Memperkasa Institusi Masjid
Institusi Masjid sudah lama bertapak di bumi
Malaysia. Statistik menunjukkan bilangan masjid yang dibina di seluruh Malaysia
hampir mencecah 7000 buah masjid. Malah, multifungsi masjid umpamanya masjid
negara bukan sahaja terhad kepada dewan ibadah sahaja, tetapi juga berupaya
menjadi perpustakaan, dewan persidangan, pejabat dan sebagainya.
Walaubagaimanapun, kepelbagaian fungsi masjid dan bilangannya sahaja tidak cukup
untuk menjadi indikator dalam menentukan keperkasaan institusi masjid sebaliknya,
usaha untuk menyuntik kesedaran bagi mengimarahkan masjidlah lebih wajar untuk
difokuskan dalam mewujudkan generasi yang benar-benar mencintai masjid.
Hakikatnya hari ini, betapa banyak masyarakat yang membina masjid tetapi gagal
mendirikan masjid yang dibina.
Kecintaan terhadap masjid merupakan
penggerak utama dalam mengimarahkan masjid. Kata pujangga cinta itu mampu
menjadi motivasi yang menggerakkan keinginan manusia. Dalam menghasilkan
generasi yang mencintai masjid, peranan ibu bapa khususnya sangat penting untuk
membiasakan anak-anak dengan kehidupan di masjid. Menerapkan kecintaan terhadap
masjid sejak usia kanak-kanak ibarat menyediakan simen, batu bata dan tiang
konkrit yang utuh untuk dijadikan tapak bagi pembinaan sesebuah bangunan.
Sekiranya tapak sudah kukuh, maka pembinaan peringkat seterusnya akan menjadi
lebih lancar dan mudah. Begitulah manusia. Jika semasa kanak-kanak lagi mereka
sudah cintakan masjid, tidak mustahil mereka akan menjadi orang yang
merencanakan aktiviti di masjid sejak remaja lagi. Akhirnya masjid bukan sahaja
gah dengan senibina yang menawan bahkan dipenuhi pemuda-pemuda yang cintakan
Allah.
Minat ke masjid perlu dipupuk sejak kecil |
Masjid
pemacu pemuda pemimpin
Masjid juga perlu dilihat sebagai platform
yang berpotensi melahirkan ikon masyarakat yang produktif dan berkarisma. Pemuda
yang sudah terbiasa menjadi Imam dan Khatib di sesebuah masjid secara tidak langsung sedang melatih dirinya
menjadi pemimpin yang berwibawa dan cemerlang. Kegigihan pemuda mengurus dan
mengendalikan program di masjid sedikit sebanyak memberi kemahiran
mengorganisasi yang sangat diperlukan untuk membangunkan ummah yang beragenda.
Bukan itu sahaja, konsep kerja berkumpulan yang sentiasa disuburkan semasa
menjayakan program adalah menifestasi kebersamaan hidup dalam jemaah yang
sangat-sangat dituntut oleh Islam. Kita juga harus kreatif menjadikan masjid
sebagai ‘sarang lepak’ pemuda-pemuda. Daripada membiarkan mereka melepak di
kedai-kedai mamak sehingga larut malam ada eloknya jika pihak masjid mengelola
aktiviti qiamullail yang lebih meneguhkan jiwa dan memantapkan iman. Remaja
jika tidak digunakan mereka pada saluran yang betul, mereka akan mudah
terpengaruh kepada gejala sosial yang tidak menyihatkan dan bakal menyusahkan
masyarakat.
Masjid juga merupakan limpahan cahaya yang
mampu menerangi ummah jika sentiasa dinyalakan dengan majlis-majlis ilmu dan
perbincangan agama. Di masjid, tokoh undangan yang dijemput kebiasaannya
merupakan golongan yang mempunyai kredebiliti dan pengetahuan agama yang
tinggi. Pada zaman yang dipenuhi fitnah ini, kesucian ilmu agama inilah yang
perlu dijaga agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak
sahih yang tersebar luas di alam maya sehingga mengelirukan umat Islam. Oleh
itu masjid dilihat sebagai wasilah ilmu yang paling efisien dalam menyebarkan
kebenaran setaraf dengan institusi-institusi pengajian tinggi yang berpendidikan
formal. Cuma penyampaian di masjid lebih bersifat santai
kerana audiensnya yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Masjid
mesra ummah
Masjid yang baik sudah tentu meraikan
pengunjungnya dengan pelbagai kemudahan bagi mencipta suasana mesra masjid
kepada orang awam tanpa mengira agama. Kemudahan yang terdapat di masjid seperti
perpustakaan, taman permainan kanak-kanak, dewan persidangan dan pejabat dapat
merangsang suasana yang kondusif bukan sahaja untuk beribadah malah melakukan
kegiatan ilmu dan aktiviti kemasyarakatan yang lain. Malah kemudahan seperti
dapur memasak akan memudahkan urusan penyediaan makanan jika pihak masjid ingin
mengadakan jamuan untuk anak-anak yatim dan jemaah masjid. Secara tidak
langsung, masjid juga akan dikenali sebagai nadi utama yang menggerakkan
aktiviti-aktiviti amal yang selari dengan syariah. Betapa hari ini ramai
persatuan atau organisasi tertentu yang membuat aktiviti amal, tetapi ianya
banyak dicemari dengan perkara maksiat seperti hiburan melampau, pendedahan
aurat dan pergaulan lelaki dan perempuan yang berlebihan. Justeru, peranan masjid
untuk menjadi contoh dan panduan kepada masyarakat dalam menjayakan program
amal sepatutnya diperhebatkan bagi membentuk acuan yang baik dalam mendidik
masyarakat beriman.
Bagi menggalakkan lebih ramai yang hadir,
Masjid mestilah menyediakan persekitaran yang bersih supaya memberi keselesaan
kepada orang ramai untuk beribadah. Tidak sedikit masjid yang dijumpai sangat
kotor dan bercanggah dengan seruan Islam yang menganjurkan budaya pembersih
sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah yang bermaksud “kebersihan itu
sabahagian daripada Iman”. Ini kerana masjid yang kotor akan mengundang banyak
persepsi negatif dalam kalangan masyarakat yang mementingkan kebersihan. Dalam
konteks ini aktiviti gotong royong perlulah sentiasa digerakkan bagi menjaga
tahap kebersihan masjid agar ianya kelihatan lebih cantik dan tersusun.
Masjid
sebagai pemangkin ekonomi
Masjid juga berpotensi menjadi sumber
ekonomi yang utuh jika hasil derma orang ramai dimanfaatkan sepenuhnya untuk
membangunkan program di masjid serta membantu golongan muslimin yang mengalami
kesempitan hidup. Galakan menderma perlu dianjurkan kepada orang ramai agar
mereka tidak berasa terbeban untuk menginfaqkan sebahagian rezeki di jalan
Allah, kerana hakikatnya ia merupakan pelaburan untuk akhirat. Bukankah Allah
sudah berfirman di dalam Al quran bermaksud:
“Wahai
orang-orang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan perniagaan yang akan menyelamatkan
kamu dari azab yang pedih?, Iaitu Beriman kepada Allah dan RasulNya, dan
berjuanglah kamu di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Dan itu baik bagi kamu
jika kamu mengetahuinya”. [As-saff: 10-11].
Semoga dengan luasnya kesedaran untuk
menderma sebahagian harta mereka, sedikit sebanyak mampu membantu pihak masjid
menjaga kebajikan jemaah masjid dan masyarakat setempat yang memerlukan bantuan
untuk menjalani kehidupan dengan selesa. Selain kutipan zakat, duit tabung
masjid juga diharap mampu menjadi solusi dalam menangani masalah ekonomi umat
Islam.
Sinergi
media dan masjid
Institusi masjid juga bukan hanya perlu diaktifkan
masyarakat setempat, malah media juga harus memainkan peranan. Sekarang banyak aktiviti
ekspo yang dianjurkan media arus perdana diadakan di kawasan masjid. Ini menjadi usaha yang baik dalam menyemai
budaya cintakan masjid dalam kalangan masyarakat sekaligus memudahkan urusan
solat mereka di sekitar kawasan ekspo. Mengadakan aktiviti kemasyarakatan yang
bersifat universal di sekitar kawasan masjid mencipta satu aura positif yang
mampu menerbitkan kesedaran kepada pengunjung untuk mengutamakan solat walau
apa jua keadaan.
Laman sosial menjadi kegilaan orang ramai
pada hari ini untuk menyebarluas maklumat ke serata dunia. Peluang ini harus
dimanfaatkan sebaik mungkin untuk golongan muda terutamanya dalam mempromosi
Islam sebenar kepada orang bukan Islam di Malaysia dan seluruh dunia. Dalam
konteks ini, aktiviti masjid boleh diuar-uarkan dengan mencipta vedio yang memperkenalkan
pelaksanaan Islam sebenar di masjid Malaysia. Contohnya terdapat satu vedio di
You Tube bagaimana seorang muslimah Malaysia menunjukkan cara memakai telekung
solat dalam Bahasa Inggeris di masjid. Ramai masyarakat luar negara yang
memberi komen dan bercita-cita untuk meneroka lebih banyak tentang Islam di
Malaysia. Ini merupakan respon positif yang sebenarnya menjadi usaha yang baik
dalam memperluaskan empayar dakwah ke peringkat antarabangsa. Oleh itu laman
sosial menjadi wasilah yang tidak harus dipersia-siakan untuk memberi informasi
yang lebih luas tentang pengamalan Islam di Malaysia.
Progran raudhah tv9 yang diadakan di masjid merupakan wasilah contoh untuk mengimarahkan masjid |
Khulasahnya, asas pembinaan masjid itu adalah
dengan taqwa. Taqwa juga berkadar terus dengan pengimarahan masjid. Semakin
tinggi tahap ketaqwaan semakin tinggi kecenderungan seseorang untuk
mengimarahkan masjid. Justeru hanya ketaqwaaan yang ditegakkan di dalam jiwa
yang akhirnya mampu menggerakkan seseorang individu berjuang mengimarahkan
masjid. Sebagaimana firman Allah dalam Kalam sucinya “Wahai orang beriman, bertaqwalah kamu dan carilah jalan yang
mendekatkan diri kepadaNya dan berjuanglah pada jalan tersebut. Mudah-Mudahan
kamu termasuk di kalangan orang berjaya” [Al-Maidah: 35]. Justeru aktiviti mengimarahkan
masjid haruslah diperjuangkan dengan sebaik-baiknya kerana ia melambangkan
kekuatan umat Islam yang bertunjangkan hakikat keimanan yang tinggi terhadap
Allah s.w.t. sekaligus mencipta ketamadunan negara yang makmur dan diampuni
tuhannya [Saba’: 34].
Ditulis oleh: Chegu Kimmia