Sunday 1 January 2017

Krisis Syria: Di mana sensitiviti kita?







[Pertamanya, saya bukanlah orang yang layak untuk mengupas isu Syria, tetapi atas dasar tanggungjawab saya sebagai muslim, saya cuba juga untuk menulis isu Syria supaya masyarakat sentiasa cakna tentang isu ini].

 Krisis di Syria bermula dengan pengaruh kebangkitan negara-negara Arab Spring yang berlaku di Tunisia, Libya, Yaman dan Mesir. Di Syria, mereka dipimpin oleh rejim Basyar al-Assad yang sangat berpegang pada Syiah Nusairiyah. Yakni suatu pegangan yang menyimpan perasaan dengki kepada kepada Muslim Sunni serta menghina Saiditina Aisyah dan Ummahatul Mukminin yang lain. Kedengkian inilah yang menyebabkan mereka melakukan pelbagai kejahatan dan sanggup membunuh rakyat  yang menentang fahamannya. 

Di Syria, Basyar Al-Assad telah lama menggunakan undang-undang darurat. Sesiapa sahaja yang menentangnya akan ditangkap dan dibunuh tanpa bicara. Kekejaman yang dilakukan sekian lama telah membangkitkan sentimen untuk menjatuhkan kerajaan Basyar. Revolusi pun bermula dan masih tidak berakhir sehingga ke hari ini. Sedar atau pun tidak, konflik di Syria sudah berlarutan sehingga 6 tahun lamanya. Ratusan ribu nyawa menjadi korban, jutaan lagi menjadi pelarian, seluruh kediaman dan infrastruktur awam musnah.Umat Islam menjadi mangsa kerakusan regim yang zalim di Syria.

Lebih teruk lagi, konflik di Syria bukan sahaja melibatkan perang antara Sunni dan Syiah, tetapi juga antara Amerika Syarikat dan Rusia. Umum mengetahui bahawa kedua-dua blok ini sanggup berbuat apa sahaja  untuk meluaskan hegemony (dominasi) dan supremacy (penguasaan) masing-masing dalam apa sahaja konflik yang berlaku. Namun, di sebalik usaha mereka mengekalkan kekuasaan, rakyat Syria yang tidak bersalah menjadi korban. Situasi di Syria tidak ubah seperti gajah bertarung sesama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah.

Isu ini sudah mendapat banyak respon yang pelbagai di peringkat antarabangsa. Terbaru, Deklarasi Moscow (20 Disember 2016) telah pun termeterai bagi meredakan krisis kemanusiaan yang berlaku di Syria, khususnya di Aleppo. Dalam deklarasi Moscow yang ditandatangani oleh Menteri Luar Turki, Iran dan Rusia, mereka bersepakat dalam lapan perkara utama. Antaranya:

a)      Menghormati kedaulatan Republik Arab Syria sebagai sebuah negara demokratik sekular yang berbilang kaum, agama dan mazhab
b)      Ketenteraan (perang)  bukanlah penyelesaian kepada konflik Syria
c)       Kepentingan mempercepatkan usaha gencatan senjata dan misi kemanusiaan
d)      Kesediaan menjadi fasilitator dan penjamin bagi perjanjian antara pihak kerajaan dan kumpulan penentang. Mereka menjemput negara lain yang berpengaruh turut berusaha bersama.
e)      Mengalukan usaha bersama di Timur Aleppo bagi membolehkan pemindahan sukarela orang awam dan kumpulan penentang bersenjata. Mereka juga mengalukan pemindahan sebahagian orang awam dari Fuaa, Kafraia, Zabadani dan Madaya.
f)       Berkeyakinan bahawa perjanjian ini akan memainkan peranan penting untuk mewujudkan momentum yang diperlukan untuk menyambung semula proses penyelesaian politik di Syria selaras dengan resolusi majlis keselamatan PBB 2254
g)      Mengambil perhatian terhadap tawaran presiden Kazakhstan untuk menjadi tuan rumah bagi mesyuarat yang berkenaan.
h)      Menegaskan kesungguhan untuk memerangi bersama kumpulan kumpulan ISIS/ Daesh, Al-Nusra dan untuk memisahkan mereka daripada kumpulan pembangkang bersenjata.

Deklarasi telah pun dibuat. Namun, sejauh mana impaknya terhadap krisis di Syria masih lagi kabur. Ini hanyalah cadangan solusi yang boleh dibuat di peringkat antarabangsa. Tetapi, bagaimana pula dengan kita? Adakah sekadar melihat masalah ini dan mencerca kejahatan Basyar. Kalau kita bersikap demikian, masalah tidak akan selesai. Oleh itu apa yang boleh kita lakukan?

1.       Berjihad dengan harta
Allah berfirman:
Wahai orang-orang beriman, adakah kamu ingin jika aku tunjukkan perdagangan yang menyelamatkan kamu dari azab yang pedih. Berimanlah kepada Allah dan Rasulnya. Dan berjihadlah pada jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu…. [As-Saff:61, 10-11].

 Justeru, kita ada harta bukan? Maka infaqkanlah sebahagian harta kita untuk membantu rakyat      Syria. Percayalah pembaca sekalian, derma kita adalah syurga buat mereka. Kesanggupan kita untuk mengorbankan harta kita adalah lambang kecintaan kepada saudara kita di sana. Jangan sesekali remehkan bantuan atau derma untuk mereka. Ingatlah saudara kita yang berada dalam kesusahan. 

2.       Berdoalah untuk mereka
Sabda Rasulullah SAW:
“ Doa adalah senjata orang mukmin”

Saudara kita di Syria sangat-sangat memerlukan doa dari kita. Berdoalah untuk mereka di akhir malam. Jangan lupa hadiahkan qunut nazilah untuk mereka. Jika kita tidak berdoa untuk mereka, siapa lagi? Baiknya Nabi yang mengistiharkan doa sebagai senjata. Kalaulah nabi menyuruh kita mengangkat senjata seperti pistol atau pedang untuk berperang, mampukah kita? Jadi, berdoalah untuk mereka, mohon agar Allah mudahkan hidup mereka, Allah bagi mereka kekuatan untuk berdepan ujian yang dahsyat ini.

3.       Sebarkanlah berita atau info yang benar tentang Syria

Sebarkan!! Sebarkan apa sahaja maklumat daripada pihak yang berautoriti untuk membantu Syria.    Contohnya, info daripada Syria Care, Aman Palestin atau apa sahaja organisasi yang  terlibat. Info sebegini penting untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa cakna dengan isu ummat Islam. Jangan biarkan isu ini sepi bagaikan angin lalu. Di laman sosial, usahlah kita sibuk menceritakan tentang ‘kita’ sahaja. Apa kita makan, apa kita beli, kereta apa kita pakai. Sebolehnya kikislah sikap narkasistik dalam diri kita dengan memfokuskan pada isu ummah. Barulah minda kita akan sentiasa berfikir dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang ada.
      
 Ingatlah Saudaraku, Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud:

    “Barangsiapa yang tidak mengambil tahu hal orang Islam yang lain, maka mereka bukan dari        kalangan KAMI” 

Akhir kata, semoga kita termasuk dalam ‘geng’ Nabi Muhammad SAW disebabkan caknaan kita terhadap isu Ummat Islam. Moga Allah redha.

Jom ikut saranan Brother Bilal
Sumber:

  • Diskusi rancangan Tabayyun mengenai Syria yang bertajuk: Aleppo has fallen: Siapa pejuang, siapa pemberontak
  • Syed Ahmad Fadli, Pegawai Pusat Penyelidik PAS



No comments:

Post a Comment