Monday 15 August 2016

Pokemon Gone Patriotisme Go





31 Ogos 2016 bakal disambut tidak lama lagi. Tarikh keramat itu menandakan kemerdekaan negara kita sudah hampir mencecah 59 tahun. Nilai kemerdekaan suatu masa dahulu adalah lambang kepuasan dan kejayaan nenek moyang kita membebaskan negara daripada belenggu penjajah. Setiap darah dan keringat yang mengalir, setiap nyawa yang direntap dari jasad, setiap raungan dan tangisan air mata adalah bukti kecintaan mereka kepada tanah air tercinta. Itulah nilai patriotisme yang sebenar. Sangat tinggi nilai estetikanya hingga tidak mampu dibayar dengan kenikmatan yang kita kecapi hari ini. 

Namun itu cerita dulu-dulu. Zaman demi zaman berlalu hinggalah kita lahir di bumi Malaysia ini. Hadirnya kita di sini diiringi dengan nikmat keamanan, kebahagiaan dan kebebasan. Bebas dari penjajah, Malah, bebas melakukan apa sahaja. Hingga kita sendiri hanyut dalam kebebasan ini. Tidak  tahu arah mana yang akan dituju. Itulah generasi kita hari ini, pewaris kemerdekaan yang ke-59, hidup dengan roh yang ketandusan nilai patriotik. Atau kata lain patriotisme tanpa roh.

Patriotisme hari ini hanyalah sekadar mengibarkan jalur gemilang yang koyak di dataran merdeka. Itupun setelah datang ke sana untuk menangkap pokemon. Nilai patriotisme kita sangat jauh dengan semangat cintakan negara. Yang ada hanyalah patriot palsu yang penuh retorik memperjuangkan nasib bangsa tetapi hakikatnya hanya ingin memenuhi keperluan nafsu dan perut mereka. Ironinya, itulah perjuangan mereka. Kata bijak pandai “Siapa yang berjuang untuk memenuhi perut mereka (nafsu), maka nilai perjuangannya adalah sama dengan apa yang keluar dari perut mereka”.

Perjuangan palsu oleh patriot palsu yang tergagap-gagap menyebarkan maklumat palsu dan mengharapkan rakyat marhaen menerima kepalsuan itu ibarat bayi yang menyusu dari ibunya. Aah..Semuanya serba kepura-puraan, penuh pendustaan dalam lautan keraguan. Inilah dunia akhir zaman, penuh dengan fitnah dan ujian yang sukar dibayangkan. Malangnya itulah legasi pewaris hari ini. Jika pemimpin menjadi patriot palsu, rakyat marhaen pula ibarat bayi yang menyusu. Masih merengek-rengek, manja, lemah, tidak mampu menguruskan diri sendiri dan diselubungi seribu satu kelemahan.

Buktinya, bila Pokemon Go diharamkan, terus ulama menjadi bahan makian dan cacian. Bangsa lain sibuk  mengejar ilmu, bangsa kita tak habis-habis mengejar Pokemon. Sudah tahu main Pokemon Go boleh ancam keselamatan negara, tapi tetap muat turun aplikasi Pokemon Go. Akibatnya musuh mendapat maklumat tepat tentang selok-belok negara kita. Rentetan itu, mudahlah mereka menyerang negara kita. Tetapi, bila musuh mengugut ingin  menyerang, kita naik berang, walhal kitalah yang mendorong mereka memusnahkan negara kita. Tanpa kita sedar, kita sudah menjadi musuh negara kita sendiri.. Siapa kita? Pewaris kemerdekaan yang ke-59.


Tanpa sedar, kita pun menjadi hamba jajahan pokemon
Lihatlah betapa biadapnya kita. Nenek moyang kita berjuang mempertaruhkan nyawa menangkap penjajah semata-mata ingin selamatkan negara, tetapi generasi kita masih tegar membazir masa menangkap pokemon. Itupun bukan nak menyelamatkan negara, nak musnahkan negara adalah. Ya, itulah sikap kita, sikap legasi pemusnah.Jika sikap kita masih begini, jangan terkejut jika suatu hari nanti cucu-cicit kita menyalahkan kita sekiranya bumi Malaysia ini hancur lebur dimamah kolonialisme. Soalnya, sanggupkah kita dipersalahkan oleh keturunan kita? Sanggupkah kita melihat Malaysia diratah-ratah oleh musuh Islam sebagaimana yang terjadi kepada negara umat Islam yang lain? 

Oleh itu, sempena bulan kemerdekaan ini, ayuh kita tunjukkan rasa patriotisme kita terhadap Malaysia dengan memadamkan aplikasi Pokemon Go dalam gajet kita. Ayuh kita cantaskan budaya hiburan yang melalaikan dengan menyuburkan budaya ilmu dalam masyarakat demi pembinaan negara bangsa yang penuh dengan ketamadunan yang agung. Cintailah negara kita kerana ianya adalah sebahagian dari Iman. Akhir kalam, Selamat menyambut Hari Ulangtahun Kemerdekaan yang ke 59 buat semua rakyat Malaysia. Semoga negara kita menjadi baldatun tayyibun wa rabbun ghafur (Negara yang aman dan diampuni Allah)