Sunday 17 May 2015

Malu nan Indah


Malu, bukan kecil impaknya. Ianya merupakan perlambangan iman individu. Sabda nabi, keimanan itu tujuh puluh lebih. Paling utama ialah ucapan La ilaha illallah dan serendah-rendahnya ialah menyingkirkan perkara yang menyakiti di jalan. Sifat malu adalah cabang dari keimanan ini.

Sabda nabi lagi “malu itu semuanya baik akibatnya”. Namun dunia hari ini sudah terbalik. Orang jahat tak malu-malu buat maksiat, orang baik  pula ‘malu-malu miow’ nak sebarkan kebaikan. Nilaian malu seperti ini sudah tersasar jauh dari landasan Islam. Bahkan mengundang kerugian yang besar pada umat Islam.

Sabda nabi lagi “ Jika tidak malu, buatlah apa yang kamu suka”. Menurut kitab Riyadhus Solihin, hadis ini seolah-olah satu amaran daripada Rasullulah S.A.W  supaya kita tidak bertindak sewenang-wenangnya terhadap sesuatu perkara, apatah lagi tujuannya untuk memenuhi hawa nafsu. Maksud lain hadis ini: Kalau kamu tidak malu kepada Allah dalam melakukan kemungkaran dan kemaksiatan itu, terserahlah. Kamu boleh melakukan sesuka hatimu. Tetapi awas!!, setiap perkara itu pasti ada balasannya di dunia dan di akhirat.

Soalnya, di mana status malu kita pada hari ini?

Semua orang hampir kehilangan sifat ini. Hari ini wanita tidak malu lagi untuk memuatnaik foto mengghairahkan di laman sosial. Orang lelaki pula tidak malu menyebarkan filem porno kepada rakan-rakannya. Terbaru aksi seks di balkoni apartment dan vedio wanita mengamuk sambil menanggalkan baju yang menjadi viral di internet. Parah!!. Sedar atau tidak, ini merupakan indikator bahawa sifat malu yang semakin terhakis dalam ledakan teknologi yang hakikatnya membinasakan masyarakat jika tidak diatasi. 

Malu mula terhakis kerana hilangnya rasa muraqabah (rasa Allah memerhatikan kita) walau di mana sahaja kita berada. Jika kita tidah pernah merasakan Allah bersama dengan kita, kita akan berani melakukan maksiat walaupun bersendirian. Namun lumrahnya tiada manusia yang tidak terlepas melakukan kesilapan lebih-lebih lagi ketika bersendirian. Sebab itulah Allah yang maha penyayang menyarankan kita untuk sentiasa bertaubat. Sebaik-baik orang yang melakukan dosa ialah orang yang bertaubat. Allah juga memberi jaminan untuk memelihara aib kita dengan syarat kita tidak menceritakan dosa kita pada orang lain.

Sabda nabi:

Setiap ummatku akan mendapatkan ampunan dari Allah Azza wa Jalla kecuali al Mujaahiriin iaitu seorang laki-laki yang mengerjakan sebuah perbuatan buruk pada malam hari kemudian ia menjumpai waktu subuh dan Allah telah menutupi aibnya. Lalu laki-laki tersebut mengatakan, “Wahai Fulan, aku telah mengerjakan sebuah perbuatan buruk/jelek ini dan itu”. “Maka itulah orang yang malamnya Allah telah menutup aibnya lalu ia membuka aibnya sendiri di waktu subuh (keesokan harinya ) [Abu Hurairah]

Namun bagaimana dengan orang yang secara terang-terangan tidak malu melakukan dosa. Sudah tentulah ianya melambangkan kebiadapan yang besar  terhadap  Allah. Nauzubillahi min zalik. Lebih teruk lagi jika dosanya menjadi ikutan orang ramai. Dialah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Oleh kerana itulah sifat malu itu penting. Ketahuilah, ia mampu menjadi perisai yang paling ampuh untuk melindungi kita daripada melakukan maksiat. Kepada ibu bapa, Sifat malu itu harus dipupuk sedari kecil lagi dalam jiwa anak-anak. Kepada anak perempuan khususnya, ingatkan mereka tentang penjagaan aurat yang sempurna dan kesopanan dalam pertuturan. Anak lelaki pula sewajarnya dididik untuk menjaga keperibadian saudara wanitanya agar kedua-duanya saling bersinergi untuk memelihara malu yang akhirnya melambangkan maruah orang-orang Islam. Wallahua’lam.


No comments:

Post a Comment