Hakikat kehidupan adalah pilihan
Dan sebaik-baik pilihan adalah
apa yang terbaik yang Allah tentukan untuk hidup kita
“Ramlee..Hari ini nak makan mee
goreng ke nasik lemak?”
“Aziz….Kita nak isi minyak kat
Caltex ke Petronas?”
“Malam ni nak study apa Sudin?
Math ke sejarah?”
Situasi-situasi di atas mungkin
pernah berlaku dalam hidup kita. Sedar atau tidak ia merupakan pilihan. Dan
kita bertanggungjawab di atas setiap keputusan yang diambil. Dan bagi membuat
pemilihan ini semuanya adalah soal hati. Hati yang baik akan memilih yang baik,
hati yang jahat akan cenderung pada yang jahat.
Sebab itu Allah berfirman:
Sungguh beruntung orang yang menyucikan jiwa
Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya. [Ash-syams: 9-10]
Oleh kerana hidup ini adalah
pilihan, sesetengah ulama menyarankan kita melakukan istikharah setiap hari
supaya setiap keputusan yang diambil itu terpandu [Ops… susah kot nak konsisten
macam ni].Istikharah pula mestilah mestilah diiringi taubat dahulu. Kerna
taubat itu menyucikan dan menyimbahkan cahaya. Konsep cahaya bergerak lurus. Jika
dosa yang menutupi hati ibarat objek legap yang menghijab hati, mampukah cahaya
petunjuk akan tertuju kepada hati kita? Sebab itulah taubat dan istighfar sangat
penting sebelum beristikharah.
Kerana akhirnya kita hanyalah hamba
Ingatlah sehebat mana akal kita,
setinggi mana pointer yang kita pernah dapat kita, tetap ada ilmu ghaib yang
tidak mampu digapai kecuali dengan merujuk kepada Allah. Hakikatnya hanya Allah
yang Maha Mengetahui tentang kita, masa depan kita, nasib kita…semuanya tidak
dapat dijangka.
Bahkan Allah sendiri yang
menyarankan kita untuk merujuk kepadanya sebagaimana firmannya dalam surah
an-Nisak
Sekiranya kamu berselisih faham
tentang sesuatu perkara, rujuklah Allah (Quran) dan Rasul (sunnah) jika kamu mengaku
beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Demikian itu lebih baik dan terbaik pula
kesudahannya. [An-Nisak:59]
Istikharah juga melambangkan
kebergantungan kita kepada Allah sebagai hamba yang sejati. Untaian permohonan
dan keinginan bagi mendapatkan perkara terbaik dengan merujuk Allah menjadikan
kita lebih merendah diri kepada Allah yang maha mengetahui perkara ghaib.
Secara tidak langsung, kita telah menyerahkan urusan kita kepada Allah.
Selepas beristikharah dan membuat
keputusan, berusahalah ke arahnya dengan jalan tidak dicemari maksiat agar
setiap perjalanan kita menuju ke arah matlamat yang ingin dituju akan
membuahkan keberkatan yang berpanjangan di sisi Allah.
Kesimpulannya dalam setiap
perkara yang kita buat, rujuklah kepada Allah, Kadang-kadang tidak semestinya dengan
solat istikharah sahaja, cukup sekadar kita mengetahui dan sedar hukum hakam
dan perkara yang kita telah lakukan. Itupun sudah dikira merujuk Allah. Tetapi
jika kita merasakan keputusan itu melibatkan sesuatu yang besar yang bakal
mempengaruhi keseluruhan hidup kita, sebagai contoh pemilihan pasangan,
pemilihan tempat belajar atau apa-apa sahaja, dirikanlah solat istikharah agar
hati kita terpandu dan pasakkanlah segala keyakinan dan sandaran kita hanya
kepada Allah semata-mata.
Sesudah beristikharah, berusaha
dan menikmati hasilnya, jangan sesekali kita menyesal dengan pilihan yang Allah
taqdirkan kepada kita. Walaupun mungkin terdapat sisi negatif pada pandangan
kita tetapi sebaiknya terimalah keputusan itu seadanya kerana barangkali Allah
lebih mengetahui hikmah di sebalik setiap apa yang dikurniakan kepada kita. Moga-moga
kepasrahan kita dalam menerima taqdir yang ditetapkan ke atas kita akan terus
menjadikan kita untuk terus tunduk pada Pencipta kita yang hakikatnya sentiasa
ingin memberi yang terbaik kepada hamba-hambaNya.
Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment