Monday 28 December 2015

Panduan memuji anak





“Wah!! Bijak betul anak ibu. Semua subjek dapat A!!”

“Lajunya anak abah lari, sampai jadi juara!!”

Inilah antara pujian-pujian yang sering digunakan oleh ibu bapa untuk memberi rangsangan kepada anak mereka dengan harapan mereka akan terus berjaya dan berjaya. Ya, siapa yang tidak bangga dengan kejayaan anak. Ekspresi ucapan positif ini bukan sahaja mendatangkan aura positif kepada anak, malah mereka akan terasa lebih dihargai dan disayangi.


Namun begitu, bukan semua pujian yang ditaburkan mampu memberi nilai positif pada si anak. Biasanya kita mendengar pujian yang terlalu banyak tidak bagus kerana akan membuatkan orang yang dipuji lupa diri.Tetapi kali ini saya ingin membawa pembaca menilai pujian dari sudut yang berbeza iaitu sejauh mana kita mengetahui bahawa pujian yang diberikan itu adalah membina atau merencat. Menurut kajian yang dilaporkan oleh Professor Carol Dweck, seorang pakar psikologi dari Universiti Harvard, ramai ibu bapa dan guru memberikan pujian pada kanak-kanak dengan menekankan soal hasil berbanding soal usaha. Perbezaan cara memuji ini sebenarnya memberikan kesan yang mendalam terhadap permikiran mereka. Menurut beliau, terdapat dua jenis cara berfikir manusia iaitu permikiran berkembang (growth mindset) dan permikiran rigid (fixed mindset).





Antara dua pujian

Dalam kajian tersebut, Prof Dweck telah membuat perbandingan terhadap dua kumpulan kanak-kanak. Kedua-dua kumpulan ini telah diberikan satu ujian dan diperiksa hasilnya. Selepas hasilnya dinilai, beliau memuji kedua-dua kumpulan kanak-kanak itu dengan cara yang berbeza. Kumpulan A dipuji pada hasil ujian mereka. Beliau mengatakan “Wow, you’re very smart (Wah!!, kamu semua sangat bijak). Manakala untuk kumpulan B, beliau memuji dengan ungkapan “Congrats, You have tried such really hard” (Tahniah, kamu telah berusaha dengan baik). Seterusnya kedua-dua kumpulan pelajar ini diberi pilihan seterusnya samada ingin melakukan tugasan mudah atau sukar. Sungguh menakjubkan apabila dapatan kajian menunjukkan pelajar kumpulan A cenderung untuk memilih tugasan mudah, manakala pelajar kumpulan B memilih untuk menyelesaikan tugasan yang sukar. Persoalannya, kenapa ini berlaku?

Sebenarnya,  pelajar kumpulan A telah dipuji pada hasilnya. Hasil ialah suatu elemen yang berada di luar kawalan manusia. Apabila pujian sebegini dilontarkan, maka permikiran rigid mereka akan diaktifkan. Permikiran inilah yang akan membentuk tindakan mereka untuk lebih fokus mendapatkan keputusan yang tinggi atau cemerlang. Oleh sebab itulah mereka cenderung untuk memilih tugasan yang mudah. Bagi mereka semakin mudah tugasan yang dipilih, lebih mudah untuk skor. Kerana akhirnya, itulah matlamat mereka, iaitu untuk skor dan mendapat pengiktirafan. Sungguh rugi bukan?

Berbeza pula dengan pelajar kumpulan B yang dipuji pada usaha mereka. Usaha adalah aktiviti yang berada dalam kawalan manusia. Apabila pujian berteraskan usaha ditujukan kepada mereka, maka secara automatiknya, butang permikiran berkembang akan dinyalakan. Permikiran ini akan membawa mereka untuk terus-menerus memperbaiki usaha mereka. Faktor inilah yang menyebabkan mereka cenderung untuk memilih tugasan yang sukar. Bagi mereka, tugasan sukar sebenarnya lebih mencabar minda dan membantu mereka untuk berfikir secara kritikal dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Mereka tidak terlalu merisaukan hasil yang bakal diperolehi tetapi lebih menekankan kegigihan dalam berusaha. Bahkan kajian secara lebih terperinci melaporkan bahawa jurang permikiran antara dua kumpulan A dan B ini semakin luas di mana prestasi pelajar A dilaporkan merosot manakala prestasi pelajar B terus mencatatkan peningkatan.

Minda rigid yang merencat

Sekiranya kita menyoroti kembali cara pujian yang kita taburkan pada anak kita, kita akan sedar betapa banyaknya benih beracun yang ditanam dalam minda mereka secara tidak sengaja. Lihat sajalah gelagat anak kita hari ini. Mereka saling menyaingi dan berlumba-lumba untuk mendapatkan markah yang tinggi. Bahkan ada segelintir mereka yang tegar menipu atau meniru dalam ujian semata-mata ingin mendapatkan gred yang cemerlang. Malah jika gagal, bunuh diri adalah jalan singkat yang diambil. Alangkah sempitnya cara mereka berfikir kerana menganggap gred yang baik adalah segala-galanya. Dan lebih malang lagi, ianya berlaku semata-mata kerana ungkapan ringkas yang memberi impak berskala besar dalam permikiran dan tindakan anak-anak kita.

Pilih kata-katamu
Oleh itu amat perlu untuk ibu-bapa khususnya berhati-hati dalam setiap perkataan yang dilontarkan kepada anak-anak. Jika perkataan positif pun ada baik dan buruknya, apatah lagi ungkapan negatif seperti cercaan, makian dan kejian yang mampu membunuh jiwa anak-anak. Terdapat ungkapan motivasi yang menukilkan bahawa “It is easier to build up a child than it is to repair an adult, So choose your words wisely” (Lebih mudah untuk membentuk kanak-kanak daripada memperbaiki orang dewasa, oleh itu pilihlah kata-kata yang baik). Sesungguhnya jiwa kanak-kanak adalah seperti tanah yang subur, tanamlah apa sahaja, pasti tumbuh hasilnya. Jika benih yang baik berjaya disemai, baiklah dia sebaliknya jika yang ditanam itu tidak berkualiti, bakanya rosak, maka kita juga yang akan menanggung kerugiannya. 




Justeru, semailah pujian yang baik yang mampu mengaktifkan permikiran berkembang anak-anak. Hentikan memberi pujian yang mengutamakan soal hasil yang akhirnya menyempitkan minda anak-anak kita. Khulasahnya, daripada berkata “Wah!! Bijak betul anak ibu. Semua subjek dapat A!!, ucapkanlah “Alhamdulillah, ibu bangga dengan usaha anak ibu, semoga ilmumu diberkati nak”.



No comments:

Post a Comment