Tuesday 28 September 2021

Squid Game dan Normalisasi Kelucahan

 


Pertamanya sejak drama ni mula viral di media social, saya tak ambik kisah pun. Mungkin sebab saya bukan peminat movie dan game. Anggapan saya pada mulanya, bila cerita ini diviralkan dan ditonton orang ramai, saya beranggapan drama ini selamat untuk ditonton. Pendek kata, tidak ada isu.

Namun saya sangat terkejut apabila rakan FB saya berkongsi tentang ulasan laman imdb tentang drama Squid Game itu. Ianya terus-terang menunjukkan adanya babak seksual dan bogel yang dinyatakan secara terang-terangan di situ.

Sejujurnya saya sangat sensitif jika babak-babak sebegitu wujud dalam filem. Bagi saya, sekiranya sesebuah filem mengandungi unsur lucah, ianya tidak patut langsung untuk ditonton. Meskipun ada yang menyatakan babak tersebut hanya berdurasi 5-10 minit, bagi saya adalah terlalu berisiko untuk menonton filem-filem sebegini apatah lagi dengan anak-anak.

Hatta, walaupun umur kita sudah melepasi 18 tahun ke atas, ianya bukan tiket untuk kita boleh menonton babak-babak lucah tersebut. Dalam Islam tidak ada G-rated, PG-13-rated atau R-rated. Yang ada hanyalah halal dan haram.

Soalnya kenapa saya sangat sensitif dengan isu ini?

Sebab saya terbaca sebuah kajian dalam Jurnal Psikologi Malaysia, yang bertajuk : “Tahu salah, tapi mahu” mendedahkan bahawa ada kes mahasiswi yang terjebak pornografi apabila menonton babak lucah dalam filem.

Ini adalah pengakuan mahasiswi tersebut:

“Biasa, bila tak tahu nak buat apa, orang pun lepak-lepak je. Masing-masing layan movie, kadang tidur petang. Kadang ada jugak tak rasa nak tidur, kita tengoklah movie apa-apa, tapi kadang separuh je tengok.sebab terasa nak tengok porno… bila tengok cerita orang putih kan ada aksi-aksi macam tu kan… kita pun sorang, so kita terfikir nak tengok benda tu pulak”.

Kalau difikirkan, mahasisiwi biasanya berumur dalam lingkungan 18-23 tahun ke atas. Tetapi kenapa mereka masih boleh terjebak dengan pornografi? Adakah kerana mereka belum matang. Sudah tentu tidak. Ianya sudah pasti kerana kegagalan mengawal hawa nafsu.

Ya.. ujian nafsu itu tidak mengenal usia. Sebab itulah kita tidak boleh tertipu dengan rate filem yang dikeluarkan oleh barat.

Sejujurnya saya sangat kesal apabila drama Netflix ini telah diviralkan dan menjadi bualan ramai. Ia membayangkan seoalah-olah drama sebegini diterima masyarakat kita. Bayangkan jika anak-anak sekolah rendah menonton drama ini tanpa pemantauan ibu bapa. Saya sangat bimbang jika babak lucah dan ganas itu ditonton. Tidak mustahil anak-anak ini akan menganggap babak meloyakan tersebut adalah suatu yang normal untuk ditonton.

Sebab itu saya berpendapat kita mestilah berhati-hati dalam mempromosikan sesebuah filem.Filem yang ada unsur lucah walaupun ada diselit pengajaran adalah suatu yang sangat berisiko untuk ditonton. Dibimbangi kita sedang menormalisasikan pornografi dalam masyarakat. Bayangkan jika ada yang terkesan dengan babak lucah dalam filem tersebut, siapa yang akan menerima impak buruknya? Sudah pasti kita semua.

Sebab apa? Sebab kita semua seolah-olah sedang membina kehidupan untuk para penzina, pelacur, perogol, pedofil, pelaku sumbang mahram, pelaku lgbt dan yang seangkatan dengannya. Selamatkah dunia sebegini untuk anak-anak kita? Kepada yang mempromosikan drama-drama sebegini, berhati-hatilah kerana dibimbangi ada saham kita dalam dosa-dosa seksual yang sedang membarah dalam masyarakat. Nauzubillahi min zalik.

Sepatutnya ibu bapa perlu tegas dalam situasi ini. Tidak semestinya drama itu viral, kita beria-ria menontonnya atas ajakan atau desakan anak-anak kita. Didiklah mereka untuk lebih sensitif terhadap adegan lucah yang merosakkan itu.

Sebaiknya, jika sudah maklum filem itu ada babak kotor, haramkanlah terus daripada anak-anak. Tak perlulah menonton cerita itu dan kononnya ‘skip’ babak tersebut. Ada banyak cara yang lebih suci untuk mendidik anak-anak kita. Bukankah Allah sudah berpesan kepada kita untuk menundukkan pandangan dan tidak mendekati zina?

Adakah kita sedar bahwa dengan menonton filem yang diketahui ada adegan tidak senonoh sebenarnya adalah antara satu jalan yang mendekati zina. Janganlah salurkan anak kita ke jalan kemungkaran. Allahuakbar.Semoga Allah membimbing kita untuk menjadi ibu bapa terbaik di zaman yang serba mencabar ini.

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment