Wednesday 16 March 2016

Mahasiswa dan kemahiran insaniah




 Dalam dunia pekerjaan, adalah tidak dinafikan bahawa kelulusan akademik merupakan antara kriteria sampingan yang dipertimbangkan oleh para majikan sebelum menerima seseorang individu untuk bekerja dengan mereka. Walaubagaimanapun akademik hanyalah interpretasi intelektual seseorang individu yang hakikatnya perlu diseimbangkan dengan kestabilan emosi, rohani, jasmani dan spiritual. Penjanaan modal insan yang seimbang dalam lima aspek ini adalah matlamat utama sistem pendidikan yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara. 

Bagi menembusi pasaran pekerjaan, para graduan disarankan untuk melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran yang didasari oleh nilai jasmani, emosi, rohani, intelektual dan spiritual (JERIS). Kompilasi nilai-nilai ini akan mencipta album diri yang berkualiti sekaligus layak untuk dipromosikan dalam pasaran pekerjaan.  Sedar atau tidak, bakat atau kemahiran ini haruslah digilap sebaik mungkin semasa di alam belajar lagi untuk memudahkan pelajar beradaptasi dalam dunia pekerjaan.

Realitinya, kemahiran yang harus dimiliki oleh para graduan hari ini adalah kemahiran mempraktikkan agama. Ini kerana agama adalah asas ilmu untuk membantu para graduan memilih pekerjaan itu samada halal atau haram. Sekiranya ilmu kerjaya diselarikan dengan ilmu agama, kita akan melahirkan pekerja yang benar-benar berdisiplin kerana mereka meletakkan ketaqwaan sebagai prioriti. Hakikat ketaqwaan ialah bagaimana seseorang hamba itu menzahirkan ketakutannya pada Allah. 

Jika nilai taqwa ini tersemat di dalam hati para pekerja, nescaya mereka tidak akan melakukan rasuah, tidah pecah amanah dan tidak melakukan perkara yang bertentangan dalam etika organisasi. Proses membina ketaqwaan ini boleh dipupuk sejak di alam belajar lagi seperti menggalakkan mahasiswa menyertai usrah, halaqah atau aktiviti dakwah yang mampu membangkitkan iman. Adalah amat menyedihkan apabila kita melihat sistem pendidikan universiti yang hanya mewajibkan subjek Bahasa Inggeris sebagai subjek tambahan  dan mengenepikan subjek berkaitan agama dan moral.

Antara kemahiran yang diperlukan oleh para graduan ialah kemahiran berkomunikasi. Penglibatan dalam aktiviti seperti  pidato, bahas dan debat sejak di alam belajar akan melatih mahasiswa untuk lebih petah berbicara, matang mengeluarkan hujah serta berani mengetengahkan idea-idea yang baru. Keyakinan diri juga akan mula terbit apabila terbiasa berucap di khalayak ramai. 

Keterbiasaan ini bukan sahaja menghidupkan jiwa kepimpinan yang karismatik malah mampu mempengaruhi orang lain dengan ideologi yang dibawa. Sekiranya mahasiswa seperti ini dilantik sebagai agen pemasar produk, nescaya majikannya akan menikmati keuntungan yang berlipat kali ganda dek kebolehan pekerjanya untuk meyakinkan pelanggan. Walaubagaimanapun, di sebalik kepetahan berbicara, mahasiswa tidak harus mengabaikan interaksi sopan dalam pertuturan disebabkan oleh pengaruh negatif bawaan novel, filem dan bahasa SMS yang melunturkan keindahan budi bahasa.

Bukan itu sahaja, kemahiran menguasai pelbagai bahasa juga harus menjadi fokus utama dalam menjana kualiti diri. Ini kerana sektor pekerjaan lazimnya tidak terhad kepada industri tempatan sahaja, malah turut mencakupi industri luar negara. Oleh itu, kemahiran mahasiswa dalam penguasaan bahasa asing secara lisan mahupun tulisan akan menjadi satu nilai tambah yang memudahkan aksesibiliti dalam pasaran pekerjaan.

Pengalaman penulis sendiri dalam memantapkan bahasa asing khususnya bahasa Inggeris adalah dengan memohon untuk menginap bersama pelajar asing. Persekitaran seperti ini akan melatih diri kita untuk berkomunikasi dalam bahasa asing  secara lebih cepat,tepat dan efektif. Tidak perlu malu jika tersalah bertutur kerana ia adalah proses untuk memperbaiki diri. Kekerapan berkomunikasi bahasa asing akan menjadi latihan yang baik kepada pelajar untuk menguasai bahasa tersebut.

Kemahiran seterusnya ialah kemahiran teknologi. Kata Prof Muhaya, manusia yang bijak ialah manusia yang mengawal teknologi bukannya manusia yang dikawal teknologi. Hari ini kebanyakkan mahasiswa membiarkan diri mereka menjadi hamba kepada gajet, laman sosial dan instrumen teknologi yang lain. Contohnya, kita dapat lihat pada hari ini, hampir kesemua individu mempunyai akaun peribadi dalam laman sosial samada Facebook, Instagram dan Twitter. Namun begitu, berapa ramai yang memanfaatkannya untuk kemaslahatan ummah. 

Tidak kiralah, samada menjalankan perniagaan atas talian, menyebar idea penulisan berunsur dakwah atau mempromosikan seni grafik yang direka. Bayangkan jika semua ini dikormersialkan, nescaya individu terbabit bukan sahaja berdaya saing dalam merebut peluang pekerjaan, malah mampu membuka peluang kepada orang lain untuk sama-sama bekerja di bawahnya. Kebolehan mahasiswa untuk menjana pendapatan sendiri sebelum bergraduat harus dibudayakan agar peluang pekerjaan menjadi lebih luas dan tidak terhad kepada sektor kerajaan semata-mata.

Khulasahnya, amat penting untuk kita menyedari bahawa akademik bukanlah indikator untuk seseorang itu maju dalam kariernya. Sebaliknya kemahiran-kemahiran lain juga haruslah dimanfaatkan seupaya mungkin oleh mahasiswa untuk survival kerjaya mereka. Mantapkanlah diri dengan bakat dan kebolehan kurniaan Allah. Kerana hakikatnya manusia tidak dilahirkan bodoh, tetapi dilahirkan dengan kepandaian yang berbeza. Semoga mahasiswa hari ini berjaya membangunkan potensi diri dan berupaya menjadi modal insan harapan negara.

No comments:

Post a Comment