Tuesday 26 July 2016

Pokemon Go vs Pahala Go





Pokemon Go

Ia adalah permainan menangkap Pokemon. Uniknya aplikasi ini, ia menghubungkan dunia fantasi dan realiti. Pendek kata, kita melihat Pokemon di alam fantasi tetapi kita menangkapnya di alam realiti. Ini sememangnya mengundang sense of crazy dalam diri kita lebih-lebih lagi jika kita membiarkan permainan fantasi itu mengawal kehidupan realiti kita.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Wall Street Jurnal, pemain Pokemon Go berhadapan dengan risiko fizikal. Permainan berasaskan GPS ini akan menyebabkan Pokemon boleh muncul dimana-mana. Lebih memeranjatkan lagi, ianya boleh muncul di kawasan-kawasan seperti sungai, tebing tinggi dan sebagainya sesuai dengan habitat Pokemon itu sendiri. Pemain akan terdedah dangan pelbagai risiko keselamatan untuk menangkap Pokemon.

Oleh kerana itulah, belum sampai sebulan ianya dilancarkan, Pokemon Go dilihat sudah menimbulkan pelbagai huru-hara dalam kehidupan realiti kita. Buktinya, sudah ada kes remaja mati ditembak  di Guatemala semasa bermain Pokemon Go. Mungkin caranya memandu semasa memburu pokemon mencurigakan polis yang menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan kerana dikhuatiri ianya adalah cubaan merompak. Akhirnya bukan Pokemon yang go tapi dia yang ‘Go’. Di Pittsburgh pula, seorang remaja telah dirempuh kereta kerana cuba ingin melintas jalan raya yang sibuk gara-gara ingin menangkap Pokemon. Akhirnya ibu mangsa mengeluarkan kenyataan:

“Kepada ibu bapa, jangan biarkan anak-anak anda bermain permainan ini kerana kamu mesti tidak mahu lalui apa yang saya hadapi. Saya menyangka saya akan kehilangan anak perempuan saya”.

Di Bosnia pula , seorang pemuda terpaksa ditembak oleh polis kerana secara tidak sengaja menceroboh zon larangan (kawasan periuk api )disebabkan terlalu asyik memburu Pokemon. Tidak kurang juga yang sanggup berhenti kerja dan mengabaikan tanggungjawab harian kerana bermain Pokemon Go. Ini memang sudah GILA. 

Rentetan itu, padanlah ulama Mesir, Imam Turki dan Arab Saudi mengharamkan permainan ini. Di Turki, Imam Deyenet-Sen Mehmet mendakwa Pokemon Go diklasifikasikan sebagai senjata Barat untuk melalaikan umat Islam. Permainan ini juga boleh menjejaskan nilai murni kerana wujud pemain yang masuk ke masjid hanya untuk menangkap Pokemon dan bukannya untuk beribadah. Ini secara tidak langsung mencemarkan fungsi masjid. Di Arab Saudi, ulama mengharamkan Pokemon Go kerana wujud unsur perjudian di dalamnya. Dalam permainan ini, dua pemain bersaing untuk mendapatkan kad dengan harga berbeza dan siapa pemain terkuat akan memenangi kad terbabit. Jika seorang pemain tidak mahu kehilangan kad, pemain itu perlu membayar harganya. Di Mesir pula, Sheikh Abbas Summan mendakwa permainan itu melalaikan dan mungkin menjejaskan keselamatan diri mereka. Beliau menyamakan situasi permainan ini ibarat membaca quran sambil berjalan. Katanya:

“Jika seseorang sibuk membaca Al-Quran semasa berjalan di jalanraya, ini mungkin akan mengakibatkan kemalangan, jadi kita juga akan memberitahu mereka untuk tidak membaca dengan cara itu”.

Namun begitu, walaupun keburukan Pokemon Go sudah kita ketahui, fatwa Ulama telah menjelaskan pengharamannya, saya masih terkejut dengan keterujaan orang muda khususnya, yang tidak sabar menanti-nantikan kedatangan Pokemon Go ke Malaysia. Baru-baru ini, kajian yang didedahkan oleh akhbar Sinar Harian melaporkan bahawa 80% daripada 5000 responden tidak sabar menantikan kedatangan Pokemon Go di Malaysia. Laporan juga mendapati kebanyakkan peminat Pokemon Go adalah kelompok generasi muda yang berumur dalam lingkungan 21-30 tahun. Oh.. inikah trend permikiran anak muda hari ini. Berhibur tak habis-habis. Tidak cukup dengan konsert Selena Gomez, Pokemon Go pula menjadi virus baru yang meracuni budaya hedonisme di Malaysia. 

Malangnya, Pokemon Go akan pasti menembusi Malaysia tidak lama lagi. Sejauh mana ia akan memberi impak kepada masyarakat kita, sudah dapat kita bayangkan. Soalnya, sejauh manakah persediaan kita menghadapi kegilaan ini. Mungkin kita patut mencipta aplikasi Pahala Go (aplikasi tangkap pahala) sebagai vaksin baru yang bakal melumpuhkan virus Pokemon Go. Mungkin…. Anda lebih tahu caranya. Akhir kalam, seandainya Pokemon Go masuk ke Malaysia, moga-moga Pokemon itu tidak muncul di Menara KLCC. Takut-takut akan keluar berita, “ Maut jatuh KLCC kerana tangkap Pokemon”. Nauzubillah hi min zalik.

Rujukan: Akbar sinar harian