Sunday 1 January 2017

Sejarah Islamisasi ilmu





Pada tahun 1981, Ismail Al-Faruqi telah mempopularkan idea islamisasi ilmu pengetahuan dalam kalangan cendikiawan pada era tersebut. Idea ini timbul hasil dari kebimbangan beliau terhadap pertembungan antara ilmu barat dan pandangan Islam. Dalam karya Ismail Al- Faruqi yang bertajuk Islamization of Knowledge: General Principles and Workplans, beliau menyimpulkan bahawa permasalahan umat Islam dalam pelbagai bidang adalah berpunca daripada kelemahan sistem pendidikan yang dipraktikkan oleh umat Islam.

Kelemahan sistem pendidikan yang dimaksudkan di sini ialah kegagalan integrasi antara ilmu disiplin moden dan ilmu agama. Dalam kata lain, islamisasi ilmu gagal diterapkan dalam pendidikan hari ini.   Sebenarnya islamisasi ilmu bukanlah satu fenomena baru dalam sejarah umat Islam. Ini kerana, pendekatan tersebut pernah digunakan secara meluas dan efektif oleh cendikiawan muslim pada abad pertengahan Islam ketiga, iaitu ketika mereka berhadapan dengan cabaran tamadun Yunani, Romawi dan China. Bukan itu sahaja, metodologi ini dilihat berjaya membuahkan hasil apabila Tamadun Islam berada di era kegemilangannya di saat-saat Negara barat dan Eropah masih tenggelam dalam Era Kegelapan.

Walaubagaimanapun, selepas Eropah memasuki Zaman Reinassance, penjajahan besar-besaran terhadap negara Umat Islam giat dijalankan. Impak daripada kolonialisme Eropah ini telah mewujudkan pelbagai senario dalam sistem pendidikan negara umat Islam. Menurut Prof Dr Abdul Halim Ramli, terdapat sekurang-kurangnya empat senario pendidikan yang berlaku:

Senario yang pertama ialah penerusan sistem pendidikan kolonial barat yang juga dikenali sebagai sistem pendidikan moden. Objektif sistem tersebut ialah untuk melatih tenaga kerja bagi berkhidmat dengan kerajaan. Sementara itu sistem pendidikan tradisional  Islam mengalami kemerosotan yang agak ketara kerana usaha lebih tertumpu kepada sistem pendidikan moden yang menggalakkan pengeluaran tenaga professional. Akhirnya sistem pendidikan tradisional terkubur begitu sahaja.

Senario yang kedua ialah dualisme atau pencabangan sistem pendidikan yang telah sedia wujud pada zaman penjajahan yang bukan sahaja diwarisi oleh umat Islam malah diperkukuhkan lagi atas alasan  untuk mencapai pembangunan dan kemajuan. Senario ini telah berlaku di universiti Al-Azhar yang juga merupakan lambang pendidikan tradisional Islam. Universiti itu telah mengalami perubahan radikal pada tahun 1961 iaitu ketika Mesir berada di bawah pemerintahan Jamal Abdul Naseer. Dominasi dualisme dalam pendidikan semakin membarah apabila tertubuhnya fakulti baru yang berorientasikan disiplin moden seperti fakulti perubatan, kejuruteraan, sains dan pendidikan. Para pelajar dari fakulti pengajian Islam tidak diwajibkan mengambil subjek dari fakulti disiplin moden, manakala pelajar dari fakulti disiplin moden hanya diwajibkan mengambil beberapa subjek dari fakulti pengajian Islam. Model yang telah diperkenalkan oleh Al-Azhar telah menjadi ikutan oleh negara-negara Islam yang lain.


Analogi Islamisasi Ilmu

Senario yang ketiga ialah sekularisasi ilmu pengetahuan dalam pendidikan moden. Dalam kata lain, ilmu pengetahuan bukan sahaja terpisah dari nilai-nilai agama tetapi juga telah melahirkan dikotomi atau pemilihan cabang ilmu yang menyebabkan ilmu terpisah antara satu sama lain. Keadaan ini berbeza dengan pandangan tradisional Islam yang melihat perkaitan cabang ilmu secara terperinci dari akar sampai ke dahan-dahannya. Sistem pendidikan ini memberi impak yang sangat buruk dalam dunia islam. Kesan buruk ini mula menular disebabkan ramai pelajar muslim belajar di negara barat. Di samping itu kewujudan lembaga-lembaga pendidikan moden yang berperanan mengembangkan sistem kebaratan, mengembangkan sekularisme dan mengkritik pandangan pendidikan berorientasikan Islam telah memburukkan lagi keadaan. Sistem pendidikan yang menjadi agen sekularisasi dan pembaratan dikritik hebat oleh Maududi yang menyifatkannya sebagai “rumah penyembelihan” untuk generasi muda.

Senario keempat pula merujuk kepada kebergantungan terhadap sistem tradisional Islam semata-mata dan menafikan cabang pengetahuan baru yang telah muncul di Barat. Produk yang keluar dari sistem pendidikan ini sememangnya kurang berkualiti kerana mereka gagal beradaptasi dengan pengetahuan moden dan ketandusan idea untuk menghadapi cabaran tamadun moden yang tidak bertuhan ini. Senario ini telah dijelaskan oleh Prof I.H. Qureshi dalam mengkritik pendidikan tradisonal Islam di Pakistan, katanya:

“They (the leaders of traditional education) have neglected modern knowledge to an extent that there is no scope left for a dialogue between those who have received modern education and the graduates of seminaries… The seminaries are doing useful work in the preservation of the classical theological learning and providing ill-paid, ill-educated and ill informed imams of the mosques. It is quite obvious that such education cannot help the growth of religious consciousness”.

Itulah gambaran empat senario pendidikan yang berlaku di negara-negara umat Islam. Di Malaysia, krisis pendidikan kita lebih banyak dipengaruhi oleh faktor dualisme dan sekularisasi ilmu. Walaupun wujud sekolah integrasi bagi menyelesaikan ilmu ini, namun pelaksanaannya masih lagi samar. Di sekolah integrasi hari ini, akademik dan agama juga terpisah.Oleh itu tidak hairanlah produk yang lahir itu berminda sekular. Contohnya doktor al-hafiz tetapi ilmu kedoktorannya non-quranik. Hasilnya, al-hafiznya doktor tidak mempengaruhi ilmu kedoktorannya di peringkat falsafah ilmu mahupun aplikasinya.

Persoalannya, inikah generasi yang ingin kita lahirkan. Di manakah tahap kesedaran kita untuk menghidupkan islamisasi ilmu dalam pendidikan. Ingatlah, tamadun yang hebat lahir kerana kejayaan mereka meng’islam’kan ilmu yang dipelajari bukannya mencedok semata-mata ilmu itu tanpa sebarang tapisan. Walaupun islamisasi ilmu itu tidak mudah, namun alangkah baiknya jika kita berusaha untuk menjayakannya supaya umat Islam hari ini tidak mudah tepengaruh dengan agenda barat yang ingin memurtadkan nilai-nilai islam dalam ilmu yang dipelajari. Wallahua’lam.

Sumber:


  • Abdul Halim Ramli: Mensucikan ilmu
  • http://hefnizeinstainjember.blogspot.my/2014/12/konsep-integrasi-keilmuan-dalam-islam.html

No comments:

Post a Comment