Monday 9 February 2015

The Power of Doa




 Hari ini akan aku bawakan satu kisah menarik yang menggambarkan kita bahawa kuatnya kuasa doa.

Satu kisah benar yang berlaku di Pakistan mengisahkan tentang kehidupan seorang Doktor Pakar Neurologi. Beliau merupakan antara doktor pakar yang sangat penting di negara itu. Jadualnya sangat  padat. Beliau juga mempunyai pesawat peribadi khas untuk memudahkannya bergerak memberi rawatan kepada pesakit.

Suatu hari, doktor tersebut perlu berangkat ke sebuah negeri bagi memenuhi rutin harian sebagai  doktor pakar. Beliau pergi ke sana dengan menaiki pesawat peribadinya. Ditakdirkan Allah semasa penerbangan keadaan cuaca tidak menentu. Dentuman guruh diselangi pancaran kilat serta awan pekat yang mencurahkan hujan lebat menyebabkan juruterbang terpaksa membuat pendaratan awal bagi mengelakkan bencana yang lebih buruk. Selepas pendaratan dilakukan terdapat beberapa kerosakan pada kapal terbang tersebut menyebabkan penerbangan ke destinasi tersebut ditangguhkan selama beberapa hari. Oleh itu juruterbang tersebut mencadangkan doktor tersebut untuk mengunakan jalan darat dengan menaiki teksi memandangkan hanya tiga jam perjalanan diperlukan untuk sampai ke kawasan tersebut. Hari mulai gelap dek cuaca buruk dan terbenamnya matahari.

Akhirnya doktor itu pun mengambil keputusan untuk menggunakan khidmat teksi. Perjalanan diteruskan namun belum sempat tiba di destinasi sepatutnya teksi tersebut terperangkap dalam lumpur dan tidak boleh bergerak.Selepas beberapa ketika pemandu teksi tidak mampu berbuat apa-apa dan mencadangkan doktor tersebut untuk tumpang bermalam  di mana-mana rumah berdekatan. Kawasan yang mereka singgah itu amat sunyi. Hanya ada sebuah rumah usang yang bertapak di situ.

Tok..tok..tok..Doktor itupun mengetuk pintu. Seorang nenek tua  muncul di daun pintu tidak lama kemudian. Selepas Doktor tersebut menceritakan masalah yang dihadapi, nenek tersebut membenarkan mereka bermalam di situ. Nenek itu juga bermurah hati untuk menjamu mereka dengan makanan. Selepas menikmati makanan doktor tersebut meneruskan bicara:

Doktor: Nenek tinggal kat sini dengan siapa?
Nenek: Dengan cucu. Dia yatim piatu. Ibu bapanya dah lama meninggal.Sebab tulah nenek jaga dia
Doktor: Oo.. . (sambil mengangguk-angguk faham)
Nenek: Tapi cucu nenek tu sakit. Tapi sangat sukar untukberjumpa dengan doktor tersebut. Bayangkan kami terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk membuat temu janji. Tiap-tiap malam makcik berdoa agar Allah memudahkan urusan kami untuk berjumpa doktor tersebut
Doktor: Oo… siapa nama doktor yang makcik kata susah nak jumpa tu….
Nenek: Namanya.. Dr Ishan

Tiba-tiba, doktor tersebut menitiskan air mata dan menangis teresak-esak. Nenek tersebut kehairanan lantas bertanya “Kenapa anak menangis”. Kata doktor tersebut “ Allah telah memakbulkan doa makcik sebab sayalah doktor yang dimaksudkan tu”. Nenek tersebut menadah tangan ke langit mengucapkan syukur  tak terhingga kepada tuhan.Bersyukur kerana doa yang dipanjatkan secara istiqamah itu termakbul jua akhirnya. Kata doktor tersebut “ Makcik tau, kerana doa makcik, Allah telah mengirimkan hujan lebat sehingga penerbangan saya tidak diteruskan, kerana doa makcik saya mengharungi pelbagai rintangan yang akhirnya menemukan kita  di sini”. Satu keajaiban yang sangat indah, bukan!!!. Akhirnya doktor tersebut berjaya mengubati anak yatim itu.

Oleh itu marilah sama-sama kita mengambil iktibar dari kisah ini dan terus menerus memanjatkan doa kepada Allah tanpa berputus asa. Moga-moga dengan doa-doa yang konsisten ini akhirnya mampu membenihkan keajaiban-keajaiban yang manis dalam hidup kita..

Akhir kata..Selamat berdoal!!

No comments:

Post a Comment