Thursday 6 August 2015

Keluarga dan ekonomi




Apabila saya menyoroti fenomena wanita bekerja, saya melihat ramai kaum lelaki yang lebih memahami peranan wanita itu lebih daripada peranan seseorang wanita itu. Sejujurnya saya mengagumi para lelaki yang memperjuangkan untuk menggalakkan wanita mengutamakan peranan mereka di rumah. Kebanyakkan wanita menganggap lelaki seperti ini kolot, tidak terbuka dan berfikiran jauh. Tetapi hakikatnya merekalah insan yang sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan ummah pada hari ini. Tetapi wanita moden pula masih beranggapan bahawa peranan mereka dalam rumahtangga hanyalah ‘tugas sampingan’ yang dilihat tidak memberi kesan yang signifikan dalam pembangunan masyarakat. Wanita hari ini dimomokkan dengan kemajuan materialistik dan tanpa menyedari mereka telah mengabaikan peranan utama mereka untuk membangunkan insan. Saya tidak nafikan masalah ekonomi yang menjadi punca wanita bekerja. Sejujurnya saya pun tidak banyak ilmu untuk mengulas isu ini kerana saya masih tidak melalui perkara tersebut. Keteguhan ekonomi semestinya penting dalam rumah tangga tetapi sekiranya keteguhan ekonomi hanya berjaya dicapai dengan mengorbankan rumah tangga, bagi saya itu bukan merupakan solusi yang bijak. 

Keteguhan ekonomi juga perlu ditakrifkan semula. Adakah ekonomi yang teguh itu dinilai dengan keinginan yang tinggi untuk menggunakan toyota Camry walaupun hakikatnya sudah mempunyai perodua viva. Bagi saya , Perkara yang penting di sini ialah rasa qanaah atau cukup atas segala rezeki yang ada. Allah mungkin tak memberikan kita gaji yang banyak, tetapi Allah memberikan kita kecukupan untuk menikmati kehidupan. Kebanyakkan kaum wanita tidak bersyukur dengan pemberian suaminya dan meminta-minta sesuatu yang berada di luar kemampuan suami. Jika suami tidak mampu didesaknya si suami untuk membenarkan mereka bekerja. Apabila dah masuk dunia pekerjaan, mereka pun menginginkan apa yang ada pada wanita lain seperti kereta sendiri, baju-baju mahal, aksesori, set kerusi sofa yang elegan. Di sini dapatlah kita lihat keinginan bekerja hanyalah ingin memenuhi tuntutan nafsu mereka iaitu untuk membeli pelbagai barangan berjenama bukan untuk mengukuhkan ekonomi keluarga. Duit banyak tetapi gagal merancang juga adalah suatu kerugian dalam rumahtangga. Bahkan ada yang sanggup berhutang semata-mata ingin memiliki barangan mewah. Jika budaya ini semakin membarah dalam rumah tangga, maka tujuan berumahtangga untuk mencipta ketenangan akan gagal kerana hanya ketegangan yang bakal timbul setiap masa dek hutang yang menimbun.

Itu dalam konteks wanita, lelaki pula banyak memfokuskan pada gajet atau kereta. Mereka sanggup melabur ribuan ringgit semata-mata ingin menghias kereta. Padahal bukan mereka tinggal, tidur dan makan di dalam kereta tersebut. Kereta hanyalah kenderaan yang diperlukan untuk memudahkan kita ke tempat kerja. Membelanjakan duit semata-mata ingin menghias kereta sehingga kewangan keluarga terjejas adalah suatu pengkhianatan yang besar terhadap keluarga. Tidak dinafikan ada lelaki yang memang minatnya menghias kereta. Minat itu tidak salah. Tetapi sangat penting untuk kita memahami keutamaan di mana sepatutnya kewangan itu disalurkan. Hobi lelaki ni pelik juga ya. Kadang-kadang, mereka sanggup bertukar-tukar kereta kerana alasannya sudah puas memakainya. Akibatnya hutang kereta lama belum selesai, kemudian buat pinjaman lain untuk membeli kereta baru. Lelaki..lelaki…


Realiti yang banyak berlaku

 Bagi saya pelaburan terbaik untuk rumah tangga adalah untuk pendidikan anak-anak. Kesanggupan ibu bapa untuk memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak akan membuahkan hasil yang baik bukan sahaja dalam likungan keluarga, bahkan masyarakat.Membeli makanan terbaik untuk anak, menghantar mereka ke sekolah yang baik, merangka  aktiviti menyeronokkan untuk anak, semuanya memerlukan kewangan.Lagipun anak-anak merupakan amanah terbesar dalam rumahtangga, melebihi saiz kediaman, kemewahan perabot atau apa sahaja elemen yang melibatkan rumahtangga. Pelaburan untuk membina anak yang soleh bukan sahaja mendatangkan keuntungan di dunia bahkan juga di akhirat. Jika anda melabur banyak untuk kereta, sebaik sahaja anda mati, anda tidak akan memperoleh faedah apa-apapun dari kereta yang cantik itu. Tetapi anak soleh boleh menjadi pencen kubur yang sangat membantu kita di alam barzah kelak. Dalam merancang ekonomi, perancangan harus melangkaui sehingga akhirat kerana kematian itu bukan pengakhiran hidup kita cuma transisi ke dunia yang baru.Jika kita gagal merancang ekonomi yang baik dalam keluarga, kita bukan sahaja akan merana di dunia malah juga di akhirat.

Pelaburan anak soleh jauh lebih menguntungkan
Wallahua'lam.Sekadar pendapat




No comments:

Post a Comment