Sunday 1 March 2015

Kepadanya Aku bertawakal…





“Ya Allah!! Teruknya result sem ni..padahal dah habis daya aku study..Frustnyer.. tak tau dah nak cakap macam mana…”. Tak dinafikan ini adalah antara ungkapan paling popular dalam kalangan mahasiswa universiti tatkala mengetahui keputusan akhir peperiksaan  mereka. Sebagai seorang yang pernah bergelar mahasiswa, inilah antara cubaan atau ujian yang harus ditempuhi sebelum merayakan hari graduasi yang indah itu.

Sudah lumrah, makhluk itu harus diuji sepertimana firman Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud:
Allah(Yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun. [Al-Mulk: 2(30)].

Ya kawan-kawan, hidup ini memang ujian … ujian dari Allah untuk Dia mengenalpasti siapakah antara kita yang benar-benar beriman kepadanya. oleh itu konsep tawakkal adalah formula yang tepat bagi mengharungi cubaan yang terkadang kita pun tak pasti kenapa kita harus berdepan dengannya. Tapi kenapa tawakal??, knape bukan sabar ke… ikhlas ke.. atau sifat sifat mahmudah yang lain…

Firman Allah dalam Al-Quran berbunyi:

….Apabila kamu berazam, maka bertawakkallah kepada Allah. Sungguh Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal kepadanya.[Al-Imran:159(3)]

Sejujurnya aku terdengar ungkapan Al-Quran yang indah ini oleh salah seorang pemimpin karismatik di Negara kita yang seolah-olah memberi peta harta karun untuk aku terus mengkaji apakah yang tersirat di sebalik kalimah agung ini. Dan walaupun aku masih tak faham tentang maksud sebenar kalimah ini, ianya bukan penghalang untuk aku praktikkan dalam kehidupan seharian.

Imbas kembali….. (kenangan 2006)

Seorang kawanku sering mengadu kepadaku tentang ketakutannya menghadapi peperiksaan

Kawanku: Alia, camne ni?? Takutlah nak exam…takut tak leh jawab..

Aku: Takpe, Faiza azamta fatawakkaltu ala Allah, Innnallah ha yuhibbul mutawakkilin. (sambil memegang bahunya).

Kawanku: Ha?? Apa tu??

Aku: Maksudnya, bila dah azam nak buat yang terbaik tu tawakallah pada Allah. In sya Allah, takkan rugi sebab Allah suka orang yang tawakkal pada Dia ni..

Kawanku: Owh.. ok2 (sambil menganguk-anggukkan kepalanya)

Iklan sebentar: Aku takdelah ingat semua pasal kejadian ni.. tapi itulah antara perbualan yang berlaku

Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun berlalu…. Dan aku terfikir sejenak kenapa Allah suruh berazam dan tawakal terus, mana USAHAnya???? Takkan takde USAHA..
Atas rahmat dan kasih sayang Allah, aku terdengar ceramah radio ikim pada jumaat petang. Satu bual bicara saudara Mahathir Syaharudin dan Ustaz Dr Zulkifli Al-Bakri membincangkan tentang tawakal. Beliau adalah antara ustaz yang aku sangat kagumi dek ke’tawaduk’kannya dan lemah lembut dalam pertuturannya.
Beliau menjelaskan bahawa tawakal terdiri daripada 3 elemen penting iaitu usaha, harap dah redha. 

Awesome!!! Letusan kata-kata yang merungkai tali persoalan di fikiranku selama ini.

USAHA + HARAP + REDHA = TAWAKAL

Subhanallah.. satu persamaan yang sangat indah , lebih indah daripada persamaan kimia yang ku belajar selama tiga tahun di UMT. Apa tidaknya! 3 reactant tapi menghasilkan 1 product yang langsung tidak berbahaya dalam kehidupan kita. Dari sudut kimia persamaan ini sangat hebat sebab percentage yield bagi tawakal ialah 100%, sekaligus memberi keuntungan yang besar kerana dominasi tawakal yang sangat kuat.
USAHA

Usaha…Reactant yang pertama untuk merealisasikan tawakkal. Ya.. semua orang mesti berusaha..burung pun kena usaha nak cari makan. Jika diperhatikan dalam sudut akademik, mungkin kita akan mendapati A studi menyendiri, B studi berkumpulan, C studi sambil mendengar muzik dan banyak lagi. Menurut Dr Fadilah Kamsah, terdapat 3 cara belajar yang wujud iaitu secara audio,visual dan kinestetik. Oleh itu pelajar perlu mencari inisiatif bagi mencari kaedah terbaik untuk mereka memahami sesuatu ilmu itu. Walaupun begitu, penulis berpendapat bahawa usaha yang baik mestilah diiringi dengan keberkatan. Apa guna belajar, tapi menangguh-nangguhkan solat tika masuk waktunya…Apa guna belajar sampai larut malam, tapi solat subuh menjadi juara carta bagi solat yang paling banyak untuk diganti..Apa gunanya belajar, tetapi tidak memanfaatkan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian.

HARAPAN
Allah ada berfirman dalam kalam suci Al-Quran..
Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain pula). Dan hanya kepada tuhanmulah kamu berharap [As-Syarh: 7,8(94)]

Kawan-kawan, mungkin kita merasa telah mencuba yang terbaik, tapi sejauh manakah harapan yang kita sandarkan kepada Allah??

Cuba perhatikan situasi ini:

Situasi A:
Yeay!!! Aku boleh jawab soalan math tadi. Latihan yang aku buat masuk…memang confirm la dapat A kali ni.hahahaha!

Situasi B:
Alamak!! Habislah aku, tajuk yang aku bace satu pun tak kena, susah giler kot soalan dia.. tawakkal jelah..
Secara logiknya, berdasarkan situasi yang diberi siapa yang akan kuat kebergantungannya kepada Allah???
 Ce fikir….

Baiklah, jika kita lihat secara mendalam situasi A, jelas sekali pelajar tersebut berusaha, tetapi kesilapan besar yang dilakukan pelajar itu ialah perasaan ‘over confident’ sehingga mengaburi hatinya untuk berharap pada Allah. Sehinggakan dia lupa  bahawa keupayaannya menjawab soalan dengan baik adalah kehendak Allah 

Bagi situasi B pula, mungkin dia telah berusaha yang terbaik, tetapi atas kehendak Allah Taala pelajar tersebut bermasalah ketika menjawab soalan. Ujian ini tentulah menghadirkan rasa takut dan bimbang dalam hatinya seterusnya mengharapkan keajaiban dari Allah semata-mata untuk menjadikan kejayaan itu miliknya.
Oleh itu usaha yang baik haruslah disertai dengan harapan yang tinggi kepada Allah bagi mengecapi kejayaan. Dan tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa jika pelajar(A) meletakkan harapan yang tinggi kepada Allah setelah usaha cemerlang yang dipamerkan, tidak mustahil dia akan menjadi pelajar yang lebih cemerlang dari pelajar (B). Harus diingat bahawa harapan yang tinggi haruslah dizahirkan dengan doa yang tulus kepada tuhan Pemberi Rezeki.

REDHA
Redha ialah kita menerima seadanya ketentuan daripada Allah setelah kita berusa dan mengharapkan yang terbaik dari Allah.Pepatah ada mengatakan”Kita merancang, tuhan menentukan”. Apabila disorot kembali, banyak kes-kes bunuh diri dalam kalangan mahasiswa yang berlaku gara-gara kegagalan dalam peperiksaan. Ini maksudnya dia tidak redha dengan apa yang berlaku . Sekiranya kita redha dengan sesuatu kita akan menerimanya dengan hati yang terbuka. Jika ianya musibah, kita bersabar, jika ianya nikmat, kita bersyukur… kan indah begitu..Ini kerana Allah mengetahui apa yang terbaik untuk kita.
BukankahAllah telah menerangkan dalan Al-Quran yang bermaksud:
…Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia tidak baik bagimu.Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.. [Al-Baqarah: 216(2)].

Kesimpulannya
Mari kita bertawakkal kepada Allah dengan melengkapkan pakej USAHA, HARAP dan REDHA agar setiap perkara yang dilakukan sentiasa berlegar dalam zon Allah.Semoga kita termasuk dalam golongan yang dicintai Allah.

 [7 dec 2012, 11.23am]

                                                                                                                                                               

No comments:

Post a Comment