Mari saya tuliskan ebook untuk anda

Tuesday, 3 March 2015

Kecemerlangan tanpa roh



Hari ini fenomena memilih kerja merupakan normalisasi yang menghinggapi graduan-graduan lepasan universiti hari ini. Sudah banyak kajian yang dilakukan tentang punca masalah pengangguran ini. Antaranya termasuklah graduan yang ingin mendapat pendapatan yang sesuai dengan kelayakan, bekerja di sektor kerajaan dan tidak kurang pula yang ingin bekerja dalam ‘zon selesa’ seperti pejabat berhawa dingin dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, tidak ramai yang mengaitkan masalah pengangguran dengan ‘mindset’ yang terpasak dalam jiwa masyarakat kita sejak zaman-berzaman. Sewaktu era persekolahan, ibu bapa sibuk menasihati pelajar untuk rajin belajar supaya mereka memperolehi keputusan akademik yang bagus, mendapat kerja dalam bidang professional dan meraih pendapatan tinggi. Lebih malang lagi, mereka hanya dianggap berjaya jika mampu memenuhi hasrat tersebut. Jika tidak, mereka dianggap gagal.Namun begitu kita tidak menyedari bahawa permikiran ini telah menjadi racun yang bisa membunuh intelektualiti dan akhlak masyarakat kita. Kesannya, masyarakat tidak mampu mengekspresi kreativiti untuk mencari solusi setiap gelombang masalah yang membadai ummah. Lebih parah lagi, mereka gagal membentuk acuan permikiran sendiri dan hanya bergantung kepada sumbangan orang lain untuk survival kehidupan. Jika terdapat orang yang berjaya sekalipun, mereka hanya mampu menjadi pekerja yang ketandusan idea-idea untuk memenuhi kemaslahatan ummah. 

‘Penternakan’ graduan

Inilah yang dikatakan kecemerlangan tanpa roh  atau “Excellence without Soul”, sebuah buku karangan seorang Proffesor di Universiti Harvard, Harry Lewis. Dalam karyanya beliau mengkritik hebat budaya pendidikan barat yang gagal memanifestasikan keilmuan untuk perkembangan modal insan. Dalam bukunya, beliau menukilkan “ Western Universities will be regarded as sources of economic security for their graduates but not of intellectual or personal inspiration” (Universiti –universiti barat hanya dianggap sebagai sumber keselesaan ekonomi kepada para graduan dan bukannya sumber inspirasi atau intelektualiti). Ini menggambarkan betapa kroniknya sistem pendidikan hari ini yang hakikatnya hanya ‘menternak’ graduan yang tidak mampu membina kecemerlangan intelektual apatah lagi menyumbang kepada pembangunan negara. Sebaliknya, mereka hanya menjadi produk untuk melariskan ekonomi dan bekerja tanpa berjaya memanfaatkan keilmuan yang dimiliki. Jika mereka memasuki pasaran kerja sekalipun, mereka hanya menjaga kepentingan diri dengan mengejar harta dan pangkat. Ditambah pula dengan ketandusan rohani, akhirnya budaya rasuah semakin membarah, pangkat diraih pun tidak berkat hingga semua orang naik meluat.

Betulkan kantamu

Hakikatnya, harta banyak melimpah ruah, status sosial yang tinggi, kecemerlangan akademik atau mungkin populariti adalah indikator yang salah dalam mendefinisikan kejayaan. Betapa baiknya Allah selaku pencipta kita yang tidak pula membeza-bezakan kita dengan kejayaan tersebut tetapi menganjurkan kita untuk terus bertaqwa kepadanya. Kerana di situlah terletaknya kejayaan sebenar. Malah kejayaan sebenar harus didefinisikan semula sebagai bukan berjaya pada pandangan manusia tapi berjaya dikaca mata Allah. Dalam surah Al-mukminun, Allah menggariskan enam ciri-ciri untuk meraih kejayaan abadi. Antaranya khusyuk dalam solat, mengawal diri dari perkara lagha, menunaikan zakat, memelihara kemaluan, menjaga amanah dan memelihara solat. Enam perkara inilah yang sepatutnya difokuskan untuk menggapai kejayaaan sebenar. Lebih molek lagi, perkara inilah yang harus dipasakkan dalam jiwa manusia sejak mereka kecil lagi. Ini kerana jiwa muda ibarat tanah yang subur, tuailah apa sahaja pasti akan segar tanamannya. Dalam konteks ini, cuba bayangkan jika guru berkata kepada anak muridnya “Wahai pelajarku kejarlah apa sahaja yang kamu suka, tetapi tetaplah solat dan mengambil panduan dari quran, kerana itu sebaik-baik jalan”. Di sini kita pasti akan lihat betapa bebasnya peluang untuk mereka memilih ‘kerjaya mereka’ tetapi pada masa yang sama tidak menidakkan kehambaan mereka kepada tuhan. Sejujurnya jika inilah yang bisa kita sematkan dalam jiwa mereka, suatu hari nanti kita akan melihat dunia kita dipenuhi ramai mukmin professional yang pakar dalam bidang masing-masing. Subhanallah, itulah generasi bertaqwa yang kita idam-idamkan. Apabila semua orang bertaqwa, tidak akan ada lagi pekerja curi tulang, tiada pekerja yang pecah amanah kerana rasa muraqabah yang tinggi hasil pemeliharaan solat mereka.


Seramnyer tengok gambar ni

Buat mahasiswa

Oleh itu buat para mahasiswa khususnya, usah sempitkan permikiranmu dengan menganggap kejayaan itu hanya apabila anda meraih anugerah dekan atau fasih berbahasa Inggeris atau mengharumkan nama universiti, tetapi lihatlah kejayaan itu dalam sudut ketaqwaan yang tinggi di sisi Allah sekurang-kurang dengan berfikir bagaimana ilmu yang diperolehi mampu mendekatkan diri kepada Allah dan memacu kita untuk membantu memartabatkan agama Allah di bumi Malaysia. Yang penting bertaqwa, rezeki itu milik Allah. Ulama pernah mengatakan “ Allah meminta kita akhirat dan menjamin dunia untuk kita, tapi alangkah indahnya jika Allah menjamin kita akhirat dan meminta kita dunia”. Oleh itu ingatlah bahawa kehidupan dunia kita sudah dijamin. Kita wajar berusaha untuk mencari rezeki tetapi tidaklah sehingga menafikan status kita sebagai hamba Allah yang wajib  mengejar taqwa untuk menggapai kejayaan hakiki. Justeru, lihatlah kecemerlangan atas asas ketaqwaan kerana kecemerlangan itulah berintipatikan rohani bukan lagi kecemerlangan tanpa roh yang nampak gah tapi hakikatnya kosong..kosong dan kosong.




Sunday, 1 March 2015

Usah ‘sampahkan’ permikiranmu





 Seorang guru sedang berjalan-jalan dengan pelajarnya di kawasan pasar. Mereka melihat seorang pemuda menarik lembu dengan talinya. Guru tersebut menyuruh pemuda tersebut berhenti seketika supaya pelajarnya boleh berkumpul dan melihat dengan lebih dekat. “Ok, hari ini cikgu nak mengajarkan kamu sesuatu” ….

“Beritahu cikgu,siapa yang terikat kepada siapa”? Lembu tersebut terikat pada pemuda itu atau pemuda itu terikat kepada lembu itu?

Tanpa ragu-ragu, pelajar tersebut menjawab “Sudah tentulah lembu tersebut yang terikat dengan pemuda itu”.Sebab pemuda itu kan tuannya dan dia yang memegang tali tersebut.Lembu tersebut perlu mengikutnya ke mana sahaja dia pergi.Pemuda itu tuannya manakala lembu itulah hambanya”.

“Ok, sekarang lihat betul-betul”. Kata guru tersebut sambil mengeluarkan gunting daripada begnya seraya memotong tali tersebut.Lembu itu lari dari tuannya dan tuannya mengejar lembu tersebut. “Tengok apa yang berlaku”, kata guru tersebut.

“Siapa tuannya sekarang”. Nampaknya lembu itu tak berminat langsung dengan pemuda tersebut, malah cuba lari dari pemuda tersebut.

Pengajaran: Begitu juga yang berlaku dengan permikiran kita. Seperti lembu, semua perkara yang ‘ntah ape-ape’ yang kita fokuskan  sebenarnya tak berminat pun dengan kita, kita yang berminat kepada perkara tersebut. Malangnya, kita hendakkan semua benda berada di bawah kawalan kita. Di saat kita hilang minat terhadap ‘sampah’ yang memenuhi kepala kita dan menyedari ketidakbergunaannya, ia akan mula menghilang. Seperti lembu, ia akan melepaskan diri dan ghaib.


Kepadanya Aku bertawakal…





“Ya Allah!! Teruknya result sem ni..padahal dah habis daya aku study..Frustnyer.. tak tau dah nak cakap macam mana…”. Tak dinafikan ini adalah antara ungkapan paling popular dalam kalangan mahasiswa universiti tatkala mengetahui keputusan akhir peperiksaan  mereka. Sebagai seorang yang pernah bergelar mahasiswa, inilah antara cubaan atau ujian yang harus ditempuhi sebelum merayakan hari graduasi yang indah itu.

Sudah lumrah, makhluk itu harus diuji sepertimana firman Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud:
Allah(Yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun. [Al-Mulk: 2(30)].

Ya kawan-kawan, hidup ini memang ujian … ujian dari Allah untuk Dia mengenalpasti siapakah antara kita yang benar-benar beriman kepadanya. oleh itu konsep tawakkal adalah formula yang tepat bagi mengharungi cubaan yang terkadang kita pun tak pasti kenapa kita harus berdepan dengannya. Tapi kenapa tawakal??, knape bukan sabar ke… ikhlas ke.. atau sifat sifat mahmudah yang lain…

Firman Allah dalam Al-Quran berbunyi:

….Apabila kamu berazam, maka bertawakkallah kepada Allah. Sungguh Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal kepadanya.[Al-Imran:159(3)]

Sejujurnya aku terdengar ungkapan Al-Quran yang indah ini oleh salah seorang pemimpin karismatik di Negara kita yang seolah-olah memberi peta harta karun untuk aku terus mengkaji apakah yang tersirat di sebalik kalimah agung ini. Dan walaupun aku masih tak faham tentang maksud sebenar kalimah ini, ianya bukan penghalang untuk aku praktikkan dalam kehidupan seharian.

Imbas kembali….. (kenangan 2006)

Seorang kawanku sering mengadu kepadaku tentang ketakutannya menghadapi peperiksaan

Kawanku: Alia, camne ni?? Takutlah nak exam…takut tak leh jawab..

Aku: Takpe, Faiza azamta fatawakkaltu ala Allah, Innnallah ha yuhibbul mutawakkilin. (sambil memegang bahunya).

Kawanku: Ha?? Apa tu??

Aku: Maksudnya, bila dah azam nak buat yang terbaik tu tawakallah pada Allah. In sya Allah, takkan rugi sebab Allah suka orang yang tawakkal pada Dia ni..

Kawanku: Owh.. ok2 (sambil menganguk-anggukkan kepalanya)

Iklan sebentar: Aku takdelah ingat semua pasal kejadian ni.. tapi itulah antara perbualan yang berlaku

Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun berlalu…. Dan aku terfikir sejenak kenapa Allah suruh berazam dan tawakal terus, mana USAHAnya???? Takkan takde USAHA..
Atas rahmat dan kasih sayang Allah, aku terdengar ceramah radio ikim pada jumaat petang. Satu bual bicara saudara Mahathir Syaharudin dan Ustaz Dr Zulkifli Al-Bakri membincangkan tentang tawakal. Beliau adalah antara ustaz yang aku sangat kagumi dek ke’tawaduk’kannya dan lemah lembut dalam pertuturannya.
Beliau menjelaskan bahawa tawakal terdiri daripada 3 elemen penting iaitu usaha, harap dah redha. 

Awesome!!! Letusan kata-kata yang merungkai tali persoalan di fikiranku selama ini.

USAHA + HARAP + REDHA = TAWAKAL

Subhanallah.. satu persamaan yang sangat indah , lebih indah daripada persamaan kimia yang ku belajar selama tiga tahun di UMT. Apa tidaknya! 3 reactant tapi menghasilkan 1 product yang langsung tidak berbahaya dalam kehidupan kita. Dari sudut kimia persamaan ini sangat hebat sebab percentage yield bagi tawakal ialah 100%, sekaligus memberi keuntungan yang besar kerana dominasi tawakal yang sangat kuat.
USAHA

Usaha…Reactant yang pertama untuk merealisasikan tawakkal. Ya.. semua orang mesti berusaha..burung pun kena usaha nak cari makan. Jika diperhatikan dalam sudut akademik, mungkin kita akan mendapati A studi menyendiri, B studi berkumpulan, C studi sambil mendengar muzik dan banyak lagi. Menurut Dr Fadilah Kamsah, terdapat 3 cara belajar yang wujud iaitu secara audio,visual dan kinestetik. Oleh itu pelajar perlu mencari inisiatif bagi mencari kaedah terbaik untuk mereka memahami sesuatu ilmu itu. Walaupun begitu, penulis berpendapat bahawa usaha yang baik mestilah diiringi dengan keberkatan. Apa guna belajar, tapi menangguh-nangguhkan solat tika masuk waktunya…Apa guna belajar sampai larut malam, tapi solat subuh menjadi juara carta bagi solat yang paling banyak untuk diganti..Apa gunanya belajar, tetapi tidak memanfaatkan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian.

HARAPAN
Allah ada berfirman dalam kalam suci Al-Quran..
Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain pula). Dan hanya kepada tuhanmulah kamu berharap [As-Syarh: 7,8(94)]

Kawan-kawan, mungkin kita merasa telah mencuba yang terbaik, tapi sejauh manakah harapan yang kita sandarkan kepada Allah??

Cuba perhatikan situasi ini:

Situasi A:
Yeay!!! Aku boleh jawab soalan math tadi. Latihan yang aku buat masuk…memang confirm la dapat A kali ni.hahahaha!

Situasi B:
Alamak!! Habislah aku, tajuk yang aku bace satu pun tak kena, susah giler kot soalan dia.. tawakkal jelah..
Secara logiknya, berdasarkan situasi yang diberi siapa yang akan kuat kebergantungannya kepada Allah???
 Ce fikir….

Baiklah, jika kita lihat secara mendalam situasi A, jelas sekali pelajar tersebut berusaha, tetapi kesilapan besar yang dilakukan pelajar itu ialah perasaan ‘over confident’ sehingga mengaburi hatinya untuk berharap pada Allah. Sehinggakan dia lupa  bahawa keupayaannya menjawab soalan dengan baik adalah kehendak Allah 

Bagi situasi B pula, mungkin dia telah berusaha yang terbaik, tetapi atas kehendak Allah Taala pelajar tersebut bermasalah ketika menjawab soalan. Ujian ini tentulah menghadirkan rasa takut dan bimbang dalam hatinya seterusnya mengharapkan keajaiban dari Allah semata-mata untuk menjadikan kejayaan itu miliknya.
Oleh itu usaha yang baik haruslah disertai dengan harapan yang tinggi kepada Allah bagi mengecapi kejayaan. Dan tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa jika pelajar(A) meletakkan harapan yang tinggi kepada Allah setelah usaha cemerlang yang dipamerkan, tidak mustahil dia akan menjadi pelajar yang lebih cemerlang dari pelajar (B). Harus diingat bahawa harapan yang tinggi haruslah dizahirkan dengan doa yang tulus kepada tuhan Pemberi Rezeki.

REDHA
Redha ialah kita menerima seadanya ketentuan daripada Allah setelah kita berusa dan mengharapkan yang terbaik dari Allah.Pepatah ada mengatakan”Kita merancang, tuhan menentukan”. Apabila disorot kembali, banyak kes-kes bunuh diri dalam kalangan mahasiswa yang berlaku gara-gara kegagalan dalam peperiksaan. Ini maksudnya dia tidak redha dengan apa yang berlaku . Sekiranya kita redha dengan sesuatu kita akan menerimanya dengan hati yang terbuka. Jika ianya musibah, kita bersabar, jika ianya nikmat, kita bersyukur… kan indah begitu..Ini kerana Allah mengetahui apa yang terbaik untuk kita.
BukankahAllah telah menerangkan dalan Al-Quran yang bermaksud:
…Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia tidak baik bagimu.Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.. [Al-Baqarah: 216(2)].

Kesimpulannya
Mari kita bertawakkal kepada Allah dengan melengkapkan pakej USAHA, HARAP dan REDHA agar setiap perkara yang dilakukan sentiasa berlegar dalam zon Allah.Semoga kita termasuk dalam golongan yang dicintai Allah.

 [7 dec 2012, 11.23am]

                                                                                                                                                               

Post terbaru

Ada masa aku penat