Sejujurnya aku tak tahu nak cerita macam mana..
Tapi ini pengalaman aku bab cari jodoh.
Aku bukanlah coach jodoh ke apa...
Cuma aku rasa terpanggil untuk berkongsi sebab manalah tahu kalau orang amal tip ni, dapat jodoh.
Tip aku mudah je. Hanya baca doa ni.
رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
Maksudnya:
“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada segala kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.”
(Al-Qasas: 24)
Korang tahu tak, ni doa apa?
Ini doa Nabi Musa semasa dia keletihan menjadi pelarian, dari Mesir ke Madyan.
Walaupun letih, dia sempat menolong dua wanita memberi air kepada ternakan sebelum bersandar kepenatan di bawah pokok.
Masa itulah Nabi Musa a.s membaca doa ini.
Kalau ikut Chat GPT..
Doa ini sering diamalkan ketika:
memohon rezeki,
berada dalam kesempitan hidup,
mencari pekerjaan atau jalan keluar,
dan ketika rasa sangat memerlukan pertolongan Allah.
Tapi sebenarnya ada satu lagi..
Ini juga doa untuk jodoh.
Aku tak pernah perasan tentang doa ni kecuali setelah aku mendengar tadabbur dalam kuliah Dr Zulkifli Al-Bakri.
Beliau kata berkat Nabi Musa baca doa ni, Allah bagi nabi tiga kebaikan serentak.
Apa dia??
1. MAKANAN
Korang bayangkan Nabi Musa lari sehelai sepinggang dari tentera Firaun. Lari pulak jauh..dari Mesir ke Madyan... Lebih kurang 1300km. Lapar dan dahaga hanya Allah sahaja yang tahu.
Tapi bila Nabi Musa a.s. sampai di Madyan, Baginda tak harapkan langsung orang tolong, hanya bergantung kepada Allah sahaja.
Akhirnya, lepas baca doa ni, terus ada orang ajak makan.
2. Kerja
Nabi Musa ni baru sampai Madyan. Tak sempat pun nak isi borang mohon kerja.
Tapi, alangkah pemurahnya Allah, terus ada orang yang tawarkan pekerjaan untuk baginda.
Ini memang umpama orang mengantuk disorongkan bantal.
3. Jodoh
Sudahlah dapat makanan.Dapat kerja lagi. Tapi Allah bagi satu bonus yang tak disangka-sangka.
Apa dia? Sudah tentulah JODOH. Dengan wanita baik pula tu.
Hanya dengan satu doa, Allah berikan tiga kebaikan yang besar dalam hidup Nabi Musa.
Lepas aku dengar tadabbur pasal doa ni. Aku tak tunggu lama.
Terus aku jadikan ia sebagai zikir harian ku. Dan memang ajaib kebesaran Allah. Jodoh dan kerja datang serentak dalam hidupku.
Begitulah...tak rugi pun kita tadabbur Al-Quran.
Kerana ia benar-benar menjadi petunjuk dan rahmat kepada orang-orang yang bertaqwa.
Dan kepada kawan-kawan yang belum bertemu jodoh.Jangan berputus asa.
Tetaplah berusaha kerana perkahwinan adalah syiar Islam untuk melahirkan pelapis generasi bertaqwa.
Alia Basirah WM
Sekadar berkongsi pengalaman hidup
No comments:
Post a Comment