Monday 13 April 2015

Hilangnya keberkatan maruah muslimah



Hari ini selepas menikmati makan tengahari di LEGO (himpunan cafĂ© @ tempat makan di UUM), saya kembali semula ke perpustakaan untuk menyambung kembali tugasan yang ditinggalkan. Semasa menaiki tangga ke perpustakaan, saya terpandang sebuah gerai buku yang menjual pelbagai buku-buku menarik. Sambil menaiki tangga, saya pun berfikir:” Nak pergi ke…tak?”, masih berkira-kira. Namun akhirnya saya memusingkan badan, menuruni anak tangga dan terus melangkah ke gerai tersebut. Kebanyakkan buku yang dijual disitu semuanya berunsurkan keagamaan.

“Dilema aurat wanita ketika bersalin”. Tajuk yang sangat menarik perhatian. Saya luangkan masa lebih kurang sepuluh minit untuk membacanya. Hati ini berasa agak tersentap  membaca pelbagai kisah dan ragam orang bersalin yang disampaikan oleh penulis. 

Sungguh sedih melihat realiti masalah yang melanda di negara umat Islam. Sudah berpuluh tahun negara kita merdeka, tetapi penerapan Islam terutamanya dalam bidang perubatan moden seolah-olah diketepikan. Masalahnya bukan aurat wanita sahaja yang menjadi korban, malah lelaki pun sama…..

Tetapi bila dah masuk soal nak bersalin, ini lagi berat sebab ia membabitkan aurat ‘berat’ bagi muslimah. Ini bukan perkara remeh. Namun di sini, saya tidak berniat ingin menuding jari kepada sesiapa. Cuma cara terbaik sekarang adalah bagaimana kita ingin mencari penyelesaian terhadap apa yang berlaku dengan kuasa yang ada pada kita sekarang, tidak kiralah siapa kita dalam konteks ini, samada doktor, ibu yang ingin bersalin, suami, jururawat ataupun pengarah hospital, kita semua ada peranan masing-masing.

Aurat termasuklah kemaluan merupakan anugerah Allah yang tiada ternilai. Jika tidak masakan Allah melabel mereka yang memelihara kemaluannya sebagai mukmin yang berjaya  dan menjanjikan syurga Firdaus terhadap mereka.

“Yakni orang yang memelihara kemaluannya’[Al-mukminun, 23: 5]

Ayat ini bukan sahaja menyuruh kita memelihara diri dari perlakuan zina, malah sebenarnya melambangkan perlunya kita memelihara maruah diri jika kita mengaku beriman kepada Allah s.w.t. Malangnya realiti perubatan moden hari ini seolah-olah menampakkan hilangnya sensitiviti terhadap pemeliharaan aurat pesakit itu sendiri.Secara peribadi, sukar untuk saya  menerima perlunya seorang pesakit itu bertelanjang sebagai prosedur yang telah ditetapkan dalam pemeriksaan perubatan (ini maklumat yang saya perolehi dari buku terbabit). Sedangkan mengikut cara Islam, hanya anggota badan yang sakit sahaja dibenarkan dibuka untuk tujuan pemeriksaan.Subhanallah, sungguh teliti Islam mengajar kita .

Namun begitu, saya tidak mengatakan semua doktor yang ini gatal atau ingin mengambil kesempatan dan sebagainya. Tetapi terdapat juga segelintir individu-individu yang tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil kesempatan terhadap pesakit. Ini yang meresahkan saya. Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan ramai doktor-doktor pakar tidak kiralah lelaki atau perempuan ingin memberikan yang terbaik kepada pesakit mereka. Ramai antara mereka yang sangat professional dan beretika dalam menjaga kebajikan pesakit. Pernah juga saya terbaca kes yang seorang suami yang terlalu hendakkan doktor wanita membantu isterinya bersalin. Kebetulan pada waktu tersebut tidak ada doktor wanita yang bertugas. Yang ada hanya jururawat dan doktor lelaki. Kemudian proses bersalin hanya dikendalikan oleh jururawat tanpa doktor pemantau kerana suami wanita tersebut berkeras tidak mahukan doktor lelaki mengendalikan kelahiran anaknya.. Entah bagaimana, anak yang dilahirkan itu tidak normal, matanya terperosok ke dalam dan semua ini berlaku kerana komplikasi semasa proses bersalin. Jika diteliti kes ini, ada kewajaran untuk membenarkan doktor lelaki untuk bertugas mengendalikan kelahiran bayi itu bagi mengelakkan mudarat yang lebih buruk.

Hrm… setiap perkara ada pro dan kontranya. Sangat susah untuk kita menilai dari sudut-sudut tertentu sahaja. Tapi bila membabitkan maruah ia bukan sesuatu yang mudah sebenarnya. Kerana akhirnya maruah kita itu adalah segala-galanya.Sejujurnya saya menganggap situasi wanita yang bersalin dengan doktor lelaki adalah penyakit sosial tetapi ianya tidak nampak ketara kerana ia berlaku dalam sebuah organisasi formal, melibatkan hospitaliti dan golongan professional seperti doktor-doktor pakar dan sebagainya. Tetapi ada dua perkara penting  yang perlu kita ketahui tentang isu ini iaitu:

Percayalah

Tidak ada dalam dunia ini seorang wanita yang beriman dan sentiasa menjaga maruah dirinya sanggup dibidani oleh doktor lelaki kecuali doktor itu suaminya

Dan percayalah bahawa

Tidak ada suami yang betul-betul bermaruah yang tegar membiarkan isterinya dibidani oleh doktor lelaki walau lelaki itu mungkin adik-beradik atau ayah isterinya.


Sedar atau tidak hakikat sebenar punca permasalah ini ialah tertutupnya pintu keberkatan maruah wanita itu sendiri. 

Allah berfirman dalam quran bermaksud:


Persoalannya sekarang bagaimanakah Allah bisa membukakan pintu keberkatan maruah jika kita tidak beriman. Realiti dunia hari ini, tidak kiralah samada kita menjaga aurat atau tidak, semuanya berpotensi untuk diambil kesempatan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana terlalu banyak maksiat yang menjurus ke arah kemusnahan maruah wanita yang semakin berleluasa. Lihat sahaja dunia hari ini, bagaimana cara wanita berpakaian. Terdedah sana sini memperagakan pakaian seksi yang menyeksakan. Aurat terbuka 24 jam. Kemudian tiba masa bersalin, anda menuntut doktor perempuan yang menjadi bidan anda bersalin atas dasar ingin menjaga maruah. Namun ketahuilah saudariku sekalian, jika dalam keadaan kita mampu, kita tidak berusaha untuk menjaga aurat kita sebaiknya, jangan mimpilah Allah akan menjaga aurat kita dalam keadaan kita sendiripun tidak mampu memelihara aurat kita. Itu merupakan perkara yang harus direnung sedalam-dalamnya sebagai peringatan untuk kita semua. 



Begitu juga kaum suami. Sekiranya anda mengambil kesempatan terhadap isteri orang lain, menonton pornografi, teruja untuk melihat aurat wanita lain (maafkan saya, tapi ini banyak juga berlaku di hospital seperti yang sering diceritakan oleh abang saya) jangan terkejut sekiranya isteri anda diperlakukan oleh orang lain dengan lebih teruk lagi. Kasihanilah isteri anda, lebih-lebih lagi jika dia muslimah sejati, yang berusaha terbaik mungkin untuk menjaga mahkota dirinya khas untuk anda, janganlah khianati dirinya. Anda sebagai suamilah sepatutnya menjadi penjaga maruah isteri anda dengan tidak memperkotak-katikkan maruah wanita lain. Barulah anda menjadi hero yang hebat di matanya. Pokok pangkalnya suami isteri harus bekerjasama dalam soal pemeliharaan maruah kerana tidak dapat tidak setiap apa sahaja yang dilakukan si suami khususnya pasti akan meninggalkan tempias kepada si isteri. Begitu juga sebaliknya

Zaman Tradisional vs zaman moden

Jika kita kembali menyoroti gaya hidup masyarakat melayu tradisional khususnya, para lelaki sangat bertanggungjawab memelihara maruah isterinya. Mereka hanya menggalakkan isteri tinggal di rumah mendidik anak. Kemudian jika keluar pula pakaiannya terjaga, adab kesopanan dipelihara, jauh sekali terjebak dengan pergaulan bebas yang melata. Jika isterinya ingin bersalin, akan ada tok bidan yang sudi berkhidmat tanpa mengira masa dan tempat. Tetapi, tiada pula kita terdengar peningkatan kes kematian bayi kerana tok bidan yang menyambut kelahiran bayi. Alhamdulillah, bayi selamat, maruah ibu terpelihara bahkan si suami pun turut bersyukur kerana telah berjaya  memberi yang terbaik kepada keluarganya. Subhanallah, itulah keberkatan yang hakiki. Tapi sayangnya, keberkatan maruah itulah yang lenyap dalam arus kemodenan hari ini.

Komik anak-anak sidek mengingatkan saya akan cerita melayu tradisional

Oleh itu siapapun kita pada hari ini, buatlah sesuatu agar suatu hari nanti Allah membukakan kembali pintu keberkatan maruah sekurang-kurangnya dengan berjuang  untuk memelihara maruah kita sendiri. Jagalah aurat kerana itulah antara amanah Allah yang sebenarnya memberi impak buruk berskala besar jika kita mencuaikannya dalam kehidupan kita. Semuanya bermula dari kita. Semoga Allah memberkati usaha kita untuk terus memelihara maruah diri untuk menempah tempat di Syurga Firdaus.Ameen. Chaiyok-chaiyok !!!




No comments:

Post a Comment