Sunday 11 September 2016

World Quran Hour




World Quran Hour. Satu kempen yang kukira sangat memberansangkan untuk mengajak kita berfikir sejauh mana kita meletakkan al-quran sebagai prioriti dalam kehidupan kita. Sesungguhnya tempat yang paling layak untuk menyimpan al-quran ialah hati kita. Bukan di atas mushaf dan bukan jua pada aplikasi telefon. Jika al-quran yang menjadi makanan hati , sudah pasti keseluruhan hidup kita akan lebih tenang, tiada keserabutan kerana cahaya al-quran itu akan menjadi petunjuk yang memandu kehidupan kita.

Sempena tulisanku yang kucoretkan ketika World Quran Hour ni, aku juga sangat teruja untuk berkongsi antara ayat al-quran yang benar-benar tertusuk dalam hatiku. Antaranya ialah:

Patuhilah seruan tuhanmu sebelum datang suatu hari yang tidak dapat ditolak seruannya. Pada hari itu, kamu tidak memperolehi tempat berlindung dan tidak tidak pula dapat mengingkari dosa-dosamu [Asy-Syura].

Ayat ini antara ayat yang paling menarik bagiku setelah diteliti dan difahami maknanya. Ia telah menjadi motivasi terkuat untuk diriku beramal setelah melalui fasa futur atau kemalasan untuk beribadah. Secara peribadi ayat ini meransang aku untuk terus berbuat baik walaupun dalam keadaan yang terpaksa. Sebab dengan memahami ayat ini, aku sering katakan pada diriku, “ Kalau tak nak patuh pada Allah sekalipun, last-last sekali kena patuh jugak, jadi, baik patuh sekarang. Lagipun, mungkin dengan kepatuhanku ini, Allah akan melindungiku dan menerima amal baikku. Keadaan ini sudah tentu jauh lebih baik daripada aku terkontang-kanting di hari Qiamat tanpa pertolongan dan tidak dapat menafikan dosa-dosaku.

Tapi, sekiranya kita ingin menikmati impak maksima dari ayat ini. Kita mestilah menghafaz dan memahami maknanya. Jika tidak, “kadar penyerapannya” tidak sempurna. Ayat quran yang dihafaz adalah ibarat kayu yang dipasakkan di dalam tanah. Ia akan berada dalam keadaan yang kukuh dan tidak goyah sekalipun datan taufan yang membadai. Itulah yang dinamakan prinsip. Prinsip yang hebat dan tepat hanya akan datang dari sumber yang benar iaitu Quran dan Sunnah. Jika kita berpegang kepada kedua-duanya, nescaya kita tidak akan sesat selama-lamanya.Itulah jaminan Rasulullah.

Dan sebenarnya, beramal dengan ayat al-quran ini, ianya sangat ajaib. Sebab kekuatannya dan motivasinya adalah dari Allah. Hakikatnya, Allah tidak akan pernah mengecewakan kita. Manusia mungkin akan memuji kita tetapi manusia yang sama itulah yang akan mencerca dan menghina kita suatu hari nanti. Allah sangat berbeza, Dia inginkan yang terbaik untuk hambanya. Justeru adalah satu kerugian yang besar seandainya kita meminggirkan kalamullah dalam hidup kita.

Khulasahnya, World Quran Hour bukanlah bermakna hanya pada waktu itu sahaja kita membaca Quran. Tetapi jadikanlah saat itu sebagai perintis semangat untuk kita terus suburkan jiwa cintakan Quran dalam diri kita. Tak salah untuk kita menjadikan motivasi dari Allah sebagai momentum perjuangan dalam hidup kita. Akhir kalam, pasakkanlah quran di hatimu.

No comments:

Post a Comment