Tuesday 10 May 2016

Hey Muslimah..Maruah tu... Jagalah!!!





Bismillah

Akhir-akhir ini, aku banyak membaca isu tentang maruah wanita. Dan aku dapati ramai wanita yang memandang remeh akan isu ini. Kebanyakkan mereka menyempitkan nilai maruah hanyalah pada kemaluan mereka semata-mata. Malah tidak menyedari bahawa pergaulan, penjagaan aurat dan akhlak itu adalah perisai yang sangat ampuh bagi melindungi kehormatan mereka.

Hari ini akses kepada kemaluan wanita itu tersangatlah luas. Samada melalui pelacuran, pornografi, perzinaan, rogol dan perubatan (jika tiada unsur darurat di dalamnya). Dunia modenisasi abad ini menyaksikan bahawa nilai maruah itu diletakkan pada serendah-rendah martabat. 

Sedar atau tidak, kebejatan sosial yang berlaku pada hari ini sering dikaitkan dengan kegagalan wanita dalam memelihara maruah dirinya. 

Tidak percaya??

Hari ini cuba lihat bagaimana pergaulan wanita di alam maya dan alam realiti. Semuanya tersangatlah bebas. Contohnya di laman sosial, wanita berlumba-lumba memaparkan kecantikan mereka. Tanpa ada rasa malu jika fotonya itu direnung tajam-tajam oleh lelaki ajnabi. Perempuan… semakin dipuji kecantikannya, semakin  galak mereka meng’upload’ gambar. Dengan pelbagai gaya dan posisi yang mengghairahkan. Semuanya membuatkan lelaki tidak keruan. Maka gambar itu dimuat turun lelaki tersebut dan diimaginasikan dengan khayalan-khayalan yang buruk. Nauzubillah.

Tetapi wanita masih lagi tidak merasa malu. Jauh sekali ingin belajar tentang konsep maruah diri. Walaupun sudah banyak kali diuar-uarkan si ustaz, bahawa wanita yang suka meng’upload’ gambarnya sendiri bukan merupakan calon isteri solehah. Jika mereka mendapat komen nakal dari lelaki, dikatanya lelaki itu gatal dan miang. Sedangkan diri-sendiri tergedik-gedik.

Ingatlah wahai wanita, sekali anda meng’upload’ gambar, selama-lamanya ia akan kekal di alam maya. Walaupun gambar itu sudah dipadamkan dari profile anda. Oleh itu, berhati-hatilah. Janganlah kerana satu gambar di dunia, kita menanggung azab yang pedih di akhirat. Jika di akhirat baru nak sedar, menangis air mata darah tiada gunanya lagi. Apalah nasib…. Di dunia kita terhina, di akhirat lagikan merana…

Justeru itu wahai wanita…Berpada-padalah dalam meng’upload’ gambar. Seeloknya, elakkan berkongsi gambar sendiri. Sebab nilai kita terlalu mahal untuk dijadikan tatapan bukan muhrim. Simpan sahaja gambar itu pada yang selayaknya. Jadikanlah kecantikan diri kita adalah sesuatu yang eksklusif kerana kita ialah perhiasan. Sudah tentu ianya perlu disimpan. Bukan dibiarkan bersepah-sepah di alam maya. Hakikatnya, itulah selayaknya kita. Persis sabda nabi, dunia ini ialah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah. 

Sekadar peringatan buat siapa yang mahu mengambilnya



No comments:

Post a Comment