Wednesday 16 March 2016

Interpretasi sayangku buatmu




Silaturrahim berasal daripada perkataan:

Sillah (hubungan),
Rahim (Kasih sayang)

Rahim itu juga merujuk kepada organ di dalam perut ibu sebagai tempat mengandungkan bayi.Dalam kata lain silaturrahim menggambarkan hubungan kasih sayang yang kuat antara adik-beradik kerana hakikatnya mereka lahir dari rahim yang sama. Wujudnya pertalian darah yang kuat sejak dalam rahim adalah sebuah ikatan yang sangat istimewa yang tidak bisa diputuskan walau apa jua keadaan. Suami isteri, hubungan mereka boleh terputus kerana penceraian. Tetapi hubungan adik-beradik, statusnya akan kekal hingga Qiamat. 

Bersilaturrahim itu juga bermaksud menyambung hubungan yang terputus.

Sabda Rasulullah, barangsiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali silaturrahim (hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah SWT mengutuk dan melaknat bagi orang yang memutuskan silaturrahim serta tidak akan dimasukkan ke dalam syurga, sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: Tidak akan masuk syurga bagi orang yang memutuskan silaturrahim (Hadis Riwayat Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W: Rahim (tali persaudaraan) itu digantungkan kepada Arash, ia berkata: “Barangsiapa yang menyambungkan (berbuat baik pada kerabat), maka Allah akan menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan aku, maka Allah pun akan memutuskannya”.

Antara cabaran yang kuat dalam mengikat tali silaturrahim ialah EGO.

Ego jika disalurkan secara positif akan memberikan impak positif, tetapi jika diinterpretasikan secara negatif, ia akan membawa padah.Ego seringkali dikaitkan dengan rasa lebih baik dari orang lain. Rasa ini menyebabkan kita sangat sukar untuk memaafkan orang lain. Sifat ini adalah ibarat racun yang membunuh diri kita secara senyap dan perlahan.Ego juga datang dari sifat syaitan. Ingatlah, syaitan dihalau keluar dari syurga bukan sebab syirik pada Allah, bukan sebab berzina atau minum arak tetapi kerana EGO.EGO inilah yang menjadikan syaitan lebih rela tinggal di neraka selama-lamanya berbanding sujud kepada Nabi Adam atas arahan Allah Taala. Sebab itu jika EGO tidak diuruskan dengan baik, kita bukan hanya menderita di dunia tapi akan merana hingga ke akhirat. 

Analogi orang yang memutuskan silaturrahim dengan adik-beradik atau saudara sendiri ialah ibarat seorang manusia yang ingin memutuskan hubungannya dengan Allah. Padahal, mana mungkin seorang manusia lari dari tuhannya kerana akhirnya kepada tuhannya jua dia akan dikembalikan. Begitulah kita dan adik beradik kita. Walau sehebat mana pun kita, walau setinggi mana pun pangkat kita, apabila kita mati kelak kita tetap tidak boleh menguruskan jenazah kita. Pada masa ini siapa yang kita akan harapkan? Tidak lain tidak bukan, tentulah ahli keluarga kita yang mungkin kita musuhi itu.

Justeru, hidupkanlah tali silaturrahim itu. Janganlah di hari Qiamat kelak barulah kita menangis dan menyesal dengan keegoaan kita yang enggan memaafkan saudara kita. Jika kita suka Allah mengampunkan kita, maka kita juga harus suka untuk memaafkan orang lain.

Kata pujangga:
Kebaikan yang dibalas kebaikan itu namanya BIASA
Kebaikan yang dibalas kejahatan itu namanya ZALIM
Kejahatan yang dibalas kejahatan itu namanya DENDAM
Tetapi kejahatan yang dibalas kebaikan itulah yang TERPUJI

Akhir kalam, berusahalah untuk meletakkan diri kita di makam yang TERPUJI. Maafkanlah orang dan berlapang dadalah dalam berhubungan agar hubungan silaturrahim kita sentiasa harum dengan wangian kasih sayang Allah.Semoga kita bertemu di syurga.

No comments:

Post a Comment