Wednesday 17 June 2015

Salam Ramadhan kareem




Ramadhan ini..

Ramadhan pertama tanpa abah

Teringat memori tahun lepas di mana aku ditugaskan untuk memotivasikan anak yatim untuk menyambut ramadhan. Kini aku sendiri adalah yatim piatu yang menyambut ramadhan. Tahun lepas aku memotivasikan mereka, tahun ini aku memotivasikan diriku sendiri. 
Aktiviti bersama anak yatim

Dalam program tahun lepas, aku menayangkan satu vedio di mana seekor ibu monyet dibaham seekor singa betina. Selepas ibu monyet itu mati, barulah singa betina itu menyedari bahawa ibu monyet itu mempunyai anak monyet yang masih kecil dan sangat memerlukan ibunya. Maha suci Allah yang menumpahkan rasa belas kasihan singa betina itu kepada anak monyet itu. Si ibu singa yang fitrahnya buas kepada pemangsanya itu tidak sampai hati untuk memakan ibu monyet itu, malah menjilat-jilat anak monyet yang kecil itu sebagai lambang kasih sayangnya pada anak monyet yang kehilangan ibunya. Bayangkan, seekor binatang yang yatim pun Allah pelihara, apatah lagi kita manusia yang dicipta Allah sebagai sebaik-baik makhluk, sudah tentu pemeliharaan Allah terhadap manusia itu jauh lebih besar dari makhluk-makhluk lain. Demikianlah perumpamaan yang aku sampaikan kepada anak-anak yatim itu agar mereka tidak bersedih hati dengan nasib yang menimpa mereka. 

Nikmat ibu bapa merupakan antara nikmat terbesar dalam hidup kita. Demi Allah tidak ada orang yang akan menyayangi kita lebih daripada ibu bapa kita. Hatta pasangan kita atau anak-anak kita, belum tentu akan menyayangi kita sebagaimana ibu-bapa kita menyayangi kita. Sebab itulah perintah terbesar selepas tidak menyekutukan Allah ialah berbuat baik kepada ibu-bapa.

Besarnya kasih ibu-bapa kepada anak-anaknya banyak digambarkan dalam kata-kata ini:

“Sekiranya si anak sakit, ibu bapa sentiasa mengharapkan anaknya terus hidup tetapi jika ibu bapa yang sakit, hakikatnya si anak hanya akan menantikan kematian mereka”


Oleh itu sementara kita masih hidup, layanilah ibu-bapa sebaik-baiknya. Baik di dunia mahupun di alam qubur. Jika mereka mati sekalipun doa kita sebagai anak yang soleh akan tetap membawa kebaikan kepada mereka di alam barzarkh. Sebab itulah antara perkara terbaik yang boleh kita berikan kepada ibu bapa kita ialah dengan mensolehkan diri kita. Hari ini betapa ramai anak yang mengaku sayang kepada ibu-bapanya tetapi gagal menjadikan dirinya soleh atau solehah. Contohnya si anak perempuan mendakwa menyayangi bapanya tetapi dalam masa yang sama tidak segan silu mendedahkan aurat yang mana tempias dosa itu pasti akan terkena pada bapanya. Akhirnya di akhirat kelak dia menjadi magnet untuk menarik ayahnya masuk neraka. Na’uzubillah.



Percayalah, kita hanya boleh menolong ibu bapa kita semasa kita hidup di dunia sahaja kerana Allah sudah awal-awal lagi mengingatkan kita dalam surah Luqman dalam ayat yang berbunyi:

“Wahai manusia! Bertaqwalah kepada tuhanmu dan takutlah pada hari yang ketika itu seorang bapak tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat menolong bapaknya sedikitpun. Sungguh, janji Allah itu benar…” [Luqman:33]

Oleh itu sebagai seorang anak, perkara terpenting dalam hidup kita adalah dengan memberikan khidmat bakti terbaik kepada mereka sementara mereka masih hidup dan bersungguh-sungguh mendoakan kesejahteraan mereka  selepas mereka meninggal dunia. 

Bagi mereka yang ketiadaan ibu bapa, usahlah bersedih. Yatim piatu itu sendiri banyak membantu kita untuk meletakkan segala pergantungan kita 100% kepada Allah Taala. Dan demi Allah, inilah perkara yang paling membahagiakan dalam hidup kita yang sukar diperolehi oleh orang yang masih ada ibu bapa. Kita hanya mengadu kepada Allah kerana Dia maha mendengar dan kerna Dia jualah yang memberi jalan keluar setiap permasalahan kita.

Akhir kata, Semoga ramadhan kali ini menjadikan kita hamba yang lebih dekat dengan Allah taala.

#Allahumma barikli fi rejab wasyaaban, wa ballighuni romadhon.

No comments:

Post a Comment