjaan yang menyebabkan suami  isteri sentiasa berjauhan boleh menimbulkan kecurigaan kepada pasangan seterusnya membuka pintu kecurangan terhadap pasangan masing-masing. Hakikatnya bukan sedikit pasangan yang bercerai kerana masalah ini. Penceraian yang berlaku bukan sahaja memberi kesan kepada suami isteri malahan anak-anak dan keluarga masing-masing. 

2.       Pengabaian anak-anak
Anak-anak adalah aset utama untuk penjanaan modal insan. Pengabaian ibu terhadap anak kerana tuntutan kerja akan memberikan impak negatif yang sangat buruk kepada pendidikan anak-anak. Ibu sepatutnya mengutamakan anak berbanding kerjaya, lebih-lebih lagi sekiranya suami sudah mampu menyara ahli keluarga walaupun isteri tidak bekerja. Oleh itu jika suami mampu, menjadi surirumah adalah kerjaya utama untuk wanita.

3.       Menghadkan peluang pekerjaan untuk para lelaki
Hari ini lebih ramai wanita yang mudah mendapat pekerjaan berbanding lelaki kerana tahap akademik mereka yang baik. Majikan juga cenderung untuk memilih pekerja wanita kerana kerajinan dan komitmen yang tinggi ditunjukkan mereka.Ini menyebabkan pintu peluang pekerjaan untuk para lelaki semakin tertutup. Sedangkan pekerjaan penting bagi lelaki untuk mereka memberi nafkah kepada keluarga mereka kelak.

4.       Kewujudan lebih ramai house husband
Fenomena house husband adalah merujuk kepada lelaki yang memilih untuk menjadi surirumah. Kebanyakan lelaki memilih untuk menjadi surirumah kerana mereka ingin menjaga anak mereka. Biasanya keadaan ini berlaku kerana wanita mempunyai gaji yang lebih besar untuk menanggung keluarga berbanding si suami. Isu ini agak membimbangkan kerana peranan lelaki sebagai pencari nafkah seolah-olah dinafikan. Lebih malang lagi bukan semua lelaki mampu menjadi surirumah. Ini kerana terdapat kes di mana lelaki mengambil kesempatan dan bersikap malas kerana isteri boleh menanggungnya. Kehidupan suami yang tiada tanggungjawab ini akhirnya menjerumuskan mereka ke dalam gaya hidup yang negatif seperti keluar minum dengan rakan, menghabiskan masa bermain games dan sebagainya. Budaya ini boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dan hakikatnya sudah banyak penceraian berlaku kerana kes ini.


House husband: Isu keterbalikan peranan

Hakikatnya, peranan wanita sebenar mengikut panduan wahyu adalah perkara asas yang perlu difahami oleh setiap wanita. Panduan ini bukan untuk menyekat kebebasan kita tetapi memuliakan wanita sebagai pendidik generasi yang mengimbangi kekurangan lelaki. Akhir kata ini sekadar pendapat saya. In sha Allah, andai Allah memberi kesempatan saya akan cuba kupaskan mengenai wanita berkerjaya dan panduan yang harus dilakukan mengikut Islam.



Bahan rujukan

Anda juga boleh mendapat kefahaman yang lebih di sini