Mari saya tuliskan ebook untuk anda

Monday, 27 April 2026

Bahagia itu pinjaman

 



Dalam hidup kita yang penuh nikmat, ingin sekali aku pulangkan "nikmat bahagia" ini kepada Allah.


Aku ingin menjadi hamba yang bersyukur.


Bahagia itu pinjaman.Tapi aku selalu niatkan, "Ya Allah, aku ingin membina keluarga bahagia sebab aku inginkan anak-anak aku membesar dengan kondusif, untuk aku bentuk mereka, menjadi pejuang agama."


Niat ini datang secara spontan apabila aku melihat kehidupan anak-anak didikku, ada yang tidak sempurna kehidupan mereka lantas menjejaskan emosi anak kecil ini.


Ada yang datang dari keluarga berantakan..


Ada yang datang dari keluarga yang mana ibu bapa terlalu sibuk sampai mengabaikan anak-anak..


Hasilnya anak kurang disiplin, buruk akhlak dan berisiko kemurungan.


Sudah tentu bukan semua bernasib malang...


Banyak juga datang daripada keluarga bahagia, cakna, penuh kasih sayang..


Namun, tugasku bukan untuk menghakimi tetapi untuk belajar agar aku tidak mengulangi kesilapan yang sama untuk keluarga kecilku.


Begitulah aku mengutip pengalaman.


Tadi pun aku tengok Nona


Ada artis jemputan, Rebecca Nur Islam menceritakan pengalaman hidupnya.


Katanya, dia sangat yakin dengan perkahwinannya. Dia pandai masak, ada ramai anak. Tujuh orang semuanya..Memang ramai.


Katanya dia tersangat yakin dengan perkahwinannya (Over confident)."Bukan 100% tapi 200%". Kata Rebecca.


Tup..tup..dia bercerai..dan dia tak pernah sangka perkahwinannya akan berakhir. Dia kini berstatus ibu tunggal yang membesarkan tujuh orang anak.


Aku pun belajar lagi, refleksi diri..


Betullah, dalam hidup ni, kalau kita sandarkan kepada perkara yang tak kekal...kita akan jatuh.


Macam kita rasa kita cantik... atau pandai masak..atau reti jaga anak, dan dengan faktor tu, kita rasa perkahwinan kita akan bertahan lama..kita sebenarnya silap besar.


Kepada Allah lah harus kita sandarkan perkahwinan kita...


Kerana kita hanyalah pasangan suami isteri yang penuh dengan kelemahan.


Tapi bila kita meletakkan kebergantungan kepada Allah, in sha Allah, baik natijahnya.



مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ وَمَا عِندَ اللَّهِ بَاقٍ ۗ 


Maksudnya: Apa-apa yang ada di sisi kamu akan lenyap dan apa-apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. [Surah Al-Nahl 16: 96]


Aku pun bukanlah isteri dan ibu yang sempurna. Jujurnya aku sendiri masih berjuang memperbaiki diri. Tapi aku tetap cuba memberi  yang terbaik untuk keluargaku khususnya dalam didikan agama.


Selebihnya...serahkan urusan rumah tangga kita kepada Allah. Niatkan yang baik-baik agar nikmat kebaikan itu bukan hanya mengalir dalam keluarga kita, tapi masyarakat keseluruhannya. 

Hargai detik bersama selagi Allah izinkan

Semoga anak-anak ibu menjadi pejuang agama yang diredhai Allah.


Alia Basirah WM

Terimalah perjuangan ini wahai tuhanku..

No comments:

Post a Comment

Post terbaru

Bahagia itu pinjaman