Mari saya tuliskan ebook untuk anda

Thursday, 1 October 2026

Ada masa aku penat

 



Ada masa aku penat...


Kalau aku penat,aku tak rehat.


Aku buat apa yang aku suka.


Kadang-kadang aku cuba benda baru, Cuba keluar dari rutin harian.


Kita kena akui, yang penatkan kita tu adalah kerja rumah yang tak pernah habis..


Diikuti melayan karenah dan ragam setiap anak. Emosi perlu terkawal.Takkan nak marah anak kecil kita selalu..


Kena sabar. Walaupun sabar itu memakan tenaga.


Ada kalanya aku berdoa. Ya Allah berikanlah aku kesabaran tertinggi bagi menjaga dan mendidik anak-anakku.


Chill sahaja..


Memang penat menjadi ibu..


Penat emosi, penat fizikal, penat mental


Aku kalau penat sangat, memang aku tak masak. Masa yang ada, aku buat apa yang aku suka.Suruh je  suami beli makanan.


Syukur aku ada suami yang memahami kepenatan ini.


Untuk september ni, aku ambil langkah baru untuk recharge energy. Aku ekstrovert sebenarnya. Kena bersosial, baru badan segar.


Sebenarnya suami aku lebih suka aku duduk rumah je, melayan anak-anak.Tapi hari tu, aku minta izin suami nak pergi majlis ilmu dekat balai raya kampung.


Segan juga nak jumpa orang kampung. Semua wanita yang agak berusia. Tapi aku okay je.Bab bersosial ni, aku mudah je nak adapt.


Adalah orang-orang kampung yang aku start berkenalan..Baru bertambah sikit kenalan aku. Berkawan maya tak sama dengan fizikal.


Begitulah..sebagai surirumah, raikan apa kehendak hati kita. Kita manusia, bukan robot.


Keluar dari rutin tu adalah satu yang perlu kita usahakan demi kesihatan mental dan emosi kita.


Alia Basirah WM

Jom penat berjemaah

Aku dan cerita aku



Aku memang suka menulis. Tapi aku tak sedar tabiat ni.


Bila aku dewasa..selepas melihat nota dan catatan lama, baru aku perasan yang aku ni suka menulis sejak sekolah menengah.


Ada penulisan ala diari. Tapi kebanyakan yang aku tulis memang maklumat fakta.


Aku pun memang suka menulis genre bukan fiksyen berbanding fiksyen. Bagi aku penulisan berkait rapat dengan karakter kita.


Aku bukan kaki movie atau drama. Jarang sangat aku melayan drama. Tapi aku sangat meminati program TV berbentuk bual bicara atau dokumentari.


Mungkin sebab inilah penulisan  aku  cenderung  ke arah bukan fiksyen.


Kali pertama aku terjebak dengan blog adalah pada tahun 2013. Itupun selepas kebosanan duduk di asrama masa menyambung pengajian master.


Aku mula berkongsi info yang aku pelajari dalam kuliah. Perjalanan master memang mengubah arah perjalanan hidupku. Dalam fasa inilah aku tekad dan bercita-cita untuk menjadi surirumah yang menulis.


Ya, aku menjadi surirumah atas kefahaman yang mendalam tentang peranannya, bukan sekadar ikut-ikutan.


Baik lah. Sekian sahaja cerita hari ini. Panjang kalau nak dikarang bab ni.Haha...Okay, jumpa lagi!!


Alia Basirah WM

Nak suruh admin ajar cara buat duit dengan menulis.Sendu sangat setakat ini..

Tuesday, 29 September 2026

Impian ku..

 




Impian aku dari dulu lagi memang nak jadi sururimah yang menulis.


Memang aku dah capai impianku.Tetapi bagi aku, impian tu harus dikembangkan.Barulah hidup kita sentiasa ada target baru apa nak capai.


Sebenarnya aku juga ada impian nak menjadi motivator kat sekolah. Nak bagi kesedaran kepada pelajar untuk jauhi pornografi dan bincang isu ketagihan media sosial.


Tapi setakat ini, tak boleh buat lagi lah...Aku ada anak kecil yang perlu dijaga. Sebab tu, aku mula buat konten kat Tik Tok je.


In Sha Allah, bila anak-anak dah besar sikit aku nak merancang perjalanan impianku.


Teringat kata-kata Ustaz Azlan Shah, kita kena hidup dengan bakat yangdikurniakan Allah kepada kita. Cari balik, apa minat dan kekuatan kita?


Barulah sesuatu yang kita buat akan menjadi lebih bermakna dan meaningful..


Begitulah..


Alia Basirah WM


Orang yang menginspirasikanku

 



Orang yang mengispirasiku


28 September yang lalu, kita dikejutkan dengan pemergian Almarhumah Tun Hasmah Mohd Ali.


Kematian ini umpama menyentap jantung hati rakyat Malaysia.Ramai mula bersedih hati tatkala banyak klip video kenangannya tersebar di media sosial.


Antara yang paling sukar untuk aku lupakan ialah wawancara Tun Hasmah dengan Fedtri Yahya.


Bila ditanya tentang kehidupan, antara tip yang diberikan ialah selalu bersyukur.


"Setiap pagi selepas bangun tidur..ucaplah alhamdulillah dan kenanglah nikmat Allah kepada kita."


Syukur banyak-banyak..


Lepas tu, aku sendiri pun kagum dengan Tun.Hasmah dan Tun Mahathir. Pasangan Doktor ini menjaga kesihatan kognitif mereka dengan aktiviti membaca dan menulis setiap hari...


Tun Hasmah kata, kalau tak sempat menulis..baca. 


Patutlah mereka ni tak nyanyuk. Usia 100 tahun pun masih boleh respon dan bertutur dengan baik.


Subhanallah, sangat menjadi inspirasi aku yang minat membaca dan menulis...Moga aku juga boleh mengikut jejak mereka


Alia Basirah WM

Sunday, 27 September 2026

My new progress!!

 



Hari ini aku nak menulis tentang 'progress' aku melawan ketagihan media sosial.


Aku punya 'killer' medsos ialah Facebook. Sekali buka, memang akan terperangkap lama.


Oleh kerana nak jaga masa aku, aku terpaksa beli sangkar telefon ni.


Hari ini genap 25 hari aku guna sangkar telefon ni (atau disebut sebagai phone jail).Alhamdulillah,  terasa perubahannya.


Paling penting aku lebih berdisiplin dalam pengurusan rumah tangga. 


Perubahan paling ketara aku ialah tingkah laku aku sendiri iaitu kemas katil di awal pagi.


Hahaha..kantoi!!


Selama ni, aku kemas je katil tapi masa tak menentu.Ada kalanya tengahari, kadang-kadang sebelum suami balik kerja.huhu.


Tapi sekarang dah berubah...


Sejak aku letak fon dalam sangkar sejak awal pagi, aku jadi lebih produktif.


Setiap pagi aku kemas katil...Dan kelakarnya hari ni, aku tak ingat pun aku dah kemas katil ke belum..sampai aku tertanya-tanya..


Nak pastikan, aku pun dah masuk bilik.Eh, dah kemas!!


Nampak biasa kan..Tapi dari sudut psikologi, tingkah laku aku ni dah bertukar dari manual effort kepada automatic mode.


Inilah apa yang macam pempengaruh mental, Amirul Ramli tu kata..


Otak perlukan repetition dalam neuroplasticity. Setiap usaha kecil yang berulang ni, dia akan kuatkan laluan neuron kita.


Bila sesuatu yang dibuat secara konsisten, otak akan shift daripada manual effort kepada automatik mode, yang mana...


Orang berjaya ni, bila sistem kerja dia dah menjadi automatik...


Alhamdulillah..inilah antara kejayaan kecilku menggunakan sangkar telefon ni. Sebenarnya banyak lagi kebaikan lain, nanti aku akan kongsikan di lain masa.


Alia Basirah WM

Terus berjuang!!


Monday, 14 September 2026

Phone Jail

 


Berehatlah kau di dalamnya...



PHONE JAIL: Hack terbaik aku setakat ini untuk kawal ketagihan media sosial. 📱🔒


Aku mula guna cara ni sejak September.


Sebelum ni, macam-macam cara aku dah cuba untuk kawal diri daripada bermain media sosial berlebihan.


Set timer.

Simpan telefon dalam stor.

Guna apps Forest.

Tukar password akaun media sosial.

Dan macam-macam lagi.


Tapi entah kenapa, Phone Jail ni paling praktikal setakat ni.


Nak tahu kenapa? 👇


1. Akses jadi terhad


Bila telefon berada dalam “jail”, kita ada satu bentuk sekatan fizikal.


Kalau sebelum ni aku guna timer, ada masa bila timer dah berbunyi…


“Alah, tambah 5 minit lagi.” 😂


Lama-lama 5 minit jadi 30 minit.


Tapi dengan Phone Jail, nak guna telefon pun dah jadi tak selesa.


Jeriji tu menghalang tangan, susah nak tekan skrin dan tak selesa nak scroll.


Akhirnya…


rasa nak main telefon tu sendiri berkurang.


Kadang-kadang kita bukan perlukan lebih banyak willpower.


Kita cuma perlu jadikan akses kepada godaan itu lebih susah.


---


2. Lebih praktikal


Phone Jail ni aku letak atas meja makan.


Kuncinya pula aku simpan di tempat tinggi — sampai kena memanjat kalau nak ambil. 😂


Sebelum ni aku pernah letak telefon dalam stor.


Masalahnya, bila suami call…


aku tak perasan.


Sudahnya kena marah sebab tak angkat telefon. 😂


Dengan Phone Jail, masalah tu selesai.


Kalau ada panggilan penting, aku masih boleh swipe dari luar sangkar.


Kalau nak WhatsApp suami pula, aku boleh guna pesanan suara.


Jadi telefon masih boleh dicapai untuk perkara penting, tetapi akses kepada aktiviti yang melalaikan jadi lebih sukar.


---


3. Ia jadi satu bentuk muhasabah diri


Ini yang paling aku suka.


Bila tengok telefon sendiri terpenjara dalam sangkar, kadang-kadang terdetik dalam hati:


«“Beginilah aku bila terlalu lama dalam media sosial.”»


Terpenjara.


Hilang fokus.


Hanyut.


Lemas dalam dunia digital.


Sedangkan masa terus berjalan.


Anak-anak sedang membesar.


Waktu solat sedang berlalu.


Kerja rumah masih ada.


Orang yang kita sayang ada di depan mata.


Tetapi perhatian kita…


ada di dalam skrin.


Sebab tu bagi aku, Phone Jail bukan sekadar tempat simpan telefon.


Ia jadi satu peringatan fizikal supaya aku kembali kepada perkara yang lebih penting.


Aku masih guna telefon.


Aku bukan anti-teknologi.


Cuma aku tak nak telefon yang mengawal aku.


Aku yang sepatutnya mengawal telefon. 📱🔒


Korang rasa korang sanggup cuba cara macam ni? 😂


Alia Basirah WM



#PhoneJail #KetagihanMediaSosial #DigitalDetox #KurangkanScreenTime #Fokus

Sunday, 30 August 2026

Ilmu media sosial

 





Apa yang aku dapat menerusi perkongsian Tun Abah semalam:


✅Kongsi konten buku


Ramai orang jual atau kongsi macam-macam kat media sosial. Tapi, perkongsian tentang buku masih kurang. 


Kalau keadaan berterusan macam ni, masayarakat akan rugi sebab kita banyak buku-buku yang baik untuk dimanfaatkan.


✅ Tentang media sosial


Media sosial bukan tempat menjual atau iklan.Ia tempat kita melepak atau bersosial. Kalau nak menjual pergi ke Shopee atau lazada.


Kalau nak jual buku, bukan terus jual. Sambil tulis buku, dah kena banyak kongsi konten buku yang akan dijual.

Tengok Khairul Aming.Bertahun-tahun buat vedio masak, barulah dia buka Rembayung.


 Jual di media sosial tak boleh buat secara hardselling, kena banyak story telling.


Rujukan terbaik: rujuk Tuan Hafizul Faiz (belajar cara borak2 tentang buku, bukan jual buku semata-mata)


✅ unsur manusiawi dalam media sosial


Tolonglah jangan guna vedio AI untuk buat konten. Guna AI hanya untuk buat research pasaran buku, cari topik apa yang orang nak baca...


Tapi untuk konten di media sosial, kekalkan unsur manusiawi..suara kita, gambar kita, tulisan kita, perasaan kita..barulah impak untuk netizen lebih kuat.


✅Good story always win


Apa sahaja konten, pastikan ada impak baik untuk masyarakat. Jangan kejar viral semata-mata. Fokus betul-betul pada target pembaca yang kita sasarkan. Jadikan pembaca kita bukan sahaja percaya, tetapi setia dengan tulisan kita (end up pembaca yang setia lah akan jadi pembeli buku kita nanti)

Friday, 7 August 2026

Google Voice Typing

 





Alhamdulillah hari ini aku belajar mengenai aplikasi yang boleh tukarkan suara kepada perkataan.Inilah dia..Gboard.


Ini hikmah terbesar yang aku peroleh sejak menyertai kumpulan cabaran menulis 30 hari


Aplikasi ini memudahkan aku untuk menjadikan idea itu disediakan dalam teks bertulis.


Nanti, aku boleh merujuk kembali idea itu, jika ingin menulis.


Bagi seorang penulis menaip draf idea tetap menjadi pilihan utama. Walaubagaimanapun transkripsi automatik juga sangat memudahkan urusan penulis terutamanya bila masa untuk menulis terhad.


Melalui aplikasi ini, penulis juga boleh melatih diri untuk bertutur dengan lebih baik.Semakin jelas tutur kata yang dilontarkan, tulisan yang dijana daripada audio suara penulis akan menjadi lebih kemas dan teratur.


Sudah lama aku mencari aplikasi ini, akhirnya ku temui jua akhirnya.


Terima kasih yang tak terhingga buat jurulatih penulisan, Tuan Ajwad dan rakan-rakan penulis yang banyak membantu.

 

Meskipun bantuan ini nampak kecil, tapi besar nilainya untuk aku yang masih mencari rentak untuk konsisten menulis.


Alia Basirah

Writing is my happy pills💊💊

Wednesday, 5 August 2026

Cabaran menulis 30 hari

 




Bismillah....aku mulakan penulisan hari ini, demi mencari kekuatan di sebalik semangat yang kian memudar.


Bait-baik kata, tiap-tiap aksara terus aku nukilkan agar momentum menulis terus lancar.


Aku adalah aku. Seorang manusia yang semangatnya boleh naik dan turun. Tapi yang aku tahu, aku tidak pernah berhenti menulis.


Aku mula menulis di blog ini sejak 2014. Pada mulanya aku memang aktif menulis.Maklumlah aku masih bujang dan statusku adalah pelajar sarjana sepenuh masa.


Memang banyak masa terluang. Ramai rakan sekelasku adalah pelajar separuh masa yang bekerja. Jadi aku tak ada teman rapat dan kerap bersendirian.


Bagi mengisi masa lapang, aku sering melawat perpustakaan.Ia ibarat rumah keduaku. Aku lebih gemar menyiapkan tugasan pensyarah di perpustakaan berbanding di bilik asrama.


Idea untuk menerbitkan blog sendiri datang selepas aku kebosanan di asrama. Bayangkan, aku ada masa lapang enam hari, satu hari sahaja aku ada kuliah penuh.


Aku bukan kaki movie. Aku lebih terpikat dengan buku berbanding melayan drama bersiri di You Tube atau aplikasi Tonton.


Di blog, aku banyak menulis tentang ilmu yang aku pelajari dalam bidang psikologi pendidikan. Aku rasa puas kerana ada wadah untuk aku berkongsi ilmu.


Dan semangat menulis ini terus berkembang  sehingga ke hari ini. Namun aku tahu l momentum itu perlu digencarkan. Atas dasar inilah aku menyertai cabaran menulis 30 hari yang dikelola jurulatih penulisan, Tuan Ajwad Syafie.


Alhamdulillah, hari ini dah masuk hari ke enam. Moga aku terus konsisten.


Alia Basirah WM

Jalan terus

Sunday, 2 August 2026

Kadar kelahiran menurun

 




Hari ini aku diberi kesempatan oleh Allah untuk mendengar sedikit kupasan di MHI bertajuk Kadar Kelahiran Menurun.


Aku tengok ni sebab tercari-cari big why untuk aku nak menambah anak😂😂.


Akhir-akhir ni aku rasa macam anak tiga orang dah cukup. Suami aku target lima orang.


Tapi dalam konteks keluarga aku, kami laki bini memang buat family planning.Cukup dua tahun, kena tambah anak untuk cukupkan kuota.


Namun selepas dapat anak nombor tiga ni, yang aku kira sangat lasak, aktif dan kerap mencabar kesabaran, aku cakap kat suami ada tiga anak pun dah cukup.Walaupun semua ni perempuan.


Selepas tengok temubual ni, dia kata angka standard untuk paras penggantian penduduk ialah 2.1 anak per wanita.


Maksudnya, setiap wanita berkahwin kena ada minimum dua orang anak untuk pastikan negara kita tak terkesan untuk masa hadapan.


Jadi berdasarkan dapatan ni, aku ni kira dah lepas standard lah kan.


Antara isu yang menjadi asbab kadar kelahiran rendah ialah, masalah ekonomi, sistem sokongan dan kadar kesuburan.


Kita pun tahu hari ini ramai wanita berpendidikan tinggi dan berkerjaya.Ini menyebabkan mereka lambat berkahwin dan sedikit terkesan dengan masalah kesuburan.

Jika langkah proaktif tidak diambil sekarang, negara kita akan sangat terkesan pada tahun 2059.


Tapi prof tu kata, selagi mampu, ada peluang dan kesihatan yang baik, usahalah untuk menambah anak selagi umur ibu tidak mencapai 49 tahun.Ada anak ni bukan isu individu tapi isu negara.


Jika akan datang, tenaga kerja kita merosot ditambah pula dengan golongan warga emas yang semakin meningkat, kerajaan lah yang akan paling terbeban dengan isu ini.Begitulah.


Menonton temubual ni memberikan aku satu sudut pandang yang baru  dalam proses aku mencari big why kenapa nak tambah anak.


Alia Basirah WM

Suka mencari 'sebab' kenapa nak buat sesuatu.

Wednesday, 29 July 2026

Bila rasa diri tak berguna

 



Antara ciri orang yang ada isu kesihatan mental adalah bila dia rasa dirinya tak berguna.


Tapi aku rasa perasaan "rasa diri tak berguna" ni, semua orang ada. Betul tak?


Jadi hari ini aku nak kongsi sikit tips untuk kita mengawal perasaan ini, berdasarkan pengalaman aku.


Aku ni suri rumah.Bila perkara yang sama je aku ulang dalam hidup aku, tentulah aku rasa macam diri aku ni tak berkembang.Tak grow orang putih kata.

Akhirnya kita akan rasa diri kita tak berguna.

Walaupun bukan setiap masa aku rasa begini, tapi bisikan syaitoon tu akan datang juga.


Jadi, apa aku buat?


1. Bersyukur seadanya


Kalau datang perasaan negatif begitu, bersyukur dulu.Ucap Alhamdulillah.


Ya Allah...alhamdulillah sebab bagi peluang untuk aku jaga anak- anak, masak untuk mereka, berkhidmat untuk suami dan jaga hal ehwal anak-anak


Bersyukur ni bukan perkara kecil tau. Akhlak ni akan buat kita rasa positif, rasa semangat nak jadi hamba Allah yang baik.


Sebab itulah Al-Quran banyak mengajar kita menjadi hamba yang bersyukur.


2. Pertikaikan perasan negatif itu


Bila rasa diri tak berguna, pause dulu.Jangan terus terima perasaan tu.


Cuba pertikaikan permikiran negatif tu.


Tanya diri kita..


"Betul ke aku ni tak berguna"?


Cuba ingat balik apa kebaikan yang kita telah buat kepada orang sekeliling kita.


Fikirkan.Mesti ada.Letak gambaran tersebut banyak-banyak dalam fikiran kita.


Lawan perasaan negatif. Jangan dibiarkan ia menguasai diri kita.


Kerana apa yang kita percaya itulah yang akan menzahirkan siapa diri kita.


Kalau kita percaya kita ni berguna, maka kita akan rasa berguna.


Tapi jika kita percaya diri kita tak berguna, maka diri kita benar-benar tak berguna.


Jadi, berhati-hatilah dengan apa yang kita percaya kerana itulah yang membentuk diri kita


Alia Basirah WM

Random thought

Monday, 13 July 2026

Pengalaman sakit rahang




Semasa bulan Jun lepas, aku rasa macam ada sesuatu yang tak kena di pipi aku. Bila tengok cermin, tulang rahang aku timbul semasa aku buka mulut.


Bila aku buka mulut, akan ada rasa sakit. Terutamanya pada waktu pagi, semasa nak gosok gigi.


Walaupun aku sakit rahang, alhamdulillah aku masih boleh bercakap dan makan macam biasa.Cuma aku kurang mengunyah di sebelah kiri.


Tapi lama-kelamaan, sakit aku berkurang walaupun tulang rahang aku masih tertonjol (bila buka mulut).


Beberapa hari lepas, aku pun jumpa pakar dekat HSNZ. Aku diminta buat ujian X-ray di bahagian muka.


Bila keputusan keluar, alhamdulillah, semua normal.Tulang rahang aku masih berada di dalam soket walaupun sedikit tertonjol.


Dalam kes aku, Doktor diagnos sebagai isu TMJ, temporomandibular joint. Sejenis sakit sendi yang menghubungkan rahang bawah dengan tengkorak, betul-betul di hadapan telinga.


Puncanya?


Urat bahu aku terlalu tegang. Urat bahu ni dia bersambung ke leher dan muka.


Bila urat aku terlalu tegang, urat kat pipi aku tertolak, menjadikan kawasan tulang rahang sempit, susah nak bergerak.


Itu yang menyebabkan tulang rahang aku tertolak dan naik ke kulit, sebab dia mencari ruang untuk bergerak, masa aku buka dan tutup mulut.



Doktor kata mungkin awak ni dukung anak selalu, menyebabkan otot bahu stress. Jadilah TMJ ni..



Akhirnya doktor bagi aku ubat lembutkan urat dan syorkan aku untuk pergi mengurut lenguh-lenguh bahu.


Begitulah ceritanya. Aku pun balik dengan perasaan lega.


Alia Basirah WM

Ujian tanda Allah sayang

Friday, 10 July 2026

Kekal fokus


Lebih kurang beginilah keadaan aku sekarang



 Alhamdulillah


Aku bersyukur ya Allah..


Hari ni genap 10 hari aku dapat kawal diri aku daripada menggunakan media sosial berlebihan.


Perubahan ini mungkin nampak kecil, tapi sebenarnya sangat besar untuk aku.


Tapi aku masih tak boleh rasa selesa. Kena sentiasa merancang untuk menggunakan masa dengan lebih baik berbanding menatal fon tanpa had.


Ya Allah, bantulah hamba untuk istiqomah


Alia Basirah WM


Man jadda wa jada

Sunday, 5 July 2026

Kembali mencari diri

 




Bulan ini dah masuk Julai. Aku kembali mencari diri ini.


Aku mula balik. Bina tabiat-tabiat baru.Meskipun kecil, sangat bermakna agar aku tidak hanyut dalam gelombang media sosial.


Setiap kehidupan ada naik dan turun. Seingat aku, tahun lepas pun aku mula bulan Julai.


Julai sehingga akhir November.Bulan Disember aku, kembali hanyut lagi...sampailah Jun hari tu.


Daripada duk menatal (baca:scroll) fon, aku bina tabiat baru.


Beli buku dan baca buku. Alhamdulillah..setakat ni, kaedah ni memang berjaya untuk jauhi fon.


Banyak ilmu dan kefahaman baru aku dapat melalui buku.Moga aku terus konsisten.


Alia Basirah WM

Terus berusaha

Monday, 15 June 2026

My birthday



Cik abang belanja...terima kasih sayangku...



 Alhamdulillah


Hari ini ulang tahun kelahiran aku yang ke-63 (terbalikkan)


Terima kasih Ya Allah atas nikmat kehidupan...


Sungguh aku takut, kerana atas segala nikmatmu, aku tertanya-tanya cukupkah syukurku ini menjadi ibadah yang diterima?


Kadang-kadang, dengan kelemahan diri ini, aku malu kerana merasakan tidak layak untuk aku menerima hamparan nikmatMu.


Namun, sebagai hamba, rahmat dariMu terus aku dambakan dalam perjalanan menuju syurga Mu..


Ya..aku tetap ingin berjuang ke SyurgaMu, biarpun tidak layak kerana aku tahu dan faham betapa deritanya jika aku ditaqdirkan ke nerakaMu.


Ya Allah, bila aku menyambut hari kelahiranku, ini bermakna masa aku untuk kembali kepadaMu semakin hari semakin dekat.


Bantulah aku ya Allah, untuk istiqomah dalam perjuangan Islam agar aku terpilih untuk mati dan dibangkitkan dalam golongan Al-Abrar. Rezekikan aku sempat beramal wahai tuhan.


Alia Basirah WM

Pejuang husnul khatimah, in Sha Allah

Monday, 1 June 2026

Menjadi penulis berprinsip

 



Zaman sekarang, menjadi penulis pun banyak cabarannya.


Apatah lagi jika kita diupah untuk menulis. Setiap upah itu berisiko mengaburi mata kita hingga kita tidak mampu membezakan kebenaran dan kebatilan.


Menulis bukan kerja untuk duit semata-mata. Perkara paling mulia yang penulis boleh lakukan adalah mengajak pembaca memahami kebenaran.


Oleh itu seseorang penulis itu mesti mengetahui neraca yang tepat dalam menentukan kebenaran dan kebatilan.


Sudah tentulah neraca yang paling ampuh adalah merujuk Al-Quran dan sunnah.


Ini termaktub dalam hadis nabi yang berbunyi:


 تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ، لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ


Maksud:


"Aku telah meninggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya."



Aku menulis ini sebab aku berasa sedih melihat penulis yang mahir menulis menjadi pengampu politik.


Tiba-tiba sahaja tulisannya cenderung kepada sesebuah parti dan kita boleh nampak tulisan itu bukanlah untuk menyampaikan kebenaran tetapi lebih kepada ingin meraih sokongan politik.  



Penulis berkepentingan seperti ini sangat banyak lahir ketika musim pilihanraya.


Takut sangat sebenarnya. Kerana setiap tulisan kita akan dihisab satu-persatu oleh Allah swt. 


Tak salah mencari duit dengan menulis. Tetapi janganlah kita mengabaikan "neraca" asas dalam tulisan kita semata-mata kerana duit.


Ingatlah.... perjuangan menulis adalah untuk memberi pencerahan. Bukan untuk menyesatkan pembaca.


Dalam keadaan ini, terpulang kepada kebijaksanaan pembaca samada untuk menerima atau menolak hujah penulis.


Tetapi, apa yang pasti ialah, yang benar itu akan kekal dan yang batil itu akan lenyap.


Begitulah....


Alia Basirah WM

Moga aku termasuk dalam  golongan penulis berprinsip

Friday, 29 May 2026

Jodoh, Tadabbur dan rahmat Al-Quran

 



Sejujurnya aku tak tahu nak cerita macam mana..


Tapi ini pengalaman aku bab cari jodoh.


Aku bukanlah coach jodoh ke apa...


Cuma aku rasa terpanggil untuk berkongsi sebab manalah tahu kalau orang amal tip ni, dapat jodoh.


Tip aku mudah je. Hanya baca doa ni.


 رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ


Maksudnya:


 “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada segala kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.”


(Al-Qasas: 24)


Korang tahu tak, ni doa apa?


Ini doa Nabi Musa semasa dia keletihan menjadi pelarian, dari Mesir ke Madyan. 


Walaupun letih, dia sempat menolong dua wanita memberi air kepada ternakan sebelum bersandar kepenatan di bawah pokok.


Masa itulah Nabi Musa a.s membaca doa ini.


Kalau ikut Chat GPT..


Doa ini sering diamalkan ketika:


memohon rezeki,


berada dalam kesempitan hidup,


mencari pekerjaan atau jalan keluar,


dan ketika rasa sangat memerlukan pertolongan Allah.


Tapi sebenarnya ada satu lagi..


Ini juga doa untuk jodoh.


Aku tak pernah perasan tentang doa ni kecuali setelah aku mendengar tadabbur dalam kuliah Dr Zulkifli Al-Bakri.


Beliau kata berkat Nabi Musa baca doa ni, Allah bagi nabi tiga kebaikan serentak.


Apa dia??


1. MAKANAN


Korang bayangkan Nabi Musa lari sehelai sepinggang dari tentera Firaun. Lari pulak jauh..dari Mesir ke Madyan... Lebih kurang  1300km. Lapar dan dahaga hanya Allah sahaja yang tahu.


Tapi bila Nabi Musa a.s. sampai di Madyan, Baginda tak harapkan langsung orang tolong, hanya bergantung kepada Allah sahaja.


Akhirnya, lepas baca doa ni, terus ada orang ajak makan. 


2. Kerja


Nabi Musa ni baru sampai Madyan. Tak sempat pun nak isi borang mohon kerja.


Tapi, alangkah pemurahnya Allah, terus ada orang yang tawarkan pekerjaan untuk baginda.


Ini memang umpama orang mengantuk disorongkan bantal.


3. Jodoh


Sudahlah dapat makanan.Dapat kerja lagi. Tapi Allah bagi satu bonus yang tak disangka-sangka.


Apa dia? Sudah tentulah  JODOH. Dengan wanita baik pula tu.


Hanya dengan satu doa, Allah berikan tiga kebaikan yang besar dalam hidup Nabi Musa.


Lepas aku dengar tadabbur pasal doa ni. Aku tak tunggu lama.


Terus aku jadikan ia sebagai zikir harian ku. Dan memang ajaib kebesaran Allah. Jodoh dan kerja datang serentak dalam hidupku.


Begitulah...tak rugi pun kita tadabbur Al-Quran. 


Kerana ia benar-benar menjadi petunjuk dan rahmat kepada orang-orang yang bertaqwa.


Dan kepada kawan-kawan yang belum bertemu jodoh.Jangan berputus asa.


Tetaplah berusaha kerana perkahwinan adalah syiar Islam untuk melahirkan pelapis generasi bertaqwa.


Alia Basirah WM

Sekadar berkongsi pengalaman hidup

Monday, 4 May 2026

Meski sekadar Istighfar




Hari ini ini aku dodoikan anak aku dalam buai.


Sampai aku pun tertidur sekali...


Semasa terbangun, aku mamai. Aku ingatkan awal pagi..kena kejut anak pergi sekolah.


Tengok jam.Baru pukul 11.15 pagi.


Entah kenapa aku rasa penat sangat. Rasa macam nak tidur je, tak nak buat apa-apa.


Tak nak masak.Aku rasa macam nak wasap je suami, suruh dia beli makanan...

Tapi tak sampai hati.


Rasa macam..kenapa aku nak susahkan suami padahal aku yang malas.

Aku pergi dapur.Minum air coway. Masa tu baru teringat, aku terlupa makan antibiotik.


Semalam aku pergi klinik gigi. Doktor kata aku ada masalah gusi, bukan gigi berlubang. Dia beri aku antibiotik.


Sambil makan antibiotik, terdengar anak aku menyeru namaku dari buaiannya.

Ibu....ibu.....

"Alamak..aku tak masak lagi ni".🥲🥲


Tanpa berfikir panjang, aku keluarkan anak aku dari buai. Kemudian aku ambil remote tv, buka rakaman video keluarga aku. Anak aku suka tengok video tu.


Aku pun masuk dapur, sambil hati rasa malas gila sebab tak larat.


Sampai aku terfikir, macam mana lah arwah ummi dulu,  uruskan anak-anak walaupun kena kanser.


Sambil cuci pinggan,aku istighfar...Teringat surah Hud aku baca pagi tadi.


Aku teringat maksudnya, siapa yang istighfar, Allah akan tambahkan kekuatan.

وَيَٰقَوْمِ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًۭا وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمْ وَلَا تَتَوَلَّوْا۟ مُجْرِمِينَ


Maksudnya:

“Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat kepada kamu dan menambahkan kekuatan kepada kekuatan kamu yang sedia ada. Dan janganlah kamu berpaling dengan terus melakukan dosa.” 
[Surah Hud: 52]

_____

Aku memang perlukan kekuatan, meskipun untuk memasak. Kalau tak masak nanti aku juga yang pening fikir anak nak makan apa😅

Begitulah..


Dan alhamdulillah,😇 ada dua lauk siap.Tumis sawi dan ayam goreng kunyit. Ringkas tapi bermakna untuk aku dan anak-anak.


Terima kasih Allah atas rezeki hari ini. Moga tak sia-sia air tangan yang aku masak untuk keluargaku.


Dan benarlah, istighfar tu mungkin nampak kecil di mata kita, tapi besar sebenarnya impak amalan ni dalam hidup kita.



Subhanallah..Betapa kasihNya Allah kepada hamba-hambaNya. Hanya dengan istighfar, terasa urusan kita dipermudahkan.

Moga kita dikurniakan istiqomah dalam istighfar dan mati dalam keampunanNya..Ameen

Alia Basirah WM
Teruskan istighfar..

Monday, 27 April 2026

Bahagia itu pinjaman

 



Dalam hidup kita yang penuh nikmat, ingin sekali aku pulangkan "nikmat bahagia" ini kepada Allah.


Aku ingin menjadi hamba yang bersyukur.


Bahagia itu pinjaman.Tapi aku selalu niatkan, "Ya Allah, aku ingin membina keluarga bahagia sebab aku inginkan anak-anak aku membesar dengan kondusif, untuk aku bentuk mereka, menjadi pejuang agama."


Niat ini datang secara spontan apabila aku melihat kehidupan anak-anak didikku, ada yang tidak sempurna kehidupan mereka lantas menjejaskan emosi anak kecil ini.


Ada yang datang dari keluarga berantakan..


Ada yang datang dari keluarga yang mana ibu bapa terlalu sibuk sampai mengabaikan anak-anak..


Hasilnya anak kurang disiplin, buruk akhlak dan berisiko kemurungan.


Sudah tentu bukan semua bernasib malang...


Banyak juga datang daripada keluarga bahagia, cakna, penuh kasih sayang..


Namun, tugasku bukan untuk menghakimi tetapi untuk belajar agar aku tidak mengulangi kesilapan yang sama untuk keluarga kecilku.


Begitulah aku mengutip pengalaman.


Tadi pun aku tengok Nona


Ada artis jemputan, Rebecca Nur Islam menceritakan pengalaman hidupnya.


Katanya, dia sangat yakin dengan perkahwinannya. Dia pandai masak, ada ramai anak. Tujuh orang semuanya..Memang ramai.


Katanya dia tersangat yakin dengan perkahwinannya (Over confident)."Bukan 100% tapi 200%". Kata Rebecca.


Tup..tup..dia bercerai..dan dia tak pernah sangka perkahwinannya akan berakhir. Dia kini berstatus ibu tunggal yang membesarkan tujuh orang anak.


Aku pun belajar lagi, refleksi diri..


Betullah, dalam hidup ni, kalau kita sandarkan kepada perkara yang tak kekal...kita akan jatuh.


Macam kita rasa kita cantik... atau pandai masak..atau reti jaga anak, dan dengan faktor tu, kita rasa perkahwinan kita akan bertahan lama..kita sebenarnya silap besar.


Kepada Allah lah harus kita sandarkan perkahwinan kita...


Kerana kita hanyalah pasangan suami isteri yang penuh dengan kelemahan.


Tapi bila kita meletakkan kebergantungan kepada Allah, in sha Allah, baik natijahnya.



مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ وَمَا عِندَ اللَّهِ بَاقٍ ۗ 


Maksudnya: Apa-apa yang ada di sisi kamu akan lenyap dan apa-apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. [Surah Al-Nahl 16: 96]


Aku pun bukanlah isteri dan ibu yang sempurna. Jujurnya aku sendiri masih berjuang memperbaiki diri. Tapi aku tetap cuba memberi  yang terbaik untuk keluargaku khususnya dalam didikan agama.


Selebihnya...serahkan urusan rumah tangga kita kepada Allah. Niatkan yang baik-baik agar nikmat kebaikan itu bukan hanya mengalir dalam keluarga kita, tapi masyarakat keseluruhannya. 

Hargai detik bersama selagi Allah izinkan

Semoga anak-anak ibu menjadi pejuang agama yang diredhai Allah.


Alia Basirah WM

Terimalah perjuangan ini wahai tuhanku..

Friday, 24 April 2026

Palestin atau kita yang tenat?

 



Saat aku menulis...


Masih terbayang-bayang di ingatan ini sebuah imej menunjukkan dua orang tentera Israel memegang tangan budak Palestin, bersedia mencampakkannya dari bangunan yang tinggi.


Tidak tergambar rasa ketakutan pada wajah anak Palestin itu.


Allahuakbar... syaitan  apa yang merasuk mereka untuk bertindak sezalim itu.


Tak sanggup dibayangkan jika perkara ini terkena kepada anak sendiri..


Benarlah, zionisme ini adalah doktrin yang sangat  dahsyat yang patut dihapuskan dari muka bumi.


Sebutlah apa sahaja kezaliman tentera Zionis..bunuh, dera, rogol, seksa tahanan, bom orang awam...memang tak habis agaknya kalau nak disenaraikan semua.


Namun di saat ini juga dunia juga seolah-olah menyepi, tidak dapat berbuat apa-apa untuk saudara kita di sana.


Alangkah lemahnya semangat kita untuk membebaskan rakyat palestin daripada cengkaman Zionis.


Astaghfirullah..

Astaghfirullah..

Astaghfirullah...


Bila bercakap Palestin hari ini, seperti itulah kita teringat dengan sejarah saudara Islam kita semasa kejatuhan Andalusia.


Kekejaman Ratu Isabella terhadap umat Islam umpama api dendam yang marak menyala.


Pelbagai alat seksaan ngeri dicipta untuk menyeksa orang Islam agar mereka mati perlahan-lahan..


Contohnya macam Strappado, water torture. Umat muslim ketika itu dipaksa untuk murtad dan menerima agama Kristian.


Hari ini, krisis sama dihadapi oleh umat Islam. Kita dibantai dengan teruk oleh penjajah. Inilah impak apabila dunia Islam gagal bersatu.


Di Palestin, angka korban sudah mencecah 100k


20,000 mangsa dianggarkan tertimbus di bawah reruntuhan bangunan.


Dan ada hampir 87000 anak yatim yang hidup tanpa pembelaan di sana.


10 ribu pemuda gaza pula sudah ditahan di penjara dan sedang menunggu untuk hukuman mati walaupun tidak membuat sebarang jenayah.


Fikirkan, apa yang kita perlu buat sebagai umat Islam...


Ayuhlah kita bangkit, perkemaskan iman dan amal kita agar syiar Islam dapat ditegakkan.


Sama-samalah kita berkempen untuk memilih kepimpinan Islam yang baik agar suara kebangkitan rakyat Palestin terus diangkat.


Kalau aku, aku pilih untuk menyumbang kepada Muntsir anak Gaza, sebab dia ada buka dapur komuniti.


In sha Allah, sekurang-kurangnya kita dapat membantu anak2 palestin agar tidak kebuluran dan mampu meneruskan hidup.

Boleh scan qr code untuk menyumbang




Alia Basirah WM

Usahakan selagi terdaya

Thursday, 23 April 2026

Ujian hidup

 



Semakin banyak menulis, semakin kita akan diuji dengan hasil tulisan kita sendiri.


Itulah ujian.


Allah berhak untuk menguji hamba-hambaNya.



Bukankah kita dihidupkan untuk diuji?  Samada ingin memilih jalan kebaikan atau kejahatan


وَهَدَيْنَاهُ النَّجْدَيْنِ


“Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (kebaikan dan kejahatan).”



Semoga aku terus bangkit walau apa sahaja ujian yang membadai diri ini


Alia Basirah WM

Monolog petang


Friday, 17 April 2026

Al -Abrar

 


Kadang-kadang aku rasa bersalah..


Punyalah banyak nikmat Allah beri, tapi apa je yang aku buat untuk tolong agama Allah.


Macam sikit...


Sikit sangat...


Rasa malu sangat dengan diri sendiri...


Tapi aku tetap cuba untuk berjuang.


Sebab itulah aku masih menulis kat blog ni..


Aku cuba paksa diri aku untuk tulis konten yang baik-baik agar kita semua ada "rasa" ingin kembali kepada Allah.


Penulisan aku bukan baik sangat.


Belum mencapai tahap yang aku inginkan.


Tapi aku tetap cuba untuk menulis..


Walaupun aku kadang-kadang masih malu, ragu-ragu untuk kongsikan penulisan aku di FB...


Entahlah...Aku pun tak pasti kenapa..


Yang pasti aku rasa selesa menulis di blog ini.


Semoga catatan peribadi dan konten bermanfaat yang aku tuliskan di dalam blog ini boleh menjadi amal-amal soleh yang diterima Allah.


Dan sekali lagi aku mohon pada Allah agar aku ini termasuk dalam golongan Al -Abrar (Yang berbakti kepada agama) sebagaimana yang terpateri dalam KalamNya:


رَبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَانِ أَنْ آمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَآمَنَّا ۚ رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ


Maksudnya:

“Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mendengar seruan yang menyeru kepada iman: ‘Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, lalu kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, maka ampunkanlah dosa-dosa kami, hapuskanlah kesalahan-kesalahan kami, dan wafatkanlah kami bersama orang-orang yang berbakti (al-abrar).” [Surah Al-Imran:193]


                                                         Alia Basirah WM

وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَار


Post terbaru

Ada masa aku penat