Suasana pendidikan dalam rumahtangga hari ini
lebih banyak didominasi oleh si ibu berbanding si bapa.Kebanyakan masyarakat
hari ini melihat peranan bapa sebagai pencari nafkah semata-mata dan menganggap
tanggungjawab mendidik anak semuanya tergalas di bahu ibu. Sebenarnya persepsi ini
harus diperbaiki kerana hakikatnya peranan ibu dan bapa perlu seimbang dalam memberikan
pendidikan terbaik kepada anak-anak. Keseimbangan
ini sangat penting kerana secara fitrahnya pendekatan ibu dan bapa itu sangat
berbeza dan harus disinergi bagi mewujudkan pendidikan berimpak positif dalam
diri si anak.
Secara fitrahnya, pendekatan ibu dalam
mendidik anak-anak adalah lebih kepada memenuhi keperluan mereka. Berbeza pula
dengan golongan bapa yang sebenarnya mendidik anak bersesuaian mengikut faktor
gender. Contohnya kita sering melihat golongan ibu terutamanya berkerja keras
untuk memenuhi keperluan makan minum, pakaian serta pendidikan anak-anak.Mereka
tidak membeza-bezakan layanan terhadap anak mengikut jantina mereka. Bagi
golongan ibu, semua anaknya tidak kiralah samada lelaki atau perempuan mestilah
dipenuhi keperluan mereka.
Sketsa
Pendidikan seorang Bapa
Berbeza dengan cara didikan seorang bapa yang
lebih menekankan faktor gender dalam melayani keperluan anak-anak. Contohnya
bapa memberikan kebebasan yang agak longgar kepada lelaki tetapi tidak kepada anak
perempuan. Lazimnya golongan bapalah yang mengingatkan anak perempuan untuk
menolong ibu di dapur sementara mengajak anak lelaki membuat kerja-kerja berat
ataupun bersifat "outdoor". Semasa saya membaca buku psikologi
bertajuk perkembangan jangka hayat manusia, saya teringatkan satu nukilan yang
menceritakan tentang seorang bapa yang sedang melatih anaknya untuk melakukan
sukan papan anjal. Reaksi bapa terhadap dua anak yang berlainan jantina sangat
jelas sekali perbezaannya.
Ketika anak lelaki perlu membuat terjunan
tetapi masih ragu-ragu untuk terjun, ayah tersebut berkata: "Come on,
jump!! Be a man..be brave!!
Tetapi bila giliran anak perempuan yang
ragu-ragu untuk terjun: ayah tersebut berkata: Oh..Its ok honey, Your
willing to try is already good for me..
Di sini kita dapat melihat pedekatan ayah
terhadap anak lelaki lebih keras dan mencabar sesuai dengan ciri-ciri
kelelakian. Tetapi si bapa tidak menggunakan pendekatan yang sama terhadap anak
perempuan. Mereka tidak memaksa dan lebih mengutamakan toleransi kepada
anak perempuan Ini sudah tentu selari
dengan jiwa wanita yang halus dan lebih mementingkan kelembutan.
Selepas belajar psikologi, barulah saya
menyedari perkara ini juga berlaku pada keluarga saya.Pernah suatu ketika saya
bertanyakan bapa saya kenapa tidak membenarkan saya mengambil lesen motor. Kata
beliau, “Sebab kakak perempuan, tak perlulah nak tunggang motor”. Kadang-kadang,
bukan bapa sahaja yang menekankan faktor gender dalam memberi layanan, tetapi
semua lelaki umumnya memang begitu. Contohnya, saya pernah berbincang dengan
abang saya untuk mengambil adik lelaki saya yang pulang dari sekolah kerana
kami semua ada hal yang perlu diuruskan. Sebagai perempuan mestilah saya
kasihan melihat adik pulang dalam kepenatan kerana berjalan kaki di bawah cuaca
panas.Tetapi tidak abang saya yang berkata " Hish.. Dia kan lelaki,
biarlah di berjalan tengah panas, ajar bagi lasak sikit!!" .Bagi saya
sangat jelas di sini, pendekatan lelaki sangat berkait rapat dengan gender.
Bapa
penyebab kecelaruan identiti?
Sebab itulah jika ayah tidak memainkan
peranan dalam pendidikan, anak-anak akan cenderung untuk mengalami kecelaruan
identiti terutamanya ketika zaman remaja. Ini kerana bapalah menjadi tonggak
utama dalam menentukan peranan anak-anak mengikut keperluan jantina mereka.
Golongan wanita secara semulajadinya tidak memiliki keupayaan ini. Sebab itulah
peranan bapa dalam konteks ini adalah sangat penting. Sekiranya seorang bapa
mengabaikan peranan penting ini, maka kecenderungan untuk melahirkan generasi
yang jahil tentang peranan mereka akan semakin berleluasa. Mereka juga akan
mudah terjebak dengan masalah kekeliruan identiti yang semakin
meruncing dalam gaya hidup remaja masa kini.
Wahai pembaca yang budiman,
Kenalkah kalian kepada Irsyad Manji. Beliau
ialah aktivis lesbian yang memperjuangkan hak wanita. Tahukah anda kenapa dia
menjadi lesbian? Antara faktornya adalah kerana didikan bapanya yang terkenal
dengan jolokan lelaki berpisau. Bapa Irsyad Manji memilih untuk menggunakan
unsur kekerasan dalam mendidik anak perempuannya. Pisau belati sentiasa
tersisip di pinggangnya. Sekiranya Irsyad Manji melakukan kesilapan,
diacu-acunya pisau itu kepada anaknya kononnya ingin mendidik supaya tidak mengulangi
kesilapan.Sebagai seorang kanak-kanak perempuan yang masih kecil dan tidak
mengerti apa-apa, situasi ini telah meninggalkan parut trauma dan ketakutan
yang sangat dalam pada jiwanya sekaligus mengikis kepercayaannya kepada para
lelaki. Lantaran itulah, dia tegar memilih golongan wanita sebagai pasangan
hidup kerana tidak berasa selamat lagi dengan lelaki.
Bapa CEO Ibu
COO
Selain itu, peranan bapa tidak boleh
diabaikan kerana Al-Quran sendiri banyak menekankan tentang peranan bapa
terutamanya dalam pentarbiahan anak-anak. Jika diselak lembaran quran, banyak
dialog antara si bapa dengan si anak yang menggambarkan betapa besarnya
fungsi bapa dalam mendidik anak-anak. Kisah Luqman dan anaknya, kisah
Nabi Ibrahim dan anaknya serta kisah Nabi Nuh dan anaknya yang diabadikan di
dalam quran menjadi bukti bahawa bapa sebolehnya perlu mewujudkan dialog
berkualiti dengan si anak kerana itulah yang memberi kesan pada jiwa si
anak. Perbualan bapa dengan anak juga adalah ibarat kompas yang menjadi
penunjuk arah bagi mereka melayari kehidupan dengan lebih baik. Dalam kata lain,
bapa bertanggungjawab untuk memimpin (CEO: Chief Executive Officer) manakala
ibu berperanan mewujudkan keselesaan dalam pengurusan rumah tangga (COO: Chief
Operating Officer).
Bapa dan
perkembangan kognitif anak
Anak-anak juga akan menjadi lebih berjaya
jika si bapa mula menunjukkan perhatian kepada mereka sejak kecil lagi Kajian
menunjukkan sekiranya bapa banyak berinteraksi dengan anak yang baru dilahirkan
dalam aktiviti penjagaan bayi, perkembangan minda akan akan menjadi lebih baik.
Ini kerana komunikasi si bapa banyak dipengaruhi pelbagai soalan contohnya
(kenapa, di mana). Berbeza pula dengan ibu yang lebih suka membahasakan dirinya
sebagai anaknya, contohnya bila ibu tersebut berkata “ Saya dah panaslah ibu,
saya nak mandi” (ibu membahasakan dirinya sebagai bayi). Oleh itu, dapat kita perhatikan
bila mana bapa banyak bertanyakan soalan pada bayi, bayi sebenarnya akan
berusaha untuk bercakap dengan lebih banyak sekaligus merangsang neuron otaknya
untuk berhubung dengan lebih aktif.
Bapa
mempengaruhi emosi dan sosial anak
Secara semulajadinya, bapa berupaya menjadi
pendorong kepada kejayaan si anak. Ini kerana kajian membuktikan bahawa anak
yang mempunyai hubungan baik dengan bapa adalah lebih bermotivasi dan
mengutamakan pendidikan. Di samping itu mereka juga cenderung untuk menunjukkan
sikap positif di sekolah dan tidak terlibat dengan masalah disiplin. Bukan itu
sahaja si anak juga akan menjadi aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah
selain mempunyai pencapaian akademik yang tinggi.
Dari sudut perkembangan emosi pula, hubungan
yang baik antara anak dan bapa akan mencetuskan kepuasan dalam jiwa si anak
sekaligus mewujudkan hubungan sosial yang baik dengan sahabat mereka. Selain
itu anak lelaki akan menjadi lebih yakin dan pandai mengendalikan emosi
sekiranya berdepan kekecewaan kerana mereka mempunyai kemahiran menyelesaikan
masalah serta lebih mudah beradaptasi dalam persekitaran yang baru. Bagi anak
perempuan pula, mereka akan menjadi lebih ceria, suka meneroka perkara baru dan
tidak mudah terjebak dalam budaya berpacaran kerana akaun emosi mereka sudah
stabil dek mendapat perhatian sempurna daripada si bapa.
Khulasahnya,
sinergi peranan ibu dan bapa ibarat sayap kiri dan kanan pada seekor burung.
Sekiranya salah satu patah maka tersasarlah tujuannya. Hanya gabungan sayap
yang sempurna mampu memacu mereka menongkah arus udara yang berhambatan di
langit biru. Oleh itu buat bapa jangan diabai sentuhan hati pada anakmu. Buat
ibu pula teruskanlah mengurus rumahtanggamu. Kerana hakikatnya walau peranan
kita berbeza, tetapi tujuan kita tetap sama, iaitu melabur generasi pencinta
tuhan.
Satu perkongsian yang menarik. Contoh2 yang diselitkan juga menarik. Tapi, bahagian 'bapa mempengaruhi emosi dan sosial anak' kurang jelas. Adakah ini berkait rapat dengan situasi di mana semua anak tidak kira lelaki mahupun perempuan lebih menyayangi dan menghormati ibu mereka berbanding ayah?
ReplyDelete