Mari saya tuliskan ebook untuk anda

Thursday, 31 December 2015

Azam 2016: Jom perkasa Institusi Masjid






Memperkasa Institusi Masjid

Institusi Masjid sudah lama bertapak di bumi Malaysia. Statistik menunjukkan bilangan masjid yang dibina di seluruh Malaysia hampir mencecah 7000 buah masjid. Malah, multifungsi masjid umpamanya masjid negara bukan sahaja terhad kepada dewan ibadah sahaja, tetapi juga berupaya menjadi perpustakaan, dewan persidangan, pejabat dan sebagainya. Walaubagaimanapun, kepelbagaian fungsi masjid dan bilangannya sahaja tidak cukup untuk menjadi indikator dalam menentukan keperkasaan institusi masjid sebaliknya, usaha untuk menyuntik kesedaran bagi mengimarahkan masjidlah lebih wajar untuk difokuskan dalam mewujudkan generasi yang benar-benar mencintai masjid. Hakikatnya hari ini, betapa banyak masyarakat yang membina masjid tetapi gagal mendirikan masjid yang dibina.

Kecintaan terhadap masjid merupakan penggerak utama dalam mengimarahkan masjid. Kata pujangga cinta itu mampu menjadi motivasi yang menggerakkan keinginan manusia. Dalam menghasilkan generasi yang mencintai masjid, peranan ibu bapa khususnya sangat penting untuk membiasakan anak-anak dengan kehidupan di masjid. Menerapkan kecintaan terhadap masjid sejak usia kanak-kanak ibarat menyediakan simen, batu bata dan tiang konkrit yang utuh untuk dijadikan tapak bagi pembinaan sesebuah bangunan. Sekiranya tapak sudah kukuh, maka pembinaan peringkat seterusnya akan menjadi lebih lancar dan mudah. Begitulah manusia. Jika semasa kanak-kanak lagi mereka sudah cintakan masjid, tidak mustahil mereka akan menjadi orang yang merencanakan aktiviti di masjid sejak remaja lagi. Akhirnya masjid bukan sahaja gah dengan senibina yang menawan bahkan dipenuhi pemuda-pemuda yang cintakan Allah.

Minat ke masjid perlu dipupuk sejak kecil
Masjid pemacu pemuda pemimpin

Masjid juga perlu dilihat sebagai platform yang berpotensi melahirkan ikon masyarakat yang produktif dan berkarisma. Pemuda yang sudah terbiasa menjadi Imam dan Khatib di sesebuah masjid  secara tidak langsung sedang melatih dirinya menjadi pemimpin yang berwibawa dan cemerlang. Kegigihan pemuda mengurus dan mengendalikan program di masjid sedikit sebanyak memberi kemahiran mengorganisasi yang sangat diperlukan untuk membangunkan ummah yang beragenda. Bukan itu sahaja, konsep kerja berkumpulan yang sentiasa disuburkan semasa menjayakan program adalah menifestasi kebersamaan hidup dalam jemaah yang sangat-sangat dituntut oleh Islam. Kita juga harus kreatif menjadikan masjid sebagai ‘sarang lepak’ pemuda-pemuda. Daripada membiarkan mereka melepak di kedai-kedai mamak sehingga larut malam ada eloknya jika pihak masjid mengelola aktiviti qiamullail yang lebih meneguhkan jiwa dan memantapkan iman. Remaja jika tidak digunakan mereka pada saluran yang betul, mereka akan mudah terpengaruh kepada gejala sosial yang tidak menyihatkan dan bakal menyusahkan masyarakat. 

Masjid juga merupakan limpahan cahaya yang mampu menerangi ummah jika sentiasa dinyalakan dengan majlis-majlis ilmu dan perbincangan agama. Di masjid, tokoh undangan yang dijemput kebiasaannya merupakan golongan yang mempunyai kredebiliti dan pengetahuan agama yang tinggi. Pada zaman yang dipenuhi fitnah ini, kesucian ilmu agama inilah yang perlu dijaga agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih yang tersebar luas di alam maya sehingga mengelirukan umat Islam. Oleh itu masjid dilihat sebagai wasilah ilmu yang paling efisien dalam menyebarkan kebenaran setaraf dengan institusi-institusi pengajian tinggi yang berpendidikan  formal.  Cuma penyampaian di masjid lebih bersifat santai kerana audiensnya yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Masjid mesra ummah

Masjid yang baik sudah tentu meraikan pengunjungnya dengan pelbagai kemudahan bagi mencipta suasana mesra masjid kepada orang awam tanpa mengira agama. Kemudahan yang terdapat di masjid seperti perpustakaan, taman permainan kanak-kanak, dewan persidangan dan pejabat dapat merangsang suasana yang kondusif bukan sahaja untuk beribadah malah melakukan kegiatan ilmu dan aktiviti kemasyarakatan yang lain. Malah kemudahan seperti dapur memasak akan memudahkan urusan penyediaan makanan jika pihak masjid ingin mengadakan jamuan untuk anak-anak yatim dan jemaah masjid. Secara tidak langsung, masjid juga akan dikenali sebagai nadi utama yang menggerakkan aktiviti-aktiviti amal yang selari dengan syariah. Betapa hari ini ramai persatuan atau organisasi tertentu yang membuat aktiviti amal, tetapi ianya banyak dicemari dengan perkara maksiat seperti hiburan melampau, pendedahan aurat dan pergaulan lelaki dan perempuan yang berlebihan. Justeru, peranan masjid untuk menjadi contoh dan panduan kepada masyarakat dalam menjayakan program amal sepatutnya diperhebatkan bagi membentuk acuan yang baik dalam mendidik masyarakat beriman.

Bagi menggalakkan lebih ramai yang hadir, Masjid mestilah menyediakan persekitaran yang bersih supaya memberi keselesaan kepada orang ramai untuk beribadah. Tidak sedikit masjid yang dijumpai sangat kotor dan bercanggah dengan seruan Islam yang menganjurkan budaya pembersih sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah yang bermaksud “kebersihan itu sabahagian daripada Iman”. Ini kerana masjid yang kotor akan mengundang banyak persepsi negatif dalam kalangan masyarakat yang mementingkan kebersihan. Dalam konteks ini aktiviti gotong royong perlulah sentiasa digerakkan bagi menjaga tahap kebersihan masjid agar ianya kelihatan lebih cantik dan tersusun.

Masjid sebagai pemangkin ekonomi

Masjid juga berpotensi menjadi sumber ekonomi yang utuh jika hasil derma orang ramai dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangunkan program di masjid serta membantu golongan muslimin yang mengalami kesempitan hidup. Galakan menderma perlu dianjurkan kepada orang ramai agar mereka tidak berasa terbeban untuk menginfaqkan sebahagian rezeki di jalan Allah, kerana hakikatnya ia merupakan pelaburan untuk akhirat. Bukankah Allah sudah berfirman di dalam Al quran bermaksud: 

“Wahai orang-orang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan perniagaan yang akan menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?, Iaitu Beriman kepada Allah dan RasulNya, dan berjuanglah kamu di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Dan itu baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya”. [As-saff: 10-11]. 

Semoga dengan luasnya kesedaran untuk menderma sebahagian harta mereka, sedikit sebanyak mampu membantu pihak masjid menjaga kebajikan jemaah masjid dan masyarakat setempat yang memerlukan bantuan untuk menjalani kehidupan dengan selesa. Selain kutipan zakat, duit tabung masjid juga diharap mampu menjadi solusi dalam menangani masalah ekonomi umat Islam.

Sinergi media dan masjid

Institusi masjid juga bukan hanya perlu diaktifkan masyarakat setempat, malah media juga harus memainkan peranan. Sekarang banyak aktiviti ekspo yang dianjurkan media arus perdana diadakan di kawasan  masjid. Ini menjadi usaha yang baik dalam menyemai budaya cintakan masjid dalam kalangan masyarakat sekaligus memudahkan urusan solat mereka di sekitar kawasan ekspo. Mengadakan aktiviti kemasyarakatan yang bersifat universal di sekitar kawasan masjid mencipta satu aura positif yang mampu menerbitkan kesedaran kepada pengunjung untuk mengutamakan solat walau apa jua keadaan.
Laman sosial menjadi kegilaan orang ramai pada hari ini untuk menyebarluas maklumat ke serata dunia. Peluang ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin untuk golongan muda terutamanya dalam mempromosi Islam sebenar kepada orang bukan Islam di Malaysia dan seluruh dunia. Dalam konteks ini, aktiviti masjid boleh diuar-uarkan dengan mencipta vedio yang memperkenalkan pelaksanaan Islam sebenar di masjid Malaysia. Contohnya terdapat satu vedio di You Tube bagaimana seorang muslimah Malaysia menunjukkan cara memakai telekung solat dalam Bahasa Inggeris di masjid. Ramai masyarakat luar negara yang memberi komen dan bercita-cita untuk meneroka lebih banyak tentang Islam di Malaysia. Ini merupakan respon positif yang sebenarnya menjadi usaha yang baik dalam memperluaskan empayar dakwah ke peringkat antarabangsa. Oleh itu laman sosial menjadi wasilah yang tidak harus dipersia-siakan untuk memberi informasi yang lebih luas tentang pengamalan Islam di Malaysia. 

Progran raudhah tv9 yang diadakan di masjid merupakan wasilah contoh untuk mengimarahkan masjid
Khulasahnya, asas pembinaan masjid itu adalah dengan taqwa. Taqwa juga berkadar terus dengan pengimarahan masjid. Semakin tinggi tahap ketaqwaan semakin tinggi kecenderungan seseorang untuk mengimarahkan masjid. Justeru hanya ketaqwaaan yang ditegakkan di dalam jiwa yang akhirnya mampu menggerakkan seseorang individu berjuang mengimarahkan masjid. Sebagaimana firman Allah dalam Kalam sucinya “Wahai orang beriman, bertaqwalah kamu dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya dan berjuanglah pada jalan tersebut. Mudah-Mudahan kamu termasuk di kalangan orang berjaya” [Al-Maidah: 35]. Justeru aktiviti mengimarahkan masjid haruslah diperjuangkan dengan sebaik-baiknya kerana ia melambangkan kekuatan umat Islam yang bertunjangkan hakikat keimanan yang tinggi terhadap Allah s.w.t. sekaligus mencipta ketamadunan negara yang makmur dan diampuni tuhannya [Saba’: 34].

Ditulis oleh: Chegu Kimmia

How to get better at writing




(Adopted by Jon Morrow Blog)

If you’re reading this post, you likely have intentions to become a better writer

However, if you truly want to raise your game as a writer, good intentions aren’t enough. Why? Because they don’t have a strong track record for producing action

To actually improve, you must create events in your future that will force you to improve.

In other words, commit to something new that will make inactions uncomfortable

That’s the way you should do to improve in anything

Want to improve your fitness? Sign up for a marathon

Want to improve your presentation skill? Tell your boss you want to give talk next month

Want to become a better writer and blogger? Enter a writing competition judged by experts

Monday, 28 December 2015

Cinta Ilmu, Nik Aziz dan motivasi menulis





Hari itu aku menonton rancangan  cinta ilmu. Penceramah jemputan pada kali ini ialah Datuk Dr Zulkifli Al Bakri. Beliau merupakan antara ustaz yang aku kagumi. Hari ini segmen Bayan Linnas yang disampaikan oleh beliau bertajuk kematian Ulama.


Ehem!!! Walaupun beliau tidak menyatakan secara terus (baca:direct), tetapi aku tahu ia ditujukan sempena pemergian Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.Kata Dr Zul, kematian ulama sebenarnya merupakan musibah yang besar kepada umat islam. Beliau mengungkapkan bahawa matinya orang alim lebih disukai iblis daripada 70 orang yang suka beribadat. 

Said bin Jubay apabila ditanya seorang pemuda
“Wahai Jubay, apakah tandanya masyarakat binasa”.
Jawab Said: “Dengan kematian para ulamak mereka”.

Subhanallah.Itulah bahananya kematian ulama. Jika kita kehilangan seseorang yang memangku jawatan, kita boleh melantik orang lain untuk menyandang jawatan tersebut, tetapi jika kita kehilangan ulamak, kita kehilangan segala-galanya. 

Ulamak berasal daripada perkataan Bahasa Arab iaitu il’m=ilmu

A’lim=Orang yang berilmu, jamaqnya pula ialah: u’lamak, sejumlah orang berilmu

Tetapi dalam konteks masyarakat Malaysia, ulamak merupakan seorang tokoh yang mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang agama,

Tok Guru Nik Aziz ialah seorang ulamak. Sebagaimana yang kita ketahui, beliau sudahpun menemui Ilahi pada 15 Februari yang lalu. Bagiku, kematian beliau ialah sesuatu yang menghidupkan. Kematiannya seolah-olah menghidupkan jiwaku yang gersang ini. Amanat dan pesanan beliau sungguh menggugah jiwa. Banyak pesanan yang ditinggalkan untuk orang muda.Bagiku, beliau merupakan contoh anak muda yang sangat cemerlang pada masa dahulu. Hanya orang muda yang mempunyai kehebatan yang tinggi mampu menjadi bintang yang bergemerlapan di hari tua.

Antara pesannya yang paling terkesan dalam jiwaku adalah berkisarkan pemuda.


Kata beliau “Pemuda dengan kekuatannya, kena perkuatkan taqwa kepada Allah,samada dengan menulis, ceramah, program,pandai-pandailah.

Bagi siapa yang ingin menjadikan penulisan sebagai satu wasilah, beliau berkata

“Apabila mari cetusan, kena cepat menulis, kadang-kadang, masa nak tidur, mari idea kena tulis, Kita kena bawa sokme pen dan kertas”.

Sebagai seorang yang baru berjinak-jinak dengan dunia penulisan aku sangat dahagakan ilmu seperti ini. In sha Allah jika tiada aral melintang, inilah jalan yang aku ambil untuk memperjuangkan islam setakat ini. Aku pun bercita-cita ingin menjadi seperti Nik Aziz. Aku harap di usiaku hampir mencecah 25 tahun ini, aku masih mampu untuk memberikan yang terbaik untuk Islam. Ya Allah, bantulah aku untuk memanfaatkan ilmu yang aku pelajari dengan menghasilkan penulisan yang baik sebagai rujukan dan kebaktian kepada masyarakat. 





Post terbaru

Ada masa aku penat