Blog..... Tak dapat bawa kamu ke syurga.. Tapi mungkin dengan perkongsian yang baik,sebarkan ilmu yang bermanfaat akan menjadi saham PAHALA dan menggapai Redha-Nya... In Sha Allah

Untukmu Wanita






Nikmatnya membaca. Jika hari ini kita membaca buku , kita akan melihat dengan sudut pandang A, minggu depan dibaca sekali lagi buku yang sama, sudut pandang kita mungkin berubah menjadi B,C, D atau banyak lagi. Dalam proses inilah ilmu kita akan berkembang. Fikiran kita menjadi kompleks dan mencambahkan idea-idea yang baru untuk dikongsi.

Contohnya jika aku membaca buku” La Tahzan Buat Muslimah Berkerjaya,” perkara yang aku tercari-cari ialah bagaimana untuk menyeimbangkan antara kerjaya dan rumahtangga. Ini perkara yang berlaku beberapa bulan yang lalu. Tapi hari ini jika aku membacanya aku menjumpai wasilah terbaik menjadi surirumah yang cemerlang.

Untuk entri kali ini, ingin sekali aku berkongsi dengan pembaca sekalian mengenai hasil karya Dr Aidh Al-Qarni. Dalam bukunya yang bertajuk “La Tahzan Buat Muslimah Berkerjaya”, beliau mengupas dengan cukup baik tentang erti kerjaya. Baginya, kerjaya bolehlah ditakrifkan sebagai sesuatu yang kita lakukan dengan  bermotivasi tinggi sehingga menghasilkan satu ‘karya’. Penghasillan ‘karya’ ini juga melambangkan produktiviti. Dalam kata lain wanita berkerjaya dianggap sangat produktif. Walaubagaimanapun, beliau menyelar kenyataan yang menganggap kerjaya surirumah sebagai tidak produktif dan terkebelakang. Ulas beliau “ seorang muslimah yang menguruskan rumahtangga, siang malam dia berkerja. Hampir 24 jam. Adakah dia dikatakan tidak berkerja”.

Menurut beliau, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan wanita memilih untuk berkerja. Antaranya faktor ekonomi, kepuasan diri, kejemuan berada di rumah dan memenuhi tuntutan masyarakat. Dalam konteks ini faktor keempat adalah yang paling kukuh. Contohnya dalam kerjaya perbidanan, orang perempuan lebih layak memikul tugas ini kerana ia membabitkan maruah wanita. Seperti juga kerjaya guru, wanita lebih diperlukan berbanding laki-laki dengan fitrah kelembutan yang ada pada dirinya. 

Dalam buku ini juga, Dr Aid Al-Qarni banyak menggalakkan wanita berkerja dari rumah berbanding di tempat kerja. Ini kerana wanita akan banyak meluangkan masa dengan keluarga dan ini sukar didapati jika mereka bekerja di luar rumah.Beliau juga tidak menolak kepentingan kerjaya untuk wanita kerana ia juga penting sebagai  menampung sumber pencarian sekiranya berlaku penceraian, suami meninggal atau keuzuran yang menghalang mereka untuk memberi nafkah dengan sempurna.

Antara pekerjaan yang disyorkan beliau ialah melakukan perniagaan atas talian, bergiat dalam bidang penulisan atau penterjemahan,perkhidmatan menaip, membuka salon muslimah, catering dan pelbagai lagi. Baginya seorang muslimah wajar berkecimpung dalam bidang yang selari dengan bakat, kemampuan dan kecenderungan masing-masing. Meskipun begitu, niat untuk bekerja harus diluruskan agar tidak bertujuan menyaingi suami tetapi sekadar memenuhi keperluan hidup. Kerjaya juga harus diseimbangkan dengan rumahtangga agar keluarga tidak rasa terabai dek wanita terlalu menumpukan pekerjaan. 

Kesimpulannya, sekiranya kita berniat untuk menjadi surirumah, kita seharusnya mula berjinak-jinak dengan pekerjaan yang kita minati semasa kita masih bujang. Jika hidup membujang, kita sudah malas untuk mulakan, apatah lagi selepas berkahwin. Sudah tentu tanggungjawab yang lebih besar sebagai sorang isteri dan ibu akan sedikit merencatkan perjalanan karier dari rumah. Oleh itu wanita sekalian, bersiap-siagalah mencari ilmu untuk mempersiapkan dirimu. Semoga niat yang ikhlas untuk memberi yang terbaik kepada pasangan dan anak-anak akan lebih memacu kita untuk lebih rajin dan konsisten membina karier dari rumah.

Akhir kata, Sekadar motivasi untuk diri dan siapa yang ingin memanfaatkan bacaan ini. Moga Allah terus meredhai perjalanan hidup kita. Senyum semanis-manisnya.

Rujukan

Aidh Al-Qarni (2014).La Tahzan Buat Wanita Berkerjaya.Al Hidayah Publishing.

Share on Google Plus

About Chegu Kimmia

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment