Saturday 26 December 2015

Anak-anak dan Pendidikan





Beberapa minggu yang lalu, saya menghadiri program Re-treat Pembina. Satu program yang diadakan untuk membincangkan halatuju, penambahbaikan bagi mneggencarkan lagi institusi dakwah di Malaysia. Walaubagaimanapun, dalam entri kali ini saya bukanlah bermaksud ingin mendedahkan hasil perbincangan kami, tetapi saya ingin berkongsi beberapa isu yang agak penting membabitkan isu dalam keluarga dakwah.

Sebelum ini saya ada menerima aduan daripada seorang akhawat tentang rasa kekecewaannya pada anak-anak ikhwah akhawat yang tidak mahu mengikuti tarbiyah. Dalam re-treat tersebut saya meminta panel jemputan  mengulas isu anak ikhwah akhawat yang tidak mahu ditarbiyah. Katanya dalam hal ini, satu organisasi baru  iaitu Anak Generasi Harapan telahpun diwujudkan bagi mengatasi masalah ini. Melalui pertubuhan ini, anak-anak yang bermasalah akan ‘ditarbiyah’ oleh daie-daie terpilih untuk ‘dipulihkan’. Pada pendapat saya, jika tidak mahu ditarbiyah itu, tak adalah teruk sangat. Tapi jika sampai berseluar pendek, mewarnakan rambut, itu sudah menjadi isu yang sangat kritikal.

Sejujurnya saya menganggap isu ini kritikal kerana ibu bapa mereka adalah orang yang ditarbiyah. Lagipun bukankah anak-anak ini sudah diperkenalkan dengan segala aktiviti tarbiyah dalam hidup mereka? Jadi , bagaimana ini terjadi…

 Sebenarnya permasalahan dalam isu ini banyak mengajar saya bahawa walau sesibuk mana pun seorang ibu ayah dalam gerak kerja dakwah, pendidikan anak-anak tentang ilmu agama tetap perlu menjadi prioriti bagi ibu ayah tersebut. Sekadar mengajak anak-anak ke program tarbiyah tanpa menyuntik kefahaman terhadap apa yang dilalui akan menjadi satu kerugian yang besar kepada pembangunan jiwa islam dalam diri anak-anak.

Ini kerana, tidak dapat tidak, didikan secara terus dari ibu bapa itu merupakan faktor dominan yang menyumbang kepada keperibadian diri anak-anak. Ini telah dibuktikan melalui hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

 “Tiap-tiap anak Adam itu dilahirkan dalam keadaan fitrah sehingga kedua ibubapanyalah yang akan menjadikannya seorang Nasrani,  Yahudi  ataupun Majusi.”  (Al-Hadis).

Ibu bapa yang terlalu mementingkan kebajikan masyarakat hingga mengabaikan kepentingan keluarga adalah ibarat “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. Sedangkan sasaran dakwah yang utama adalah keluarga. Perkara ini juga sangat jelas diterangkan dalam Surah At tahrim ayat 6 di mana Allah berfirman:

Jagalah diri kamu dan keluarga kamu dari azab api neraka (At-Tahrim:6)

Ini menunjukkan didikan agama dalam keluarga merupakan prioriti utama yang patut didahulukan oleh ibu ayah. Ini kerana keluarga merupakan teras kepada pembinaan sesebuah masyarakat. Dalam kata lain “Baik keluarga, maka baiklah masyarakat”. Walaubagaimanapun, perlu diingatkan di sini kita sesekali tidak boleh menjamin akhlak anak-anak kita kelak, tetapi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan pendidikan terbaik kepada mereka terutamanya mengenai kefahaman agama. Jika diteliti sirah nabi terdahulu, kita mendapati anak Nabi Nuh pun tidak mahu tunduk pada perintah Allah. Jadi di sini adakah Nabi Nuh merupakan ayah yang gagal..Oh.. tidak sekali-kali.. Kerana Baginda telah memberikan didikan yang terbaik untuk anakandanya. Oleh itu buat ibu ayah sekalian, sedarlah bahawa anak-anak merupakan amanah Allah yang harus dijaga sebaik mungkin. Bagilah yang terbaik kepada mereka dan jangan sesekali berputus asa dalam mendidik mereka. Semoga anak-anak kita menjadi harta peninggalan terbaik yang kita wariskan untuk generasi akan datang. In sha Allah.

Anak Soleh dambaan ibu ayah


No comments:

Post a Comment